SPRM

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/wawancara/berjuang-di-sebalik-cabaran-1.207445

MUKADIMAH

Transformasi Badan Pencegahan Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lima tahun lalu bukan pada nama semata-mata. Perubahan ini bertujuan meningkatkan kecekapan, keberkesanan, kebebasan dan ketelusan tindakan pencegahan rasuah di Malaysia.

Ia sekaligus diharap dapat menangkis persepsi negatif terhadap entiti pencegahan rasuah ini yang sebelumnya dianggap tidak bebas dan tidak telus. Justeru, mekanisme ‘check and balance’ diwujudkan melalui lima prinsip akauntabiliti yang modelnya diambil dari Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC).

Sempena ulang tahun ke-46 kelahiran agensi ini hari ini, ikuti temubual Editor Sinar Harian, Lailatun Khalilah Nasir, wartawan Sinar Harian, Robiatuladawiyah Abd Rashad dan rakaman lensa kamera Zulfadhli Zaki bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang mengulas usaha SPRM memperbaiki persepsi masyarakat dan meningkatkan keyakinan orang ramai.

Secara ringkas boleh Tan Sri jelaskan perjalanan SPRM, yang sebelum 2009 dikenali sebagai BPR?

Abu Kasim: Pada tahun 2008, Parlimen telah meluluskan akta yang membuka ruang kepada pembentukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR). Ia selaras dengan hasrat masyarakat yang mahukan entiti pencegahan rasuah yang lebih bebas, telus dan profesional.

Dengan itu juga, Akta Badan Pencegah Rasuah 1982 telah digantikan dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009). SPRM beroperasi secara rasminya pada 1 Januari 2009. Selepas lima tahun, kita dapat melihat transformasi besar terutamanya dari segi struktur.

Transformasi BPR kepada SPRM bukan pada nama semata-mata. Perubahan ini bertujuan meningkatkan kecekapan, keberkesanan, kebebasan dan ketelusan tindakan pencegahan rasuah di Malaysia, sekaligus menangkis persepsi negatif terhadap entiti pencegahan rasuah ini yang sebelumnya dianggap tidak bebas dan tidak telus.

Transformasi yang dilaksanakan nampaknya memberi pelbagai impak. Apa pendekatan terbaik yang digunapakai?

Abu Kasim: Kita telah lakukan lawatan ke Hong Kong, kita dapati Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) banyak persamaan, tetapi yang membezakan mereka adalah mekanisme akauntabiliti yang tinggi melibatkan masyarakat. Mereka ada tiga jawatankuasa mewakili rakyat yang memantau ICAC.

Setelah cadangan itu dibawa, kerajaan bersetuju membentuk satu suruhanjaya dan undang-undang baru dalam SPRM, yang waktu itu masih di bawah nama BPR.

Apakah struktur baru yang telah diperkenalkan dan digunakan SPRM hari ini?

Abu Kasim: Dalam struktur yang baru itu ada lima jawatankuasa. Yang tertinggi kita ada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (yang dianggotai ahli-ahli Parlimen), Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Panel Penilaian Operasi dan Jawatankuasa Aduan.

Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah benar-benar memastikan SPRM bertindak telus. Ia terdiri daripada tujuh ahli, tiga daripada kerajaan dan tiga daripada pembangkang serta seorang pengerusi.

Mereka bertanggungjawab memantau kerja-kerja SPRM. Dalam laporan tahunan mereka ada ulasan. Berdasarkan laporan yang dibentangkan, pihak jawatankuasa itu akan menanyakan kepada pihak kami untuk mengetahui apa sahaja, sama ada tahap siasatan atau proses yang digunakan.

Apa yang ditanya selalunya berdasarkan komen masyarakat. Tiada perbuatan melindungi mana-mana pihak. Jika ada kelemahan yang dikesan, mereka akan memberi cadangan untuk diperbaiki. Kelima-lima badan khas ini diwujudkan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam keseluruhan perjalanan SPRM.

