majlisBudaya_10202013_tminazirsufari_003(hadi_awang)_540_352_100

Sumber :  http://www.themalaysianinsider.com/opinion/timmy-say/article/buat-pakcik-nelayan-selamat-hari-jadi-ke-66-timmy-say

Oleh : Timmy Say (Penulis adalah seorang jurutera semikonduktor, wartawan freelance, penerbit dan editor buku motivasi yang suka mengikuti perkembangan politik Malaysia)

Sebelum ini, saya seperti bukan Islam yang lain mempunyai persepsi negatif terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang lebih dikenali sebagai Ayah Chik sejak mengikuti perkembangan politik dalam negara selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Media menggambarkan Ayah Chik sebagai seorang pemimpin Islam yang ekstrem dengan laungan jihadnya. Saya tidak memahami perkataan jihad ketika itu, tetapi yang diracunkan pada saya ialah perkataan jihad ini adalah untuk menentang orang bukan Islam.

Cukup tersilap. Jihad hanya maksud memperjuangkan agama Islam dengan jiwa raga dan demi Allah. Bukannya untuk menentang bukan Islam, tapi untuk menyelamatkan semua yang ditindas oleh kerajaan yang zalim. Itulah jihad Islam yang saya faham sekarang. Bukan lagi jihad yang ditakut-takutkan kepada saya melalui media perdana.

Persepsi saya terhadap Ayah Chik mula berubah melalui kenyataan-kenyataan dan peristiwa-peristiwa yang berlaku sejak 2008.

Antaranya ialah kemunculan video bagaimana Ayah Chik sanggup terjun ke laut untuk menyelamatkan seorang hampir lemas di Pantai Rusila pada 2010.

Tiada ego, tiada terasa dirinya sebagai seorang VIP dan terlupa dirinya sebagai seorang presiden parti kedua terbesar Malaysia, itulah antara bacaan saya tatkala saya menonton video aksi Ayah Chik bertungkus-lumus cuba menyelamatkan satu nyawa dalam keadaan berkain pelikat tanpa memikirkan keadaan dirinya yang sudah tidak muda.

Kehebatan Ayah Chik menggulung Muktamar PAS ke-58 juga saya ingat sehingga hari ini. Ucapan ini jauh berbeza dengan ucapan Ayah Chik yang terdahulu – kali ini cukup ralik, cukup berazam dan cukup mempunyai roh dengan berselang-seli dengan klasik hiburan tersendiri.

Melihat gambar Ayah Chik berpakaian pelikat dan pakaian di dalam rumah membantu menyelamatkan kebakaran di Sekolah Maahad Darul Quran yang merupakan sekolah Ayah Chik sendiri yang selalu memberikan kuliah di situ juga mengkagumkan.

Apabila Ayah Chik berbahasa Cina di Kedah ketika berucap di majlis Tahun Baru Cina awal tahun ini, saya teruja sekali lagi. Bukan itu sahaja, di majlis itu, Ayah Chik turut menulis kaligrafi Cina “吉” yang bererti ‘tuah’ untuk dihadiahkan kepada warga Tiong Hua.

Dalam acara menggaul Yee Sang selepas itu, boleh dilihat cara Ayah Chik memegang chopstik seperti seorang yang telah menggunakannya untuk waktu yang lama.

Di satu program anjuran Ameerah Fan Club Sabtu lepas, Ayah Chik sekali lagi menonjolkan kehebatannya sebagai seorang pemimpin.

Tahun lepas di bulan November, manusia ini, yang berkedudukan amat tinggi di dalam dunia politik Malaysia berkata beliau lebih rela menjadi khadam demi rakyat daripada menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

“Saya sanggup jadi nelayan balik,” itulah kata-katanya yang masih diingat saya sehingga ke hari ini ketika ada orang di dalam partinya sendiri ingin melihatnya menjawat jawatan Perdana Menteri.

Betul ke beliau ini suka menjadi nelayan daripada seorang ahli politik? Untuk beliau yang berstatuskan salah seorang ulama yang dihormati di dunia, saya percaya pada jawapannya, walaupun ada sedikit sangsi.

