Archive for 8 November 2013


MENCARI ADIK SYAHMI

syahmi

Anak kepada sahabat kami Muhammad Syahmi berumur 10 tahun didapati hilang di pantai Kampung Nanamun, berdekatan Kg Rampayan Kota Belud sejak 2 November lepas. Syahmi pada petang 2 November tersebut gagal ditemui ketika sedang berkelah bersama beberapa rakannya dari sekolah tahfiz berdekatan.

Gerakan mencari diadakan secara besar-besaran merangkumi pelbagai jabatan, agensi kerajaan, parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk kampung turut membantu mengesan dan mencari adik Syahmi di laut, darat hingga ke kawasan hutan.

Petunjuk paling jelas hanyalah sepasang selipar kepunyaan Syahmi yang diletakkan di tepi pantai berkenaan. Skuad anjing pengesan juga digunakan sehingga dikatakan mencari ke kawasan hutan berdekatan dan berhenti di suatu lokasi.

Darussyifa’ Sabah turut menghulurkan bantuan dengan aktiviti ruqyah, solat hajat, zikir, azan dan sebagainya. Beberapa rombongan Darussyifa’ bergilir-gilir telah dan akan pergi ke lokasi.  Saya terlibat dalam rombongan kedua bersama-sama dengan Hamid Ismail, Chef Abdullah Ahmad, Yusrizal Anuar dan Cikgu Haji Makhtar berada di lokasi selama 4 jam.

Mohon sahabat-sahabat pembaca blog ini turut mendirikan solat hajat dan mendoakan keselamatan Syahmi serta kesabaran buat ibu bapa dan keluarga Syahmi – Haryadi dan Sufilah. Sehingga catatan ini dibuat, adik Syahmi masih belum ditemui.

Isu Syahmi (1) Isu Syahmi (2) Isu Syahmi (3) Isu Syahmi (4) Isu Syahmi (5) Isu Syahmi (6) Isu Syahmi (7) Isu Syahmi (8) Isu Syahmi (9) Isu Syahmi (10) Isu Syahmi (11) Isu Syahmi (12) Isu Syahmi (13) Isu Syahmi (14) Isu Syahmi (15)

Masjid Kg Muhibbah

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Mahabbah, Kg Muhibbah Petagas

Mengapa Saidina Umar RA memilih hijrah sebagai permulaan takwim Islam dan bukannya tarikh lahir atau kewafatan Baginda SAW?

Ini tidak lain dan tidak bukan kerana hijrah merupakan suatu peristiwa yang sangat penting. Hijrah merupakan pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Penghijrahan Rasul SAW menjadi pembeza antara kebenaran dan kebatilan melalui model negara Islam yang pertama yang tertegak di bumi Madinah al-Munawwarah.

Negara Islam yang tertegak berasaskan sumber al-Qur’an dan sunnah Rasulullah SAW yang berpaksikan kepada keadilan dan menjaga kemaslahatan agama, akal, keturunan, jiwa dan harta benda melalui perlaksanaan-pelaksanaan hukum-hakam Islam yang menyeluruh dan bukannya pada hukum-hukum yang tertentu sahaja sepertimana yang berlaku di kebanyakan negara Islam hari ini.

Kalau setakat untuk solat, puasa, zakat dan haji, Nabi SAW tidak perlu berhijrah ke Madinah. Dengan hijrah, Islam dapat ditegakkan secara keseluruhannya,  daripada peraturan berumahtangga sehinggalah kepada peraturan bernegara.

Dengan peristiwa hijrah Nabi SAW dapat menunjukkan kepada kita secara praktikal bagaimana Islam dilaksanakan meliputi segala aspek kehidupan samaada aqidah, ibadat, perkahwinan, kehidupan bersosial, ekonomi, menangani masalah jenayah sehinggalah hukum-hakam berkaitan dengan orang bukan Islam dan hubungan diplomatic dengan negara luar.

Tanpa hijrah tidak akan berlaku peristiwa-peristiwa besar yang lain. Tanpa hijrah tidak akan terbinanya Masjid Nabawi, tidak berlakunya persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar, tidak terbentuknya piagam Madinah yang menjadikan rujukan dalam pembentukan perlembagaan.

Tanpa hijrah tidak akan berlakunya perang Badar, perang Uhud, perang Ahzab. Tanpa hijrah bumi Mekah tidak dimerdekakan dari belenggu penyembahan berhala. Tanpa hijrah tidak akan berlakunya perang Hunain, perang Tabuk.

Hasil daripada hijrah, negara Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW yang berpusat di Madinah terus diperluaskan empayarnya padazaman Khulafa’ al-Rasyidin oleh empat khalifah Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali RA. Islam berjaya menumpaskan dua kuasa besar dunia Rom dan Parsi. Semua ini adalah hasil dari hijrah yang diperintah Allah SWT.

%d bloggers like this: