Archive for 30 Oktober 2013


Alhamdulillah, pada 26 Oktober lepas sempat diamanahkan sebagai hakim bagi acara tilawah al-Quran dalam Ihtifal KAFA Peringkat Negeri Sabah 2013 yang diadakan di Likas Square. Bersama-sama saya ialah guru kami Ustaz Adam Abdul Hai, Tuan Imam Haji Madli Mansur dan Ustaz Riduan Othman.

Ulasan saya berkenaan acara yang kami ditugaskan sebagai hakim ini, bahawa saya melihat bakat-bakat besar yang perlu diasuh dan dikembangkan kebolehan anak-anak seusia bawah 12 tahun ini. Pada tahap ini, penguasaan tajwid mereka sangat kemas dan kedapatan beberapa peserta yang mempunyai kebolehan asas tarannum.

Setinggi tahniah kepada JAKIM Sabah khususnya Unit KAFA dan para guru KAFA yang bersusah payah melatih anak-anak ini, juga kepada ibu bapa mereka serta para peserta yang berani tampil ke hadapan memperdengarkan tilawah mereka. Semoga semuanya mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

Tilawah KAFA kafa

 

Antara petikan penting ucapan bahas Bajet 2014 oleh Tok Guru Presiden PAS;

1) Ucapan dimulakan dengan mengungkap kembali terjemahan ayat Quran yang telah dibacakan oleh PM Najib pada awal ucapan pembentangan Jumaat lepas;

“Tuntutlah dengan sebanyak-banyaknya kebaikan untuk Akhirat yang dijanjikan oleh Allah dan jangan kamu lupa habuan kamu di atas dunia ini dan hendaklah kamu berbuat baik (kebajikan) seperti Allah telah berbuat baik kepada kamu. Dan janganlah kamu melakukan kejahatan. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang yang melakukan kejahatan.” (Surah Al Qasas: 76).

Ayat ini hendaklah dibaca bersama dengan ayat sebelum dan selepasnya. Ia berkait akan kisah Qarun yang kaya tetapi dibinasakan Allah pada zaman Firaun yang melawan Nabi Musa. Qarun berbuat zalim demi menambahkan kekayaan dirinya.

2) Pihak kerajaan mengumumkan kenaikan cukai dalam pembentangan Bajet yang disediakan oleh pihak eksekutif sedangkan pihak legislatif (parlimen) yang membawa suara rakyat tidak pun dibawa berbincang terlebih dahulu.

3) Kita boleh mengambil contoh perkara baik yang dilakukan oleh Barat. Contohnya dalam isu Syria, PM Britain David Cameron ingin menyerang Syria tetapi beliau merujuk dahulu ke Parlimen. Dengan beraninya Parlimen menyanggah cadangan PM dan terpaksa hasrat tersebut dibatalkan. Begitu juga Presiden US, Barack Obama yang merujuk dahulu kepada Kongres dan tidak menggunakan kuasa vetonya untuk menyerang Syria. Kongres hanya bersetuju jika kos serangan tersebut ditangguh oleh negara-negara Arab.

4) Seringkali kewangan negara itu hilang dek kerana sebab perkara mendatang luar jangka dan salahlaku. Antara perkara luarjangka itu ialah peperangan,keselamatan dan bencana alam yang memerlukan kos yang besar. Salahlaku pula ialah ketirisan, kebocoran wang negara dan hutang.

5) Isu keselamatan-jenayah kian meningkat, kes bunuh, rompak, curi di sana sini. Kita perlu sedari dan akui masalah ini tidak dapat diatasi dengan penggunaan senjata dan pasukan keselamatan sahaja. Di sana adanya aspek lain yang perlu diambilkira iaitu modal insan. Acuan yang telah digunapakai tidak dibangunkan dengan fitrah yang sebenar. Manusia itu secara fitrahnya ada jasad, ruh, akal dan hidup bermasyarakat. Kaitan ini perlu diadun dengan acuan pendidikan. Maka, pentingnya sistem pendidikan negara ini diperbaiki.

