masjid-kg-contoh

Khatib : Ustaz Mahathir Malek

Lokasi : Masjid as-Salam Kg Contoh Petagas

Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadanya; dan sampaikanlah berita gembira (Wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat –

Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.” (Surah al-Hajj 34-35)

Ayat ini, menjelaskan bahawa dengan melakukan ibadah korban itu adalah sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana memperolehi nikmat seperti binatang ternak. Dan berita kegembiraan bagi umat Islam yang sentiasa tunduk taat kepada Allah SWT, kemudian dinyatakan pula sifat dan ciri orang yang taat itu, ialah mereka yang bila disebut nama Allah SWT gementarlah hati mereka, orang yang sabar cekal menempuh kesusahan, orang yang mendirikan solat dan orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepadanya.

Mulialah orang yang bertaqwa dan melakukan sebanyak-banyak amal ibadah, amal soleh dan kebaikan itu semata-mata kerana Allah Ta’ala. Sesungguhnya rasa ketaqwaan dan ikhlas dalam ibadah korban itulah yang akan dapat sampai di sisi Allah SWT, sebagaimana firmanNya (bermaksud) :

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya”. (Surah Al-Hajj, ayat 37)