Masjid Kg Muhibbah

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Mahabbah, Kg Muhibbah Petagas

Mengapa Saidina Umar RA memilih hijrah sebagai permulaan takwim Islam dan bukannya tarikh lahir atau kewafatan Baginda SAW?

Ini tidak lain dan tidak bukan kerana hijrah merupakan suatu peristiwa yang sangat penting. Hijrah merupakan pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Penghijrahan Rasul SAW menjadi pembeza antara kebenaran dan kebatilan melalui model negara Islam yang pertama yang tertegak di bumi Madinah al-Munawwarah.

Negara Islam yang tertegak berasaskan sumber al-Qur’an dan sunnah Rasulullah SAW yang berpaksikan kepada keadilan dan menjaga kemaslahatan agama, akal, keturunan, jiwa dan harta benda melalui perlaksanaan-pelaksanaan hukum-hakam Islam yang menyeluruh dan bukannya pada hukum-hukum yang tertentu sahaja sepertimana yang berlaku di kebanyakan negara Islam hari ini.

Kalau setakat untuk solat, puasa, zakat dan haji, Nabi SAW tidak perlu berhijrah ke Madinah. Dengan hijrah, Islam dapat ditegakkan secara keseluruhannya,  daripada peraturan berumahtangga sehinggalah kepada peraturan bernegara.

Dengan peristiwa hijrah Nabi SAW dapat menunjukkan kepada kita secara praktikal bagaimana Islam dilaksanakan meliputi segala aspek kehidupan samaada aqidah, ibadat, perkahwinan, kehidupan bersosial, ekonomi, menangani masalah jenayah sehinggalah hukum-hakam berkaitan dengan orang bukan Islam dan hubungan diplomatic dengan negara luar.

Tanpa hijrah tidak akan berlaku peristiwa-peristiwa besar yang lain. Tanpa hijrah tidak akan terbinanya Masjid Nabawi, tidak berlakunya persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar, tidak terbentuknya piagam Madinah yang menjadikan rujukan dalam pembentukan perlembagaan.

Tanpa hijrah tidak akan berlakunya perang Badar, perang Uhud, perang Ahzab. Tanpa hijrah bumi Mekah tidak dimerdekakan dari belenggu penyembahan berhala. Tanpa hijrah tidak akan berlakunya perang Hunain, perang Tabuk.

Hasil daripada hijrah, negara Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW yang berpusat di Madinah terus diperluaskan empayarnya padazaman Khulafa’ al-Rasyidin oleh empat khalifah Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali RA. Islam berjaya menumpaskan dua kuasa besar dunia Rom dan Parsi. Semua ini adalah hasil dari hijrah yang diperintah Allah SWT.