Archive for 25 September 2013


USTAZ HAJI PARMIN SAHLAN

Ustaz Haji Parmin Sahlan

Beliau seorang yang saya kenali sejak pertengahan 90an, ketika kami mula menuntut di Maahad Tahfiz al-Quran, barangkali agak terlambat saya mendengar nama beliau berbanding perjuangannya dalam dunia dakwah khususnya di Sabah sejak awal tahun 70an lagi. Tahun-tahun pertengahan 90an itu, saya mengetahui beliau bertugas di SMKA Kota Kinabalu dan pernah mengajar ilmu tarannum di beberapa lokasi.

***

Ustaz Haji Parmin Sahlan, anak jati Pontian Johor dilahirkan pada 10 Ogos tahun 1942. Di kampungnya di Kg. Parit Bugis, beliau menjadi imam dan mengajar orang kampung dengan ilmu-ilmu asas al-Quran dan Islam, suatu kerja yang amat diminatinya sebagai guru kepada masyarakat.

Hasrat untuk berhijrah ke Sabah timbul pada tahun 1973, apabila beliau dikhabarkan hendak dilantik sebagai Naib Qadhi di daerah Pontian. Oleh kerana minatnya kepada dunia pendidikan, menjadi guru agama kepada masyarakat menyebabkan beliau akhirnya berhijrah ke Sabah meninggalkan kampung halaman dan jawatan yang bakal ditawarkan kepadanya.

Pada peringkat awal hijrahnya ke Sabah, beliau ditempatkan di pejabat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang ketika itu beroperasi di Bandaran Berjaya, tidak jauh dari Padang Merdeka kini bersama-sama dengan Muhiddin Yusin (Ybhg Datuk) kini mantan Pengarah Pelajaran Negeri Sabah.

Tidak lama, beliau dihantar bertugas di lokasi pertama iaitu di SK Tagaroh Kota Marudu. Tahun 1973 ketika itu, perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kota Marudu memakan masa perjalanan sekitar setengah hari. Beliau berhadapan pengalaman manis dengan kebanyakan masyarakat di kampung tersebut majoritinya adalah saudara baru yang sangat memerlukan bimbingan tentang asas ajaran Islam.

Hanya lapan bulan di kampung tersebut, beliau kemudian dipindahkan ke pekan, iaitu di SMK Pekan Kota Marudu pula. Di sini beliau selain mengajar ilmu fardhu ain dan al-Quran kepada masyarakat setempat di masjid-masjid yang beliau kunjungi, beliau juga mula membimbing kumpulan nasyid, satu seni dakwah yang sangat beliau minati.

SETAHUN DI DAKWAH SENI

Selepas lapan bulan di sini, sekali lagi beliau dipindahkan, kali ini ke Kota Kinabalu. Beliau dimaklumkan oleh Datuk Hamid Egoh bahawa Tun Datu Mustapha sendiri mahu beliau dibawa ke Kota Kinabalu, khususnya bertugas di Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), dengan ditempatkan di satu bahagian yang dinamakan Dakwah Seni. Tun Datu Mustapha dikatakan tertarik dengan kebolehan Ustaz Parmin membimbing kumpulan nasyid dari Kota Marudu yang membuat persembahan dalam mesyuarat agung USIA.

Beliau turut mengimbas kenangan, bersama-sama dengan Ustaz Jalidar Abd Rahim dan Ustaz Bahri, mereka diberikan dana sebanyak RM15 ribu untuk membeli alat-alat muzik sebelum dimanfaatkan dalam majlis-majlis rasmi dan keramaian bersama USIA. Setahun di USIA, beliau dibawa menjelajah seluruh Sabah mengiringi majlis-majlis pengislaman yang dianjurkan oleh USIA dengan persembahan nasyid bagi menarik perhatian masyarakat ketika itu.

KEMBALI KE DUNIA PENDIDIKAN

Selepas itu beliau berpindah lagi dek minat beliau dalam dunia pendidikan. Kebanyakan lokasi beliau tidak lama seperti sebelum ini. Hanya sekitar setahun, beliau berkhidmat pula di SUI Sembulan pada tahun 1977, kemudian berpindah ke Maktab Sabah pada tahun 1978 sebelum ke SRK St Agnes Likas pada tahun 1981-1990.

Beliau terkenang ketika mengajar di sekolah ini, beliau dipanggil sebagai ‘cikgu ustaz’, kerana turut mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan jawi. Anak-anak beliau turut bersekolah di sini, sambil menjual kuih-muih kepada murid-murid beragama Islam kerana pengusaha kantin dikendalikan oleh bukan muslim.