6) Seterusnya, peranan media juga perlu dilihat. Filem-filem yang mengandungi aksi bagaimana nak merompak, menyamun dan menipu. Ini boleh mempengaruhi anak-anak kita yang telah diasuh dalam acuan yang salah tadi.

7) Undang-undang yang ada hari ini tidak digeruni oleh penjenayah. Negara Barat yang mencipta sistem ini gagal menangani masalah jenayah. Jenayah yang berlaku di Amerika tidak dihitung mengikut bulan dan hari, tapi dikira mengikut jam dan minit kerana terlalu banyak. Tok Guru mengucapkan syabas kepada negara Brunei yang mengisytiharkan pelaksanaan hukum Hudud dan Qisas walaupun mendapat bantahan oleh Pertubuhan Hak Asasi Dunia kerana mereka tidak memahami bahawa undang-undang Islam bersifat mendidik bukan menghukum. Undang-undang yang mampu menggerunkan penjenayah. Kaedah gantung sampai mati, sebatan yang begitu menyakitkan itu bertentangan dengan Islam.

8) Kita perlu akui terdapat kecelaruan dalam Perlembagaan negara berkaitan agama. Islam dijadikan agama rasmi persekutuan, agama-agama lain diberikan hak untuk beramal. Hairannya, Islam yang dikatakan agama rasmi persekutuan itu sendiri tidak bebas dan dikongkong.

9) Isu ketirisan yang menghilangkan duit negara. Laporan Audit Negara dengan ikhlas mendedahkan segala yang berlaku. Sepatutnya, ia dijadikan iktibar dan pengajaran kepada kita semua malangnya penyelewengan ini terus berulang dari tahun ke tahun. Pesalah lama tidak dihukum dan dilupakan seperti kes Kapal Terbang Skyhawk, Perwaja, KWSP, Tabung Haji dan bermacam lagi. Yang lama dilupakan, datang pula yang baru.

10) Kita semua berada dalam bahtera yang sama, jika bahtera ini tenggelam semua kita terkena. Inilah tugas pembangkang menyelamatkan negara melalui kritikan dan teguran atas masalah yang berlaku.

11) Kebocoran dalam pengagihan subsidi. Ia tidak diagih dengan betul, atas dasar kaum dan parti. Penggunaan wang dibelanjakan dengan sewenangnya apabila berlaku P.Raya Umum dan P.Raya Kecil. Maka, apabila kewangan sudah tidak ada maka kerajaan pun membebankan rakyat dengan mengenakan Cukai GST.

12) Apa makna keadilan..? Keadilan bukan semua kena, dalam Islam ia bermakna meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Rakyat yang miskin sepatutnya dikecualikan. Yang berlaku hari ini, kekayaan negara berpusing dalam kalangan orang kaya sahaja. Begitu juga masalah konsep federalisme yang gagal dilaksanakan, masalah di Pantai Timur dan Pantai Barat, Malaysia Timur dan Malaysia Barat. Pantai Timur sama nasibnya dengan Malaysia Timur yang ketinggalan.

13) Ada pencelahan oleh MP BN (Lenggong) bertanya isu janji Kerajaan Kelantan untuk membina Lebuhraya Rakyat pada PRU baru ini. Lantas, Tok Guru Presiden membidas dan berkata ‘ini bola tanggung yang kamu berikan kepada saya.” Bukankah itu sebenarnya tanggungjawab Kerajaan Pusat..!! Kerajaan Pusat yang tidak menunaikan tanggungjawab ini.

(Dewan gamat sebentar dengan bunyi tepukan meja dan sorakan sokongan dari MP PR yang lain)..

