Tema : ‘MUSLIMAT MANTAP, PERJUANGAN BERKAT, NEGARA SELAMAT’

Ucaptama oleh : YB Ustazah Zailah Mohd Yusof, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat

Tarikh : 21 November 2013

Mempertaruhkan visi ‘MUSLIMAT MANTAP, PERJUANGAN BERKAT, NEGARA SELAMAT’, Muslimat PAS hari ini bersedia mempersadakan PAS dalam arus mainstream politik negara dan juga negeri.

Ketuanya, YB Siti Zailah Mohd Yusof dalam ucaptama perasmian dewan itu menyatakan, visi itu akan terlaksana sekiranya organisasi Muslimat setiap peringkat membuatnya secara terancang.

“Jayakannya melalui apa jua program yang bersifat pengukuhan dan pemberdayaan, berikan prioriti dalam mengisi program-program bulanan dan tahunan Muslimat, baik dalam bentuk seminar, wacana, diskusi, kursus kemahiran organisasi, tamrin, usrah, mukhayyam dan seumpamanya,” jelasnya.

Tambahnya, kematangan Muslimat menghadapi fitnah musuh yang berusaha memporak perandakan keutuhan organisasi dalam siri-siri serangan professional vs ulamak boleh membantu mereka mencapai visi tersebut. Selari dengan visi itu, beliau menyeru Muslimat PAS bersama-sama menyusun langkah kemaraan untuk Islam.

Ucapan Perasmian oleh : YB Dato’ Husam Musa, Naib Presiden PAS

Perasmian Dewan Muslimat PAS kali ini disempurnakan oleh Dato’ Paduka Hj Husam Musa. Beliau memulakan ucapan dengan memberikan contoh Raja Balqis pada zaman Nabi Sulaiman sebagai model kepimpinan wanita sekarang dalam selok-belok berkerajaan.

Antara teknik yang digunakan Balqis adalah bahasa yang lunak, syura dalam urusan negara, kesan penakhlukan asing, hubungan diplomatik dan sebagainya. Kisah pemaisuri ini memberikan pemahaman sejarah yang panjang tentang turun naiknya sesebuah empayar.Urusan berkerajaan di dalam kalangan muslimat kini memerlukan kebijaksanaan tinggi dan berterusan seiring dengan teladan yang di tunjukkan Balqis.

Kisah Balqis ini sebagai ransangan buat generasi muslimat dalam mendepani cabaran membentuk kerajaan gerakan Islam uang berjaya.Jika dilihat pada PRU-13 yang lalu, rakyat sudah memberikan kepercayaan kepada PAS khususnya muslimat. 

Maka para pejuang muslimat disaran beliau suapaya tidak mensia-siakan harapan rakyat ini. Menurut Husam lagi, sasaran kita boleh dicapai andai seluruh jentera berpadu tenaga Pakatan Rakyat mampu menguasai 132 kerusi Dewan Rakyat kelak.

Penekanan Husam kepada kesediaan muslimat untuk PRU-14 akan datang perlu bermula sekarang. Fokus yang ditekankan beliau adalah kerusi marginal iaitu musliamt perlu fokus memenangi kerusi sasaran. Menurutnya lagi, golongan yang masih belum daftar mengundi ini perlu didekati dan diberi kesedaran untuk membuat perubahan. Gerakan pendaftaran perlu berterusan dan dilipat gandakan supaya 4.7 juta rakyat Malaysia yang belum berdaftar kini layak untuk mengundi pada PRU-14.

Husam memberikan gambaran “UMNO InsyaAllah ranap!” andai Pakatan Rakyat berjaya meruntuhkan kepercayaan rakyat kepada parti itu selama ini. Oleh itu menurutnya, PAS mempunyai tugas yang besar di setiap anggota jemaah untuk mencapai kemenangan di seberapa banyak kerusi yang ditandingi.

Peringatan diberikan Husam bahawa PAS masih kurang menambah jurucakap di Parlimen dan DUN-DUN dengan mengambil beberapa contoh. Kedua adalah strategi dakwah di mana perlunya mendekati masyarakat bukan Islam dalam melebarkan pengaruh PAS merentasi kaum.

Namun, Husam memberikan keyakinan bahawa anggota muslimat PAS mampu memberikan momentum dengan menyoroti sejarah keterlibatan muslimat dalam pilihanraya, muktamar dan kepimpinan. Antara tokoh muslimat yang muncul sebagai ahli Parlimen sebenarnya membuka jalan kepada perjuangan muslimat. Husam menyebut di mana Siti Zailah, Dr Siti Mariah dan Dr Lo’ Lo’ di kerusi Dewan Rakyat membuktikan keterbukaan ulama dalam kemunculan suara muslimat di dalam Parlimen.

Di akhir ucapan, Husam menyarankan kepada anggota muslimat supaya memperkukuhkan kekuatan dalam memimpin perubahan. Dengan mengambil contoh Saiyadatina Syifa’ Abdullah, Saiydatina Aisyah dan Saiyadatina Khadijah sebagai sayap kiri perjuangan Islam seharusnya muslimat kita menjadikan mereka ikon untuk terus berjuang.

Sebagai penutup, Dato Husam telah mengumumkan perasmian Muktamar Muslimat PAS kali ke-53 dengan bacaan al-Fatihah.