Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/22873-mulakan-dengan-yang-ringan

Salmiyah Harun, 21 Okt 2013

KUALA LUMPUR: Ketika menghadiri Majlis Hi-Tea Fan Club Ameerah Malaysia Dewan Muslimat PAS Pusat, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkesempatan berdialog bersama lebih 100 anak muda wanita dari seluruh negara.

Pelbagai soalan diutarakan yang berkisar soal politik sehinggalah soalan santai dan peribadi, Abdul Hadi yang mesra dipanggil Ayoh Chik tidak kekok untuk melayan setiap soalan yang diajukan oleh wanita-wanita muda itu. Ikuti sesi dialog yang berlangsung antara anak muda Ameerah dengan beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Bagaimana karakter muslimat yang perlu ditonjolkan apabila terlibat dalam politik. Lembut, tegas atau bagaimana?

Nabi perintah letakkan sesuatu itu pada tempatnya dan bercakap dengan masyarakat mengikut bahasa yang difahami mereka. Penonjolan diri kepada masyarakat ialah bagaimana kita terjemahkan dakwah kita dan politik kita kepada masyarakat. Semua orang boleh terlibat sama ada dalam kalangan ulama atau profesional dan boleh terjemahkan dalam masyarakat mengikut kebolehan masing-masing.

Oleh sebab itu, kita minta pelajar-pelajar PAS mancari ilmu habis-habisan tidak kira bidang apa sahaja. Pada masa yang sama gunalah bidang ini untuk masyarakat mengikut bidang masing-masing. Bukan semua orang kena bersyarah.

Apakah amalan yang paling disukai oleh Tuan guru Abdul Hadi Awang?

Yang paling saya sukai ialah apa sahaja amal yang kita buat mestilah ikhlas. Kalau kita menulis, menulislah dengan ikhlas, kalau kita bercakap, bercakaplah dengan ikhlas. Kerana ikhlas ini perkara yang tidak boleh beritahu orang. Ia lahir dari hati kita. Kita hendak tarik seseorang mestilah puaskan hati dia, hendak puaskan hati dia mesti ia lahir dari hati kita. Bukan terlibat dalam ceramah sahaja.

Jadi nelayan, pergi ke laut pun sama. Yang penting kita praktikan amalan yang kita ada, untuk menarik orang mengamalkan ajaran Islam dengan sebaiknya. Kita kena mulakan amalan kita dengan ringan-ringan dahulu barulah diikuti yang berat. Kadang-kadang orang Umno yang atas pagar boleh ikut kita (PAS). Jangan ‘start’ dengan ‘gear’ lima terus, tidak boleh. Kena ‘start’ ‘gear’ satu biar mereka faham dahulu apa itu Islam Insya-Allah dengan sendiri mereka akan mula dekati kita.

Setiap kali pilihan raya boleh dikatakan harapan rakyat setinggi gunung untuk melihat pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat tetapi apabila keputusan diumumkan ramai pula rakyat Malaysia mengalirkan air mata kecewa. Pada hemat saya kita gagal dari segi strategi dan lemah dalam komunikasi terutama golongan atas pagar. Apakah strategi luar biasa yang difikirkan dari sekarang?

Kita kena ketahui bahawa PAS memilih demokrasi. Dalam persidangan antarabangsa parti Islam, mengatakan bahawa demokrasi adalah yang terbaik bagi parti Islam yang menghadapi rakyat sebangsa dan seagama. Demokrasi adalah sesuai untuk kita berdepan dengan umat kita sendiri. Berbeza kalau kita menentang musuh dari luar. Yang penting dalam pertarungan demokrasi kita dapat menguasai rakyat. Kita tidak boleh menang hanya dengan undi ahli PAS.

Kita mesti menang dengan seluruh rakyat. Kita dapat undi daripada kalangan terpelajar kerana mereka mendapat maklumat sama ada di bandar dan di pinggir bandar termasuk yang mendapat maklumat itu adalah orang bukan Islam. Perubahan yang berlaku di sesebuah negara ialah di mana rakyat mestilah bermaklumat.

Di negara ini rakyat tidak tertekan dengan hidup, walaupun miskin tetapi dapat subsidi dan bantuan. Umno BN sanggup berhutang dan buat apa sahaja untuk dapat duit untuk menjadikan rakyat tidak tertekan dengan kemiskinan. Menjadikan kita sangat sukar. Yang penting adalah memaklumatkan rakyat iaitu mereka mesti faham Islam, mereka faham Malaysia.