Mekanisme ini dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti SPRM dalam pelaksanaan kewajipan undang-undang yang telah ditetapkan. Persepsi yang positif terhadap kewibawaan SPRM dan kerajaan akan memudahkan usaha meraih sokongan dan kerjasama masyarakat dalam membanteras jenayah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

Ahli-ahli badan bebas ini mewakili orang awam yang terdiri daripada bekas pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli-ahli politik (kerajaan dan pembangkang), golongan profesional daripada kalangan ahli perniagaan dan sektor korporat, ahli akademik, peguam dan individu-individu yang disegani.

Apakah antara cadangan yang telah dibawa oleh jawatankuasa khas ini?

Abu Kassim: Dalam laporan yang lepas, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah telah mengenal pasti beberapa perkara dan mencadangkan SPRM untuk menambah keanggotaan dan kewangan serta melakukan beberapa pindaan undang-undang.

Antara undang-undang yang yang dicadangkan untuk dipinda ialah undang-undang menjadi kesalahan mereka yang mempunyai kuasa, memberikan kemudahan kepada saudara mara terdekat. Walaupun sudah ada undang-undang mengenainya di bawah Akta SPRM, tetapi tidak mencukupi.

Rakyat melihat perlu adanya undang-undang yang lebih jelas kerana isu seperti ini menarik perhatian rakyat. Jadi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah melihat perkara ini perlu dibuat pindaan. Terdapat beberapa cadangan lain dari semasa ke semasa, dan pandangan mereka bebas berasaskan laporan.

Siapakah lagi yang terlibat dalam memantau perjalanan kerja SPRM?

Abu Kassim: LPPR yang saya sebutkan tadi. Ia diwujudkan mengikut Seksyen 13 Akta SPRM. Ahli-ahli LPPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, daripada kalangan individu yang berintegriti dan telah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau mencapai keunggulan dalam profesion masing-masing.

LPPR terdiri daripada 12 individu, memberi pandangan dan nasihat kepada Ketua Pesuruhjaya dari semasa ke semasa, mereka ini bermesyuarat setiap bulan dan SPRM juga perlu membentangkan laporan bulanan kepada mereka. Mereka juga boleh memberi nasihat kaedah mengenai kerja-kerja SPRM selain menyemak rekod kewangan, dan jawatan dalam SPRM.

Bagaimana pula dengan fungsi Panel Penilaian Operasi (PPO)?

Abu Kassim: Tugas utama panel ini adalah memantau kerja-kerja SPRM. Contohnya, apabila keputusan telah dibuat oleh pendakwa raya bahawa kes yang disiasat SPRM itu hendak ditutup, maka kes itu akan dibawa kepada mereka.

Selepas mereka berpuas hati barulah kes itu akan ditutup. Jika mereka berpandangan bahawa kes itu masih boleh dibawa ke mahkamah, maka mereka akan menasihati SPRM dan memohon Peguam Negara atau Timbalan Pendakwa Raya untuk melihat semula kes tersebut dan memanjangkan siasatan. Sejak lima tahun lepas, 33 kes berjaya dirujuk semula pada SPRM, selepas pemantauan dilakukan.

Daripada 33 kes yang dicadangkan untuk ditutup itu, akhirnya lima kes berakhir dengan keputusan dituduh di mahkamah. Ini struktur yang sama digunakan di ICAC untuk tidak boleh melindungi mana-mana pihak kerana SPRM juga mewakili masyarakat dan tidak ada lagi yang boleh katakan bahawa SPRM berada di bawah telunjuk Jabatan Perdana Menteri.

Walaupun SPRM telah melakukan pelbagai transformasi, masih ada cakap-cakap yang tidak enak didengar, seringkali dikeluarkan oleh kumpulan pendesak dan pihak pembangkang, apakah usaha SPRM untuk menangani masalah ini?

