ustaz-azizan

Sumber : Harakahdaily

“KALAU boleh biarlah kemenangan PAS untuk memerintah Kedah bukan berlaku masa ana jadi Pesuruhjaya,” itu kata-kata Ustaz Azizan menjelang PRU tahun 2004, sewaktu saya dipanggil ke biliknya untuk mendapat pandangan mengenai calon-calon PAS di kawasan Alor Setar.

‘PAS Tawan Kedah 2004’ adalah slogan PAS bagi PRU11. Selepas PAS mencatat kejayaan memberangsangkan PRU tahun 1999, maka semua menaruh harapan besar bahawa PAS hampir pasti menawan Kedah pada PRU11.

Apabila Ustaz Azizan bercakap begitu sewaktu semua pihak dalam PAS yakin Kedah dapat ditawan, maka apa yang dapat disimpulkan ialah beliau bukan seorang yang gila jawatan.

Ditakdirkan sewaktu ramai yang tidak meletak harapan tinggi bahawa PAS bersama rakan-rakan pakatan mampu menewaskan BN, dalam PRU berikutnya maka kemenangan pun muncul. Ustaz Azizan diamanahkan oleh PAS Pusat untuk memimpin Kerajaan Negeri Kedah sebagai Menteri Besar.

Sewaktu majlis angkat sumpah Menteri Besar Mac 2008, Datuk Seri Mahdzir Khalid berpelukan dengan Ustaz Azizan. Mahdzir berbisik, “Kami tak sangka BN akan kalah teruk di Kedah.” Ustaz Azizan membalas, “Kami pun tak sangka akan menang.”

Sebuah kerajaan ‘tak sangka’ itulah yang dipimpin oleh Ustaz Azizan selama lima tahun.  Ia merakamkan pelbagai catatan pahit manis kepada bekas pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia itu.  Lima tahun tidaklah terlalu panjang namun pelbagai cabaran yang datang menguji wibawa Pakatan Rakyat, sekaligus wibawa Ustaz Azizan sendiri selaku penerajunya.

Sama ada ketika beliau masih hidup atau sesudah tiadanya, kita tidak boleh berbohong dalam menceritakan perihal watak istimewa Ustaz Azizan iaitu seorang yang cengil dan tegas. Keramatnya, orang yang nampak cengil ini disukai ramai  hingga mampu bertahan selama lima penggal pilihan raya (1995-2013).  Kadangkala kita hanya mampu memahami kekerasan beliau mempertahankan tindakan setelah satu tempoh berlalu.

Di penghujung tahun 2007, saya menulis di Harakah membelasah kerajaan negeri pimpinan Mahdzir Khalid dengan menganugerahkan ‘berus jamban’ untuk kerajaan beliau (idea datang dari MB Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo yang memberi anugerah penyapu kepada pegawai daerah yang tercorot dalam pungutan hasil negeri).

Tidak terkecuali dalam kritikan saya ialah segelintir pegawai tadbir Kerajaan Negeri Kedah (KCS) yang menyeleweng. Saya sedar bahawa saya telah membelasah segelintir KCS. Walaupun turut memuji sebahagian KCS yang berkhidmat dengan cemerlang – namun pujian itu tenggelam begitu sahaja.

Ustaz Azizan betul-betul marahkan saya kerana tulisan itu. Lebih-lebih lagi apabila Naib Presiden KCS mengugut akan menyaman penulis. Dalam mesyuarat Perhubungan PAS Kedah saya teruk dihentam. Ustaz Azizan meminta Harakah menghentikan kolum tetap saya. Terasa benar sedihnya, kerana apa yang saya lakukan hanyalah satu usaha untuk menjatuhkan kerajaan BN, tidak padan dengan padah yang diterima.

Mujur Phahrolrazi Zawawi (Timbalan Pesuruhjaya ketika itu) memulihkan keyakinan saya. Melalui SMS beliau berpesan, “Jika kita lakukan sesuatu ikhlas kerana Allah maka kita tidak akan kecewa dengan kutukan manusia.”

Sebaik Pakatan menawan Kedah 8 Mac 2008, saya meninggalkan negeri ini untuk beberapa hari menuju ke selatan tanah air, tidak ambil tahu apa yang berlaku di Kedah. Saya rasakan hubungan peribadi dengan Ustaz Azizan sudah tidak baik.

Pemarah bukan pendendam

Anehnya, sejurus selepas kerajaan negeri meluluskan kewujudan Urusetia Penerangan untuk menggantikan peranan RTM yang hilang ‘walak’ kepada negeri, Ustaz meminta saya mengetuainya. Saya mengambil masa untuk mempercayai bahawa beliau memilih saya untuk satu tugasan penting.  Oh…  Ustaz Azizan mungkin pemarah tapi bukan pendendam.

Tugasan di Urusetia Penerangan tidak dapat mengelak dari berurusan dengan KCS. Urusan menjadi licin apabila KCS memberi kerjasama dan tergendala jika KCS bersikap sebaliknya. Betul tindakan Ustaz beriya-iya tidak mahu institusi yang tiada kena mengena dengan politik diserang dahulu.

‘Ribut dalam cawan’ yang berlaku awal tahun 2012 memberi imej negatif terhadap kepimpinan PAS Kedah. Banyak pihak menempelak Dato’ Phahrolrazi Zawawi kerana kononnya berkonfrontasi dengan Ustaz Azizan. Phahrolrazi dituduh gila kuasa, walhal beliau hanya mahu mengundur diri dengan baik dari barisan Exco kerana tidak mahu banyak berbeza dengan keputusan Menteri Besar. Niat Phahrolrazi baik namun impak negatifnya tetap besar terhadap imej kerajaan Pakatan yang diterajui PAS.

Apabila Pusat campurtangan, kemelut pun selesai. Dalam mesyuarat perhubungan yang berlaku sejurus selepas itu Ustaz Azizan membuka seluasnya kepada ahli perhubungan untuk mencurahkan isi hati. Ada yang tenang, ada yang rasional dan tak kurang yang emosi. Kebetulan Dato’ Phahrolrazi dan Dato’ Dr. Ismail Salleh yang dikaitkan dengan konflik tidak hadir. Ramai juga meminta Ustaz mengundurkan Timbalan Pesuruhjaya 1 dan 2.

Ada juga yang minta dikekalkan. Sambil tersenyum untuk Azizan menjelaskan pendiriannya pula berserta hujah-hujah yang meyakinkan – Phahrolrazi dan Dr. Ismail dikekalkan jawatan dalam perhubungan! Nah, siapa mahu mengesahkan bahawa Ustaz Azizan seorang pendendam? Hanya orang berjiwa besar dapat melakukan perkara besar.

Watak orang politik biasanya banyak berlakon untuk bertahan dalam politik. Lain ceritanya dengan Ustaz Azizan, mampu bertahan lama dalam politik tanpa lakonan. Pantang beliau disuruh berlakon, sekalipun hanya diminta mengacau bubur lambuk untuk dirakamkan lensa kamera. Apa yang keluar dari mulutnya adalah yang lahir dari hati. Beliau seorang yang tegar jati dirinya, sebagaimana beliau bercakap loghat Kedah pekat walau di mana berada.

Banyak lagi keistimewaan Ustaz Azizan. Ada kesempatan kita cerita lagi.

Zulkifli Yahaya

Harakahdaily | 4 Okt 2013