Archive for 1 Disember 2013


Buku Yang Baru Dibaca :

Kolonel Jihad

Penulis : Lt. Kolenel Abdul Manaf Kasmuri

Penerbit : Nur Ilham Publication

Harga : RM25.00

Buku ini adalah memoir peribadi seorang bekas pegawai tentera yang telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ia menceritakan pengalamannya sebagai seorang aktivis bantuan kemanusiaan dan ketika di dalam tahanan.

***

PROLOG

Banyak sekali yang mendesakku dengan persoalan apakah sebenar-benarnya yang menyebabkan aku dihumban ke Kem Tahanan Kamunting untuk tiga tahun lapan bulan lamanya mulai awal 2003.

Justeru, aku terpanggil untuk menitipkan senarai pertuduhan rasmi yang mensabitkan aku di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menjawab persoalan yang mendakapi minda kalian yang menginginkan kepastian dari ungkapan perkataan seorang bekas tahanan sepertiku.

“Bahawa kamu, …………… telah bersubahat membawa masuk secara berperingkat seramai lebih 10 anggota Al-Qaeda terdiri dari warganegara Arab Saudi, Pakistan dan Afghanistan untuk mendapatkan rawatan di beberapa hospital dan pusat perubatan dengan tujuan untuk meneruskan perjuangan perang jihad …..

dan “…………. telah mengendalikan latihan ala ketenteraan secara sulit kepada 6 ketua kem tentera Arakan Rohingya National Organisation berasal dari Myanmar bagi menyemai dan menanam semangat jihad ….”

dan “………… telah mengadakan satu perjumpaan sulit untuk memberi latihan ketenteraan kepada sebuah negara militan dari negara jiran yang ada hubungan dengan kumpulan Al-Qaeda ……”

dan “…………. bersama-sama dengan seorang rakyat Indonesia yang dikenali telah mengadakan latihan ketenteraan secara sulit kepada 18 militan Indonesia ……”

dan “…………. telah Menjadi Penasihat kepada sebuah organisasi hadapan (Front Organisation) Jemaah Islamiah dalam cara-cara mengurus dan menjana dana kumpulan tersebut ….”

Satu demi satu untaian pertuduhan itu dibacakan.

Dakwaan yang tercungkil dari persepsi mereka yang kabur ke atas apa yang aku lakukan demi keamanan sejagat. Namun, aku tidak berpeluang untuk membicarakan kekhilafan yang telah aku lakukan dan apa yang sebenarnya yang terjadi sebelum aku ditahan. Rentetan dakwaan tersebutlah yang membawa aku bermukim di Kamunting selama 3 tahun 8 bulan.

Apakah ia sekadar alasan yang berpaksikan andaian atau mungkinkah rencana tahanan ini sekadar mencegah bencana yang lebih besar umpama mengkandang kambing dari rakusan serigala yang sedang menggila mencari mangsanya?

Seingatku, hari Khamis malam Jumaat tanggal 20 Februari tahun 2003 merupakan waktu yang mengubah banyak aspek kehidupanku. Bermula dari detik lebih kurang jam 10.30 itulah aku menjadi sedar akan kewujudan bahawa andaian dan sangkaan boleh mewahamkan erti keikhlasan di dalam perjuangan.

Dengan menggunakan akta polis aku diseret ke pusat reman untuk disoal-siasat dan kemudian dihumban ke Kem Tahanan Perlindungan (KEMTA) berdasarkan pertimbangan yang amat sukar ditakrifkan oleh skala keadilan asasi. Mungkin kepada yang berkenaan dengan merujuk nasihat dari ‘pakar keselamatan’ sudah cukup untuk menghukum kalian di bawah akta keselamatan dalam negeri.

Persis pendapat pakar perubatan yang memungkinkan pembedahan amputasi dilakukan kepada pesakit yang perlu menyerahkan nasib tanpa mempersoalkan kesahihannya. Agaknya, keperluan pendapat kedua (second opinion) hanya menunda masa!