Abu Kassim: Kami buat banyak jalinan dan pertemuan dengan pelbagai pihak. Pengalaman saya, apabila kita terangkan struktur baru dan peranan jawatankuasa tersebut, mereka juga sedar yang SPRM tidak lagi seperti agensi yang dulu.

Pandangan mereka mula berubah. Dulu mereka terlalu sinis. Berdasarkan kajian kita masih ramai yang tidak tahu kewujudan akauntabiliti kita, lagi banyak orang tidak tahu, akan ada banyak persepsi. Oleh itu, kita telah melakukan interaksi dengan berjumpa parti-parti politik kerajaan dan pembangkang.

Terbaru SPRM telah melakukan perbincangan yang panjang dengan PKR dan pertemuan itu telah berjalan dengan baik. Kita juga melakukan interaksi dengan NGO-NGO dan kumpulan pendesak untuk menerangkan struktur baru SPRM. Hasilnya persepsi mereka mula berubah.

Adakah persepsi kurang tepat itu terhasil kerana kurang mendapat maklumat?

Abu Kassim: Persepsi itu terjadi disebabkan sejarah BPR. Pada mula-mula banyak kesangsian terhadap struktur baru ini. Mereka hanya merasakan ini satu penjenamaan semula kerana mereka tidak nampak perubahan sebenar yang berlaku. Apabila kita menunjukkan ketegasan panel-panel ini, nampak ada perubahan. Setakat ini melalui kajian kita, terdapat peningkatan peratusan kepercayaan masyarakat terhadap SPRM.

Apakah yang dilakukan SPRM untuk menarik minat khususnya komuniti luar bandar yang mudah terpengaruh dengan kata-kata pemimpin mereka?

Abu Kassim: Dapatkan maklumat sebenar dari blog dan portal SPRM dan semua pihak boleh mengemukakan soalan kepada kami secara talian kerana pegawai kami akan memberi maklumbalas secepat mungkin. Pada masa yang sama, tanggungjawab kita untuk terangkan kepada pemimpin tersebut secara mudah kita dapat atasi masalah penyampaian yang tidak betul

Menyentuh mengenai kuasa pendakwaan, ramai pihak berharap kuasa pendakwaan wajar diberi kepada SPRM, apa pandangan Tan Sri mengenai hal ini?

Abu Kasim: Saya telah minta pada kerajaan dan mengemukakan pandangan saya bahawa terdapat beberapa pindaan undang-undang perlu dibuat terlebih dahulu. Kuasa pendakwaan adalah isu kedua. Isu pertama adalah mengubah, memperbaiki dan membentuk undang-undang sedia ada atau yang baru untuk menjadikan SPRM lebih cekap dan berkesan.

Selain itu mewujudkan suasana bahawa kes-kes rasuah ini mendapat komitmen dan sokongan daripada semua pihak. Terdapat keadaan di mana apabila kita menjalankan siasatan kita mengalami masalah kebuntuan, selain kesusahan mendapatkan keterangan kita mengharungi cabaran-cabaran lain dan akhirnya kita berjaya membawa kes kepada pendakwaan.

Walau bagaimanapun, tafsiran terhadap undang-undang kadang-kadang tidak berapa memihak kepada kita. Dalam keadaan susah untuk mendapatkan kes tersebut kita terpaksa bergelut dalam mahkamah untuk  mempengaruhi dan menunjukkan kepada para hakim bahawa kes ini adalah kukuh.

Standard pembuktian yang diperlukan di Malaysia agak berbeza dengan negara lain. Seperti Hong Kong, standard pembuktiannya tidak sesukar di Malaysia. Akibatnya kita terpaksa berjuang dalam sukar. Walaupun kita diberi kuasa untuk mendakwa sekalipun, tetapi dari segi undang-undangnya ada yang menyekat kita untuk mengheret seseorang individu itu ke muka pengadilan, ia tetap tidak menyelesaikan masalah pokok.