Kesangsian saya pada beliau tamat di program dialog anjuran Ameerah Fan Club yang dihadiri Ayah Chik di satu hotel di Petaling Jaya malam Sabtu lepas. Sesi itu merupakan satu sesi dialog di mana beliau terpaksa menjawab soalan secara spontan daripada para hadirin yang bertanya. Antara soalan yang menarik yang diutarakan ialah mengenai perkara yang paling mengembirakan beliau sepanjang hidupnya.

“Apabila saya menjala di tepi laut, kanak-kanak yang bermain di sana tidak mengenali saya. Ada yang tiba-tiba tersedar tanya, ‘Ini Ayah Chik ke?’

“Apabila saya memancing, ada pelancong yang lalu di situ bertanya, ‘Pakcik ini selalu memancing kat sini ke? Dapat ikan?’ Kemudian mereka kembali dan bertanya, pakcik ini, Presiden PAS ke? Boleh ambil gambar?” jawab Ayah Chik secara berseloroh. Itu jawapan spontan dan ikhlas daripada Ayah Chik.

Dan jawapan ini mengesahkan kenyataan beliau sebelum ini – betullah bahawa beliau ini lebih rela menjadi seorang nelayan daripada bercita-cita menjadi seorang Perdana Menteri.

Bukan beliau tidak layak, tapi bagi beliau, amanah jawatan itu disifatkan beliau sebagai terlalu berat. Jika terpaksa dipikul, beliau akan pikul tapi jika ada orang lain yang lebih sesuai untuk memikul dan melaksanakan amanah tersebut, Ayah Chik akan mendokong orang tersebut.

Sifat tawadduk inilah yang membezakan Ayah Chik dengan ramai pemimpin politik yang lain yang lebih gembira hidup sebagai seorang “pakcik nelayan.”

Di sesi dialog tersebut, Ayah Chik berkata beliau paling mementingkan soal keikhlasan dalam setiap kerjanya. Bahkan, keikhlasan ialah amalan yang paling disukainya.

Bagi PAS, Ayah Chik berkata, parti telah memilih jalan demokrasi untuk mendapatkan kuasa politik melalui kemenangan pilihanraya. Bagi beliau, demokrasi adalah jalan terbaik untuk Parti Islam Se-Malaysia untuk berdepan dengan rakyat dan umat Islam sendiri.

“Yang penting dalam demokrasi ialah untuk memenangkan hati rakyat. Memenangi hati orang PAS sahaja takkan memenangkan kita,” tegas beliau ketika berdialog. Ayat itu cukup menawan kerana ia menandakan bahawa Ayah Chik dan PAS sedar bahawa sokongan semua lapisan rakyat perlu untuk memenangkan PAS.

Ini bermaksud PAS tidak hanya boleh menjaja isu-isu yang hanya sedap didengar oleh orang PAS sahaja. PAS mesti menerajui isu-isu yang meliputi semua kaum, tanpa melanggar apa-apa yang tidak dibenarkan Islam. Di dalam dialognya, Ayah Chik ada menyebut cara menggunakan keikhlasan untuk menawan hati rakyat.

“Kita mesti menawan hati melalui kerja-kerja berkebajikan kita,” tegasnya, sambil menambah senjata ceramah sudah tidak sebegitu berkesan kerana rata-rata hadirin adalah orang sendiri, dan yang mendengar ceramah kurang faham kerana mereka sendiri kurang maklumat tentang apa yang disebutkan. Perang demokrasi, kata beliau, berbeza dengan perang senjata.

“Perang demokrasi kita perlu berjumpa dengan orang. Kita perlu menguasai hati rakyat,” tegasnya.

Ayah Chik berkata masalah terbesar negara ialah rakyat kurang maklumat, dan saluran maklumat dikuasai kerajaan. Itulah antara sebab ramai golongan pertengahan yang menyokong Umno dalam isu kalimah Allah, kerana mereka kurang bermaklumat, tambahnya.

“Maklumat Umno masuk ke setiap rumah melalui TV. Kita ada internet, tapi kita mesti guna bahasa yang mudah difahami. Tapi masalah pada internet ini, orang pedalaman tiada internet,” ujarnya.