Sejujurnya, aku tidak tahu adakah penjelasan yang aku nukilkan di sini mampu melempiaskan jawapan bagi setiap persoalan yang acapkali kalian lumpukkan kepadaku. Aku sedar, bahasaku tidak sepuitis sasterawan negara yang bisa menguasai bait-bait ungkapan menjadi suatu coretan yang meruntun jiwa-jiwa yang membacanya.

Aku hanya seorang manusia biasa yang tiada upaya menganyambahasa berbunga-bunga. Aku termegun memikirkan entah dari bahagian mana perlu aku memulakan agar ia menjadi jelas dan dapat difahami akan segenap perasaan yang telah aku pendam tujuh tahun lamanya.

Aku menghela nafas panjang yang membawa bersama harapan dan kesedihan dan begitu sukar untukku menterjemahkan kepada mereka yang telah melabelkan aku dengan pelbagai gelarandan sisipan yang menyakitkan hati setelah aku dikuburkan di Kamunting dan ditalkinkan sebagai pengganas!

Lantas, aku menggerakkan pena untuk memberitahu dunia kerana aku sering dihakimi dan bukan dimengerti …

Sumber : http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=News&file=article&sid=29992

Oleh Suhaimi Embong

Salam perkenalan kepada semua pembaca.  Muktamar Parti Islam SeMalaysia (PAS) ke-59 baru melabuhkan tirainya pada petang 24hb November, 2013 di Stadium Malawati di Shah Alam.

Muktamar pada kali ini meriah dan kehadiran pengunjung juga ramai termasuk rakan-rakan media juga diluar jangkaan pihak penganjur mungkin kerana pada tahun ini dibuat di sekitar Lembah Kelang dan juga ada pemilihan kepimpinan.

Sebagai orang diamanahkan mengendalikan persiapan prasarana IT, pihak Jabatan IT PAS (JITP) sedaya upaya cuba memberikan yang terbaik kepada pihak perwakilan dan juga media yang bertugas. Pihak kami juga berusaha dengan sebuah syarikat telekomunikasi terkenal untuk menyediakan kemudahan perkhidmatan ‘Wifi’ di sekitar stadium tersebut secara sementara untuk tempoh muktamar ke-59 tersebut.

Agak mendukacitakan, disaat-saat akhir muktamar ke-59 hendak bermula syarikat telekomunikasi tersebut menarik diri dan pihak kami tidak sempat untuk berunding dengan syarikat telekomunikasi lain pada masa tersebut.

Ada kita orang Melayu, kerbau di pegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Mengikut persetujuan awal secara lisan, syarikat tersebut pada mulanya bersetuju dengan syarat diberikan secara ekslusif kepada pihaknya sahaja tanpa ada syarikat telekomunikasi lain.

Disebabkan signal telekomunikasi yang lemah didalam dan luar stadium, pihak kami telah memasukkan 20MB Unifi daripada Telekom Malaysia dan membuat pendawaian dalaman sementara untuk membekalkan perkhidmatan internet bagi kegunaan Jabatan IT PAS bagi ‘live streaming’ dan lain-lain perkhidmatan IT semasa muktamar serta pihak media yang lebih daripada mencukupi untuk menapung keperluan tersebut.

Apa yang saya nak sebutkan di sini, Selangor negeri maju yang mendendangkan kempen ‘Wifi Selangorku’ tetapi prasarana wifi Selangorku tersebut tidak ada disekitar stadium Malawati,. Diluar jangkaan kami kami tak ada ‘wifi Selangorku’ disitu.

Kami minta pihak kerajaan Selangor melihat kembali kenapa tak boleh diadakan ‘wifi Selangorku’ disekitar stadium, tempat orang muda berkunjung untuk sukan dan sebagainya kerana kerajaan Selangor difahamkan mengidamkan Selangor menjadi negeri pertama mempunyai Wifi percuma ke seluruh pelusuk negerinya tetapi di Shah Alam, ibu negeri pun tak selesai lagi.

