Archive for 6 November 2013


SEPUPU DARI BRUNEI

 

Beberapa hari kebelakangan, kami di Kota Kinabalu menerima kunjungan abang sepupu dari Brunei Darussalam. Abang Haji Hamzah dan isterinya, memandu jalan darat selama 5-6 jam dari Bandar Seri Begawan ke Kota Kinabalu, bercuti beberapa hari di sini dan bertemu sanak saudara yang ramai.

Walaupun kami sering bertemu di ruang maya – facebook dan whatsapp, rasanya sudah bertahun-tahun juga kami tidak berjumpa. Abang Hamzah beberapa tahun bekerja di Oman dengan syarikat minyak dan baru beberapa bulan lepas kembali ke Brunei Darussalam.

Sejak sekitar 10 tahun sebelum ini, abang Hamzah dan abang sulung saya bekerja keras melakukan penyelidikan dan menyiapkan salsilah keluarga besar kami. Ia satu kerja yang tidak siap-siap kerana keluarga semakin membesar dan ada saja ahli keluarga baru dengan sebab perkahwinan, persemendaan dan kelahiran anak-anak.

Menarik apabila mereka sempat menemuramah orang-orang tua – yang kini sudah kembali kerahmatullah – bahawa keturunan keenam atau ketujuh kami berasal dari Hong Kong. Patutlah sebahagian wajah-wajah kami masih ada iras-iras kecinaan. Jangan-jangan ada hubungan keluarga dengan Jackie Chan??? Hihihi.

Cerita saya dengan abang Hamzah yang paling menarik dan bersifat semasa sudah tentu tentang titah Sultan Brunei yang menzahirkan hasrat Brunei melaksanakan Undang-Undang Jenayah Islam sepenuhnya bermula April 2014. Taklimat dan kempen berjalan sudah beberapa tahun kebelakangan terhadap rakyat Brunei.

Insya Allah kita akan menyaksikan sebuah negara dalam kepulauan Borneo akan melaksanakan undang-undang syariah dalam kehidupan mereka – Hudud, Qisas dan Takzir. Insya Allah kami berhasrat untuk berziarah ke sana apabila tiba masanya nanti. Terima kasih atas hadiah buku tulisan Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Brunei Darussalam berkenaan undang-undang Islam ini.

Hamzah

Tarikh : 5 November 2013 (Selasa)

Tempat : Sabah Trade Centre, Likas

Tahun ini, tiada anak-anak yang menerima hadiah sempena ihtifal tahunan PASTI Kota Kinabalu yang menggabungkan PASTI Sepanggar dan PASTI Putatan. Kami hadir sebagai memberi sokongan kepada kawan-kawan yang membawa anak masing-masing. Sementara isteri saya berjinak-jinak dengan dunia niaga kecil-kecilan. Gerai kecil menjual kek, kuih dan keropok yang digoreng sendiri.

Menurut maklumat yang diberikan, institusi pendidikan PASTI di Sabah sentiasa berkembang daripada masa ke masa, sama ada bertambah dari segi bilangan premis PASTI dan murid-muridnya. Saya tidak sempat mencatat jumlah sebenar PASTI dan muridnya di Sabah, tetapi sebagai orang yang menghadiri ihtifal ini saban tahun sejak 2008 hingga kini, saya merasai kehadiran ibu bapa yang semakin melonjak jumlahnya.

Dari segi latar ibu bapa adalah pelbagai, ada kalangan penjawat awam, profesional, swasta dan sebagainya. Saya juga menyedari kehadiran ibu bapa yang berjawatan tinggi dan kanan di jabatan kerajaan. Tidak ketinggalan juga mereka yang mempunyai pelbagai latar fahaman politik dan agama termasuk kalangan ahli UMNO dan bukan muslim juga memberi kepercayaan kepada PASTI untuk membimbing anak-anak mereka.

Semoga PASTI terus sukses memberi khidmat pendidikan kepada rakyat Malaysia.

PASTI KK (1) PASTI KK (2) PASTI KK (3) PASTI KK (4) PASTI KK (5) PASTI KK (6) PASTI KK (7) PASTI KK (8) PASTI KK (9)

%d bloggers like this: