BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 22 Oktober. – Negara Brunei Darussalam hari ini melakar sejarah besar apabila mengazetkan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah yang berkuat kuasa enam bulan selepasnya secara berfasa.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengumumkan perkara itu ketika bertitah pada Perasmian Majlis Ilmu 2013 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Dengan izin Allah juga, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Akta Perintah itu mula digazetkan hari ini, 22 haribulan Oktober 2013, dan akan mula berkuat kuasa enam bulan selepasnya secara berfasa.

“Dengan ini Alhamdulillah, pada peringkat ini tanggungjawab kita di hadapan Allah telah pun tertunai,” titah Kebawah DYMM.

Baginda seterusnya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana Majlis Ilmu pada kali ini diisi dengan acara-acara bersejarah yang berkaitan dengan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah.

Menyentuh mengenai tema Majlis Ilmu tahun ini yang memaparkan ‘Undang-Undang Jenayah Syar’iah Menjamin Keadilan dan Kesejahteraan Untuk Semua’, baginda bertitah, selaku yang datang daripada Allah memanglah wajar dan malah wajib untuk diyakini sebagai mampu untuk menjamin keadilan dan kesejahteraan bagi semua.

“Undang-Undang Allah disyari’atkan, bukanlah untuk kepentingan-Nya sendiri. Allah sama sekali tidak mempunyai apa-apa hajat, kerana Dia sendiri adalah Maha Sempurna. Yang berhajat itu ialah kita para hamba, termasuk hajat untuk dapat menikmati keadilan dan kesejahteraan,” titah baginda.

Lalu kerana hajat kita itulah, titah baginda, Allah Subhanahu Wata’ala pun dengan segala sifat kepemurahan-Nya telah menciptakan undang-undang untuk kita supaya kita menggunakannya bagi tujuan memperolehi keadilan.