Kita tinggalkan dulu kisah persediaan IT semasa muktamar ke-59 baru-baru ini. Kita fokus pula apa yang hendak dibuat oleh Jabatan IT PAS (PAS) bagi penggal yang baru ini. Sebagai Pengarah Jabatan IT PAS, saya telah menggariskan lima (5) misi baru untuk memperkasakan IT pada sesi 2013/2015 akan datang ini;

Pertama; meneruskan perancangan strategik lima (5) Tahun IT dan Media Baru PAS pada tahap ketiga setelah ‘blue print’  dimulakan  sejak tahun 2001 yang digariskan dalam ISP (Perancangan Strategik IT) JITP3.0 2011-2015 yang meliputi Sistem Aplikasi, Infastruktur dan Infostruktur serta Pembangunan Organisasi/Sumber Manusia secara terancang dan bersepadu di semua peringkat meliputi pusat, negeri, kawasan/MTD dan dewan-dewan.

Kedua; Mendokong pendekatan pembudayaan IT ‘ikut trend’ semasa teknologi terkini dalam membangunkan Sistem Aplikasi, Infastruktur dan Infostruktur serta Pembangunan Organisasi/ Sumber Manusia bagi membolehkan PAS terus berada dihadapan dalam bidang ICT dan Media Baru melalui kursus dan latihan dengan mewujudkan Makmal IT (MIT) dan Akademi Latihan IT (ALIT) untuk melatih pimpinan, kakitangan pejabat dan penggerak serta petugas sukarelawan IT (volunteers) secara profesional.

Ketiga; Berusaha menyelesaikan masalah perkhidmatan ICT dan pengurusan maklumat di’hujung jari’ yang diberikan berkualiti dan memenuhi syarat-syarat CIA, iaitu Confidentiality (keselamatan dan kerahsiaan data dan maklumat), Integriti (ketelusan, ketepatan data dan maklumat) dan Availability (ketersediaan data dan maklumat yang diperlukan dengan cepat dan luas).

Keempat;  Mempertingkatkan program penerangan berkonsepkan, “Meng’IT’kan Penerangan, Mem’Penerangan’kan IT” dengan komunikasi maya atau siber melalui komuniti IT dan ePAS (komITeP) seperti radio dan tv internet PAS serta media baru seperti FB, Twitter, blog, aplikasi touch n get yang dilancarkan pada muktamar tahun lepas dan sebagainya bagi memastikan penyaluran maklumat yang  cepat dan tepat disamping membudayakan keselamatan data dan kerahsiaan maklumat parti dikalangan pemimpin dan penggerak PAS di semua peringkat.

Kelima; Berusaha mempertingkatkan program ‘pemutihan’ keahlian PAS dalam SPOKAS (Sistem Pengurusan Organisasi dan Keahlian PAS) dan  mengkaji semula keberkesanan kemaskini data keahlian supaya kemasukkan (key-in)  data dan maklumat  ahli boleh dibuat diperingkat negeri atau kawasan melalui konsep decentralize dan membangunkan Sistem Informasi Strategik Kajian Awal Pilihanraya (SISKAP) di samping mengemaskini dan mempertingkatkan fungsi Sistem Semakan Daftar Pemilih (SSDP) dan  Sistem Informasi Sepadu Pemilih, Penduduk dan Organisasi (SisPRO) yang telah dibangunkan oleh Jabatan IT PAS (JITP) secara inhouse sebelum ini.

Perlaksanaan 5 misi tersebut akan mengambil kira perkembangan teknologi terkini seperti teknologi mobil, Cloud Computing dan Big Data yang bakal terus memperkasa dan memantapkan gerakerja PAS melalui penggunaan IT.

Adalah diharapkan pertimbangan harus diberikan oleh bukan sahaja ahli tetapi juga  pemimpin PAS dalam memartabatkan IT dalam gerakerja PAS bukan sahaja dalam pentadbiran, penerangan dan pilihan raya tetapi selepas ini meliputi bidang-bidang yang lain seperti pendidikan, pertanian dan sebagainya.

Terimakasih kepada Harakah kerana memberikan ruang kepada saya berkongsi pengalaman dalam kolum Gerbang IT yang baru diadakan ini.

%d bloggers like this: