kalimah-21

Sumber : http://irhafizmansor.wordpress.com/2013/09/26/kembali-kepada-islam/

Suara-suara untuk kembali kepada agama bukan hanya berlaku di negara-negara umat Islam tetapi juga pernah melanda negara Barat. Namun, di sana terdapat beberapa kelemahan yang ketara dalam isu ‘kembali’ yang berlaku di Barat dengan apa yang sedang diperjuangkan oleh PAS dan Gerakan Islam seluruh dunia termasuklah yang diharamkan baru-baru ini iaitu Ikhwanul Muslimin. Saya akan terangkan ‘kelemahan’ tersebut kemudian.

Amerika & Seruan Kembali Kepada Agama

Mr. Dallas, seorang bekas Menteri Luar Amerika pernah menulis satu buku berjudul “War of Peace”. Buku ini menghuraikan dengan panjang lebar kebimbangan beliau terhadap kebangkitan pengaruh Komunisma yang bertapak di negara Soviet. Perluasan kuasa Komunisma ini jelas memberi ancaman yang menyeluruh terhadap kekuatan sistem Kapitalisma yang telah lama menjadi pegangan pemerintahan Amerika terutamanya dari sudut ekonomi.

Di dalam bukunya, Mr. Dallas telah menghuraikan bahaya yang sedang mengancam pengaruh Amerika di seluruh dunia. Beliau menyebutkan bahawasanya pihak Soviet telah melancarkan gerakan ‘Percubaan Dasar Utama Komunisma’ iaitu percubaan besar-besaran penganut Komunis untuk menarik perhatian bangsa-bangsa dunia.

Apa yang menarik, Mr. Dallas telah memasukkan satu subtopik di dalam bukunya iaitu ‘Our Spiritual Needs’. Di dalam subtopik ini, Mr. Dallas telah menukilkan ;

“Sebenarnya sesuatu yang kita tidak miliki kini ialah kepercayaan iman yang sebenar. Tanpa kepercayaan ini, setiap apa yang kita miliki hanya merupakan sesuatu yang kerdil…”

Malah, di bahagian penutup bukunya, Mr. Dallas menegaskan keperluan kepada para paderi dan agamawan kristian untuk kembali menghidupkan spiritual agama kristian dengan harapan dapat mengembalikan semula kekuatan politik serta pengaruh Amerika. Bagi Mr. Dallas, kekuatan spiritual adalah antara tunjang yang mampu menunjangi survival sistem kapitalis Amerika dalam menghadapi ancaman perluasan kuasa Soviet ketika itu.

Kelemahan Dalam Seruan Kembali Kepada Agama di Barat

Di sana terdapat kelemahan yang ketara yang terdapat dalam seruan kembali kepada agama seperti yang diutarakan oleh Mr. Dallas. Antara yang dapat kita perhatikan ialah ;

(1) Mr. Dallas menyeru Amerika supaya kembali menghayati agama Kristian, agama yang telah pun rosak dan hilang sebahagian besar rasa ketuhanannya yang sebenar. Seruan sebegini adalah rapuh dan tidak berguna kerana beliau menyeru kepada sesuatu yang tidak mampu menunaikan harapannya.

(2) Mr. Dallas juga jelas menggunakan jalan agama hanya untuk menyelamatkan survival pengaruh kapitalismanya daripada perluasan pengaruh Komunisma, bukan disebabkan kerana merasai sifat kehambaan.

Apabila kita telah mengetahui kelemahan-kelemahan dalam seruan kembali kepada agama di Barat, maka sekarang adalah lebih mustahak untuk kita kembali meneliti bagaimana seruan kembali kepada agama yang sedang kita perjuangkan. Sesungguhnya seruan kembali kepada agama yang diperjuangkan PAS sangat berbeza berbanding apa yang diseru di Barat.

Kembali Kepada Agama yang Sebenar

(1) PAS menyeru manusia supaya kembali kepada agama yang sebenar iaitu Islam. Islam bukan sahaja mampu menyediakan penyelesaian terbaik dalam permasalahan ummah hari ini bahkan ianya memberikan keadilan dan kesejahteraan kepada semua manusia.

Islam juga agama yang mampu memberi kesan spiritual kepada penganutnya, yang menyebarkan rahmat kasih sayang kepada seluruh alam. Ianya adalah agama yang dipelihara oleh Allah SWT sehingga bila-bila yang mengandungi aturan hidup kepada hambanya daripada sekecil-kecil perkara sehingga kepada sebesar-besar perkara dalam kehidupan manusia. Ianya termasuklah soal ekonomi, sosial masyarakat dan sistem pemerintahan sesebuah negara.

(2) Seruan kepada Islam beerti meletakkan kepentingan agama sebagai keutamaan dalam segala perkara. Ianya bukan beerti sekadar seruan untuk menyelamatkan survival parti seperti yang digunakan oleh parti-parti sekular di Malaysia, juga seperti yang digunakan Mr. Dallas ketikamana menyeru Amerika kembali kepada agama seperti yang dinukilkan di atas.

Agama Allah ini tidak boleh menjadi ‘hamba’ kepada manusia bahkan manusialah yang seharusnya tunduk dan patuh kepada setiap yang diperintahkan oleh agama. Bukankah maksud Islam itu sendiri adalah tunduk dan patuh terhadap apa yang diturunkan oleh Allah SWT melalui Nabi Muhammad SAW?

Sungguh, seruan kepada Islam adalah seruan untuk kembali menghayati ‘ubudiyyah kepada Allah SWT dan kembali mengakui hakikat hakimiyyah Allah SWT ke atas hambanya.

(3) Hari ini kita juga mendengar seruan-seruan ‘perubahan’ yang semakin kuat bergema di seluruh negara. Seruan-seruan ini bangkit dari tidur lena yang panjang yang mengingatkan masyarakat negara tentang kehancuran yang sedang menanti dihadapannya. Namun, persoalannya, ke mana seruan-seruan ‘perubahan’ ini menyeru? Adakah kepada kerosakan bentuk baru atau penyelesaian yang sebenar? Tidak ada penyelesaian yang hakiki melainkan penyelesaian yang disediakan oleh Islam.

Justeru, tidak ada sebab lagi untuk masyarakat berpaling mencari selain daripada Islam. Sesungguhnya yang tinggal tika ini hanyalah kedegilan dan keegoan yang kuat mengakar dalam diri manusia dek kerana hidupnya sudah dikaburi oleh permainan materialistik yang menipu.

Ayuh, kembalilah kepada Islam!