Banyak penceramah kita syok sendiri sahaja tetapi orang dan pengundi tidak faham sebab maklumat tidak sampai. Kita hari ini kena mula daripada sekarang sampaikan maklumat kepada rakyat dengan apa cara pun.

Kita juga berusaha menarik rakyat dengan kerja-kerja masyarakat dan ia adalah strategi yang sangat penting. Kita tidak boleh menang dengan melihat orang ramai yang hadir dalam ceramah. Kerana yang hadir dalam ceramah ini adalah orang yang sama. Maklumat kita tidak sampai kepada pengundi di bawah kerana media kerajaan menguasai setiap rumah pengundi.

Sekarang kita sedang hadapi peperangan cyber, kena manfaatkannya. Malangnya kawasan pedalaman seperti Felda tidak ada kemudahan ini untuk dapat maklumat. Kita bercakap dengan menggunakan bahasa yang difahami. Kalau kita ambil pendekatan halau musuh kita tidak akan menang sampai bila-bila. Perubahan pasti berlaku kerana Allah Taala sudah berjanji tidak ada yang kekal diatas dunia yang kekal cuma Allah Taala sahaja.

Bolehkah Ayoh Chik kongsikan pengalaman manis dan pahit sepanjang Ayoh Chik memegang jawatan presiden kepada satu-satunya parti Islam yang ada di Malaysia ini. 

Kenangan manis ialah apabila musuh minta maaf. Inilah kenangan manis saya. Ramai SB datang untuk siasat saya dan baca buku saya, dia datang minta maaf kerana selama ini dia silap. Ini kenangan sangat manis pada saya.

Yang pahit adalah, ketika saya memerintah negeri, tetapi tidak ada kuasa ke atas kerajaan pusat, setelah memerintah royalti dirampas pula. Tidak ada duit. Menghadapi tekanan. Kita menguasai pegawai kerajaan tetapi tidak boleh menguasai kerajaan sepenuhnya. Kita dikalahkan bukan oleh rakyat Terangganu tetapi oleh penipuan. Melalui kajian, undi kita meningkat tetapi tetap kalah.

Bagaimana mahu menjadi penyokong yang seimbang iaitu ulama dan profesional. Masalahnya ialah apabila kita cenderung ke arah satu aliran gerakan siasah ia dicop sebagai profesional atau sebaliknya.

Ahli kita datangnya daripada pelbagai bidang dan disatukan dalam satu jemaah, kita telah membina satu kekuatan yang syumul. Seorang sahaja tidak boleh untuk menjadi syumul. Oleh sebab itulah PAS menyatukan ulama dan profesional. Hari ini Umno berusaha pecahkan ulama dan profesional melalui media.

Kita bukan sahaja hendak mengikut hukum syarak bahkan hendak tadbir dunia. Oleh sebab itu dua-dua kena ada dalam PAS. Ambil pengalaman dalam bidang masing-masing, ambil pengalaman dalam kerajaan untuk kita perintah negara nanti.

Adakah wanita boleh jadi Naib Presiden?

Mengikut Perlembagaan PAS, Ketua Muslimat adalah naib presiden begitu juga Ketua Ulama dan Ketua Pemuda. Kalau muslimat hendak tambah lagi, mesti ditentukan dalam Muktamar.

Menurut cerita daripada sahabat-sahabat di Terengganu, Ayah Chik seorang yang garang, namun hari ini kami lihat begitu berbeza. 

Saya garang dengan musuh. Dengan kawan, apabila kita hendak ajar dia, kena garang juga. Seperti pengikut kita, anak-anak kita. Dengan anak-anak ada masa kita garang, ada masa kita berlembut. Jangan garang sepanjang masa. Tidak boleh. Kita kena tahu bilakah kita garang dan tempat kita lembut. Bukan lembut sepanjang masa, ini tidak boleh.

Ada suatu pengalaman yang membuatkan saya tergelak. Ketika itu saya memancing di tepi pantai. Datanglah pelancong beberapa pelancong. Mereka menegur saya. “Pakcik selalu memancing di sini? Dapat ikan?” Saya menjawab, “Kalau saya tidak ke mana-mana dan ada di rumah, saya memancinglah.”

Kemudian mereka berkata, “Eh, ni presiden PAS kan? Boleh bergambar tak?”
Saya menjawab, “Ya, boleh.”

Itulah antara situasi yang membuat saya menggelakkan saya dan ingat hingga kini. (hadirin ketawa).