Apa yang penting adalah kesukaran SPRM dalam membawa kes-kes besar dan berprofil tinggi. Perkara itu yang harus ditanya apa masalah sebenarnya. Dalam kita menjalankan siasatan, dalam membuat diagnosis, kita mengesan pangkal kegagalan kita apa?

Jadi kita dapati ada keperluan untuk memperbaiki undang-undang yang ketat dalam membuat pembuktian. Contohnya, seorang memberi rasuah dan menerima rasuah dan selepas itu si pemberi itu tersedar kesalahannya dan dia tampil membuat pengakuan kepada SPRM. Masalah sekatan undang-undang kita, kita tidak boleh mengambil pengakuan itu sebagai bukti kukuh untuk mengheret si pemberi dan si penerima ke muka pengadilan.

Undang-undang yang kita ada memerlukan satu saksi bebas yang nampak perbuatan itu, selain pengakuan individu berkenaan. Ketiadaan saksi yang melihat perbuatan memberi dan menerima itu tidak membolehkan kes itu dibawa ke mahkamah. Di negara kita, pada prinsipnya, pendakwa tidak mahu guna pengakuan sebagai keterangan sokongan dalam menentukan pendakwaan.

Itu polisi sekarang. Sebab itu kita buat transformasi untuk atasi perkara itu, bagi membolehkan keterangan orang yang disiasat digunakan. Kalau tidak digunakan orang yang terlibat, kita akan mengalami kerugian besar dalam siasatan kes tersebut. Ini antara kesukaran yang dialami. Jadi apa gunanya kuasa pendakwaan jika tidak ada pindaan dalam undang-undang yang sedia ada.

Di peringkat mana usaha cadangan pindaan undang-undang itu telah dilakukan?

Abu Kassim: Kita ada beberapa pindaan. Kita buat transformasi cara kerja SPRM, jika dulu kita mengambil keterangan bertulis sahaja dan mereka menandatangani. Hari ini kita ada VIR (Bilik Temu Bual Bervideo) di mana bilik ini dilengkapi alat video yang canggih dan sensitif dari segi penerimaan suara dan sebagainya dan membolehkan rakaman dalam kualiti tinggi dibuat.

Rakaman juga dibuat secara sistematik supaya tidak ada cabaran bahawa rakaman itu dibuat berbentuk rekaan atau diubah suai. Dengan adanya video ini, kita berharap apabila adanya kenyataan berbentuk pengakuan, penyataan itu boleh digunakan di mahkamah sebagai bahan menyokong dakwaan orang membuat laporan berhubung kes rasuah yang dilaporkan.

Perkara ini masih dalam proses cubaan. Sekiranya hal ini berlaku, ia akan membantu banyak kerja-kerja siasatan SPRM.

Adakah SPRM mempunyai kuasa untuk menyiasat mana-mana individu yang dilihat hidup mewah sedangkan hal itu di luar kemampuan yang sebenar?

Abu Kassim: Ini antara situasi yang masyarakat salah tafsir. Mereka ingat SPRM ada kuasa untuk terus meminta mana-mana individu mengisytiharkan harta mereka dan tuduh di mahkamah kerana tidak boleh menerangkan dari mana kekayaan itu diperoleh.

Kita lihat situasi sebegini juga berbeza dengan tanggapan orang. Undang-undang sedia ada, untuk membolehkan ia dituduh di mahkamah, hakim mahu ada ‘reasonable to belive’ bahawa satu perlakuan rasuah telah berlaku membabitkan individu tersebut sebelumnya. Kita tidak hanya boleh tengok seseorang itu kaya dan hidup mewah dan jika orang tersebut gagal jelaskan sumber pendapatan mereka dari mana, dan kemudian kita boleh tuduh dia menerima rasuah, itu tidak boleh berlaku.