Lihat apa yang berlaku dalam kes Lebuhraya Pantai Timur (LPT), majlis pecah tanah telah dibuat daripada Terengganu sehingga ke Kelantan. Selepas BN kalah pada tahun 1999, lebuhraya itu tidak dibuat maka Kerajaan PAS Negeri Terengganu ketika itu membuat inisiatif sendiri untuk membina lebuhraya daripada kewangan anak syarikat, konsortium luar negara namun ia tersekat kerana perlu melalui MITI dan Bank Negara. Berikan kebebasan kepada negeri, berikan kembali royalti kepada Terengganu dan Kelantan. Dia suruh kita buat tapi dia cekik kita..!

14) Isu hutang dan riba- apabila berpeluang kerajaan sering berhutang dengan bank-bank sehingga terlupa perlunya membayar kembali hutang-hutang tersebut.Apatah lagi, ia dibejati pula dengan riba yang diharamkan Islam. Lihat dalam kes Amerika, Presiden Obama membatalkan lawatan ke negara ini kerana masalah ekonomi yang punca utamanya ialah hutang. Sedangkan US telah diberi amaran pada tahun 90-an lagi kerana bank begitu mudah memberikan pinjaman kepada kerajaan yang ketika itu berbelanja untuk Perang di Vietnam. Pada awalnya, hutang berbilion kemudian Trilion dan apa lagi selepas ini..? Bahkan, mungkin kita ditipu dengan matawang kertas Dollar US yang tidak ada sandaran.

15) Isu TPPA- Kini, kita hendak masuk perangkap pula melalui Perjanjian TPPA. Cuba menyelamatkan mereka dengan masuk dalam perjanjian. Kita jadi macam pakatan antara kucing dengan singa. Kucing hanya boleh jilat sisanya dan kemudian kucing itu ditelan oleh singa.Tok Guru memberikan amaran awal agar jangan terlibat dengan perjanjian antarabangsa yang boleh merosakkan negara.

16) Perbankan Islam- sistem ini amatlah dialukan dan sangat baik tetapi mesti ada matlamat untuk menghapuskan riba. Jangan pula sama-sama naik dan tidak menuju ke arah penghapusan riba.

17) Isu GST- cadangan ini ditolak. Lihatlah kembali dalam kisah Khalifah Umar Abdul Aziz ketikamana gabenor menulis surat kepadanya meminta dinaikkan cukai untuk menampung kewangan negara. Lalu, dia menjawab “kamu berlaku adil atau kamu akan dipecat”. Boleh dikenakan cukai tapi mesti adil. Zakat dikenakan pada golongan yang kaya tidak pada yang miskin, cukai Kharaj dikenakan pada golongan bukan Islam. Zakat tidak boleh dihapuskan tapi cukai bukan Islam boleh dihapuskan apabila kewangan negara mencukupi. Inilah konsep yang adil.

18) Walaupun dikatakan budu, cencalok, tempoyak tidak dikenakan cukai GST tapi ia memerlukan garam, gula,petrol untuk kos pengangkutan. Ia berkait dengan pelbagai aspek lain.

19) Demokrasi yang tulen, sihat, telus dan benar-benar mewakili suara rakyat, ialah apabila ahli parlimen BN dibenarkan untuk berbeza pendirian dengan kerajaan kerana tidak semestinya semua tindakan kerajaan disokong oleh ahli parlimen BN.

20) Akhir sekali, aspek pembangunan insan yang sepatutnya tidak memisahkan elemen ruhani, jasmani dan akal. Kita bukan sahaja ingin melahirkan insan yang bijak dalam ilmunya tetapi turut mulia akhlaknya. Ilmu dan Iman tidak boleh dipisahkan. Kita tidak ingin menjadi ahli parlimen yang ‘rubber stamp’,mengiyakan sahaja apa yang kerajaan cadangkan.

**Catatan ini dibuat berpandukan rakaman ucapan Tok Guru Presiden Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada 28 Oktober 2013.

%d bloggers like this: