masjid hilal

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Hilal Kg Tanjung Dumpil Putatan

Maksud sabda Rasulullah SAW : “Umat-umat lain akan memamah dan meratah kamu sebagaimana orang yang mengelilingi hidangan makanan meratah makanan. Seorang sahabat bertanya : Adakah jumlah kita sedikit pada waktu itu wahai Rasulullah?

Jawab Rasulullah SAW : Kamu ramai tetapi laksana buih banjir, Allah mencabut kehebatan kamu dari hati musuh-musuh kamu dan mencampakkan  ke dalam hati-hati kamu penyakit al-wahn.  Sahabat bertanya : Apakah dia al-wahn itu wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah SAW : Cintakan dunia dan benci kepada mati.”

Hari ini umat Islam dilanda penyakit cintakan dunia dan bencikan mati. Ada ahli-ahli ilmu Islam yang sanggup menjual ilmu agamanya dengan pangkat dan kesenangan dunia. Mereka takut mengharamkan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT, dan takut menyatakan wajib pada perkara yang diwajibkan oleh Allah SWT.

Walaupun mereka bercakap dengan penuh semangat dan berbuih-buih mulut di tv dan radio, namun mereka takut menyatakan arak, judi, riba dan konsert nyanyian yang bercampur gaul lelaki dan perempuan adalah haram, sebagaimana mereka takut berkata negara Islam wajib didirikan dan hukum Allah SWT wajib dilaksanakan.

Terdapat pula dengan banyaknya dalam kalangan orang Islam yang bergelumang dengan dosa dan maksiat menyebabkan mereka takut mati untuk bertemu dengan Allah SWT. Penyakit yang melanda umat Islam bukan sahaja pada jasad dan tanah air umat Islam, tetapi juga pemikiran umat Islam. Umat Islam bukan sahaja diasak dengan teori dan ideologi yang tidak ada kena mengena dengan umat Islam, pada masa yang sama kita ditipu dengan ajaran sesat dan karut marut dengan dipakaikan dengan nama Islam.