Mahkamah memutuskan bahawa seseorang yang perlu isytihar harta itu mestilah dalam keadaan ‘reasonable to believe’ bahawa satu perlakuan rasuah telah berlaku terdahulu dalam hidup individu berkenaan.

Cadangan pindaan itu kini pada peringkat mana?

Abu Kassim: Sedang dibuat. Antara perkara yang dicadangkan adalah mengenai liabiliti korporat, selaras dengan undang-undang antarabangsa, syarikat-syarikat tidak boleh membenarkan diri mereka dan syarikat yang diwakili bersekongkol dengan perbuatan rasuah.

Sebagai contoh, mereka membenarkan sebahagian wang syarikat dan keputusan dibuat dalam Lembaga Pengarah, bahawa mereka terpaksa memberi sejumlah tertentu atau imbuhan tertentu untuk mendapatkan Sesuatu projek, tender bagi syarikat. Kalau dulu kita hanya boleh dakwa individu yang terlibat sahaja, tetapi dengan adanya liabiliti Korporat ini, syarikat berkenaan turut akan didakwa.

Perlakuan seperti itu bukan suatu perkara baru, adakah Tan Sri melihat keadaan itu kini berada pada tahap yang kronik?

Abu Kassim: Saya tidak boleh berkata begitu, kerana tindakan kami di SPRM bukan kerana situasi itu sudah berada paras bahaya tetapi kami ingin mengambil langkah pencegahan awal. Malaysia sebuah negara yang cepat membangun dalam semua peringkat, jadi kita ingin mendisiplinkan semua peringkat termasuk kumpulan swasta daripada memberi rasuah.

Pada pandangan Tan Sri, apakah perlu dilakukan oleh pihak kerajaan apabila melancarkan peruntukan untuk sesuatu program untuk kebaikan rakyat agar tidak berlaku ketirisan dalam program yang dibuat?

Abu Kassim: Ini melibatkan proses dan prosedur, ini tindakan dalaman. Jadi tindakan pengukuhan perlu dibuat oleh sesiapa sahaja yang terlibat dalam organisasi tersebut. Contohnya, memastikan prosedur jelas, selepas itu prosedur itu dipatuhi, kemudian dibuat pemantauan, supaya mereka yang tidak mengikut peraturan diambil tindakan.

Saya berpendapat, pada tahun-tahun lepas selepas 40 tahun SPRM menjalankan tugas, kita melihat negara-negara yang berjaya memerangi rasuah mempunyai model pendekatan yang berbeza. SPRM dikenali dari aspek pengawalan pencegahan rasuah yang berentiti luaran. Daripada kajian semasa, kita perlu mengambil tindakan dalaman yang berkesan. Negara-negara maju mempunyai kawalan dalaman yang cukup tinggi.

Masalah sesuatu organisasi tidak boleh diselesaikan oleh faktor luaran sahaja, faktor luaran hanya satu dua kes yang terserlah, tetapi yang tahu apa yang berlaku dalam organisasi itu adalah ketua jabatan dan pegawai dalam agensi tersebut. Apabila kita membuat sesuatu projek perlu ada pemantauan dan penyeliaan yang betul. Kerana ini adalah kaedah pencegahan, bagi memastikan sebarang penyelewengan atau salah guna kuasa tidak dan atau menjadi lebih parah.

Adakah SPRM membantu mana-mana badan kerajaan atau swasta untuk memperkukuhkan kawalan dalam mereka?

Abu Kassim: SPRM ada menyediakan khidmat perundingan kepada jabatan-jabatan kerajaan dan mereka yang berminat. Apabila kita siasat ada sistem yang tidak mantap, kita akan nasihatkan organisasi tersebut untuk ubah sistem dan prosedur itu. Banyak yang kita telah bantu. Kita sedia membantu sesiapa sahaja yang mahu melihat Malaysia bebas dari rasuah, itu iltizam kita dan kita akan bersama-sama membanterasnya.