Apabila rakyat bermaklumat dan menghadapi tekanan hidup, rakyat mudah bangkit. Tapi situasi di Malaysia berlainan, kata Ayah Chik,  kerana rakyat dikuasai Umno dengan kekangan maklumat, dan tekanan hidup rakyat dikurangkan dengan pelbagai pemberian dengan kesanggupan kerajaan untuk berhutang.

“Ditambah dengan maklumat bercelaru, jadi rakyat di sini masih belum boleh bangkit,” katanya lagi. Dan apakah cara paling mudah menguasai rakyat yang menghadapi kekangan maklumat? Jawapan sudahpun diberi Ayah Chik iaitu – menawan hati melalui kerja-kerja berkebajikan.

Untuk menjadi seorang pemimpin politik, Ayah Chik berkata seseorang itu perlu berilmu dan faham. Berilmu tanpa faham ilmu di tangan tiada guna. Faham tanpa ilmu juga tidak boleh. Contohnya, ilmu dan pemahaman untuk melihat pentadbiran PAS di Kedah dan di Kelantan perlu berlainan atas kesedaran realiti bahawa di Kedah ialah kerajaan campuran, manakala di Kelantan ialah kerajaan yang dikuasai PAS sepenuhnya.

Di dalam sesi dialog itu, Ayah Chik juga menyatakan bagaimana musuh ingin memecahkan PAS dengan memainkan isu golongan ulama dan professional.

“Malangnya ada dalam PAS yang bernari ikut nada yang sama,” katanya dengan kesal. Hujah-hujan Ayah Chik di dialog cukup menonjolkan bahawa beliau seorang ahli politik yang amat bijak, berilmu dan memahami situasi politik di Malaysia. Ini menidakkan dakwaan sesetengah pihak yang kurang mengenalinya bahawa beliau seorang yang kurang mahir berpolitik.

Untuk memenangkan hati rakyat, Ayah Chik tahu apa yang perlu dibuat. Ayah Chik juga sedar mainan musuh untuk memecahkan PAS. Ayah Chik juga faham masalah yang dihadapi rakyat sehingga menyokong Umno-BN. Manusia dikurniakan jasad badan yang baik, tapi ramai manusia yang tidak tahu menggunakan dan menjaga jasad badannya dengan baik untuk melakukan lebih banyak kebaikan daripada keburukan.

Begitu juga dengan PAS. Potensi PAS dalam politik masih tidak dimaksimumkan. PAS adalah satu organisasi yang cemerlang dengan Ayah Chik sebagai presidennya. Ayah Chik adalah faktor penyatu dalam PAS, tapi Ayah Chik tetap seorang manusia yang biasa yang hanya mempunyai dua tangan dan dua kaki dan sepasang mata dan telinga.

Ayah Chik memerlukan kerjasama semua untuk PAS bergerak mengikut hala yang betul untuk menguasai hati rakyat menggunakan amalan berkebajikan dengan ikhlas. Ayah Chik tahu, mengerti, faham dan mempunyai ilmu yang cukup untuk menjaga dan menggunakan jasad ini untuk mencapai potensi yang sebenarnya.

Apa yang diperlukan Ayah Chik sekarang ialah perpaduan dalam parti untuk bergerak ke arah itu dan diharap perkara ini boleh dicapai di PRK Sungai Limau dan muktamar pada bulan November nanti. Umno telah mengambil keputusan untuk mengekalkan barisan kepimpinan yang memberikan prestasi terburuk BN dalam sejarah pilihanraya umum sejak Merdeka.

Dan ini membuka peluang yang terbaik untuk PAS dan Pakatan Rakyat secara amnya untuk menguasai Malaysia di PRU14 nanti. Liputan internet akan menjadi semakin melebar, dan jika PAS dan Pakatan Rakyat dapat menggunakan pendekatan Ayah Chik untuk menguasai rakyat melalui kerja-kerja berkebajikan, peluang untuk menumbangkan Umno-BN adalah cerah.

Buat Tuan Guru Presiden PAS, Ayah Chik kepada semua ahli PAS, yang kedalaman ilmunya digeruni dan dikagumi kawan mahupun lawannya. Selamat Hari Jadi ke-66. Semoga dikurniakan kesihatan berpanjangan. – 21 Oktober, 2013.