Sekitar tahun 1985, ketika masih bertugas di SRK St Agnes, beliau turut diundang dan mula mengajar secara sambilan ilmu fardhu ain dan al-Quran kepada warga kerja Istana Negeri Sabah, yang ketika itu berketuakan Tun Said Keruak (Allahyarham) sebagai Yang Di Pertua Negeri Sabah. Ketika itulah beliau mencadangkan kepada Allahyarham Tun dan (Tan Sri) Sukarti Wakiman yang bertugas sebagai Setiausaha Sulit TYT agar membina sebuah surau di kawasan istana bagi kegunaan para pekerja istana.

Sesuatu yang menarik perhatian, dalam tempoh itu pihak istana dengan bimbingan Ustaz Parmin turut mengadakan solat hajat banyak kali memohon agar Allah SWT memberi peluang kepada umat Islam memimpin negeri ini. Untuk rekod, sekitar tahun 1985-1994 kerajaan Sabah dipimpin oleh Parti Bersatu Sabah diketuai oleh Datuk Seri Panglima Pairin Kitingan.

Pada tahun 1991, beliau berkhidmat di SMK Agama Kota Kinabalu sehingga pencen dalam perkhidmatan awam pada 1997. Dalam tempoh antara tahun 1995-1997, Ustaz Haji Parmin juga bertugas sebagai pensyarah sambilan di Maktab Perguruan Gaya (kini Institut Pendidikan Guru Gaya).

Apabila pencen pada 1997, tidak bermakna beliau turut bersara daripada dunia pendidikan yang sangat dicintainya. Beliau terus berkhidmat dengan membimbing sebuah tadika yang diadakan di Masjid Jamek Kg Likas.

Ketika umur menganjak ke angka 59 tahun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah menagih kudrat dan kepakaran beliau sebagai Penyelia KAFA selama 8 tahun sekali lagi mengimbas kenangan bersama USIA, dengan sering meninggalkan rumah untuk menjelajah pelusuk Sabah memberi kursus pula kepada para guru-guru KAFA.

Selepas lapan tahun itu, beliau mengakui dengan umur yang semakin lanjut beliau mengangkat tangan tidak mampu lagi berjalan jauh dan berhenti perkhidmatan bersama JAKIM Sabah.

Pada tahun 2008, beliau diamanahkan sebagai guru besar di Madrasah al-Mubarak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu sekaligus ahli jawatankuasa masjid berkenaan sehingga kini walaupun sudah berusia 71 tahun.

Demikianlah beliau, Ustaz Haji Parmin Sahlan yang mendambakan dirinya dalam dunia pendidikan khususnya pengajaran al-Quran sejak usia mudanya sehingga kini dek mengambil manfaat hadith Nabi SAW (bermaksud) : “Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya”.

Dalam masa yang sama, kepakaran beliau dalam bidang tarannum al-Quran turut dimanfaatkan oleh negeri ini dengan sering diundang menjadi hakim dalam majlis-majlis tilawah al-Quran pelbagai peringkat di Negeri Sabah. Di peringkat negeri contohnya beliau sudah terlibat sebagai hakim sejak tahun 1975 lagi dengan kebanyakan dalam kategori tarannum (lagu).

Begitu juga dalam bidang-bidang seni suara lain seperti nasyid, marhaban, barzanji dan lain-lain beliau juga sering diundang sebagai hakim dan pembimbing. Jabatan-jabatan kerajaan dan swasta, institusi pengajian tinggi, sekolah-sekolah juga sering memanfaatkan ilmu beliau kepada warga kerja dan pelajar mereka mempelajari ilmu asas al-Quran khususnya ilmu tarannum.

KELUARGA

Ustaz Haji Parmin mendirikan rumahtangga dengan Puan Suti binti Yusuf yang berasal dari Singapura pada tahun 1961, seorang suri rumah dan pendidik anak-anak mereka sepenuh masa. Anak-anak mereka seramai tujuh orang juga terdiri daripada mereka yang mencintai dunia pendidikan Islam.

Mereka ialah Norhidayah, Jauhariah, Khairul Bashah, Siti Khairiah, Khairunnisak, Siti Faridah dan Mohd Shalahuddin, yang sebahagian mereka terlibat dalam dunia pendidikan juga. Bahkan sehingga kini Ustaz Parmin dibantu oleh salah seorang anaknya Ustazah Siti Khairiah masih mengajar al-Quran di rumah untuk anak-anak penduduk sekitar.

presiden-pas-dan-isteri-wajah-pemimpin-islam-yang-adil

Sumber : http://www.tarbawi.my/2013/06/adil-syarat-wajib-seorang-pemimpin.html

Antara syarat layak bagi seseorang pemimpin adalah memiliki peribadi yang baik dan adil dalam melaksanakan urusannya pada ummah. Pemimpin mestilah berlaku adil, memelihara diri sendiri daripada dosa besar, tidak berterusan dengan melakukan dosa kecil dan tidak melakukan perkara yang menjatuhkan maruah walaupun tidak berdosa. Syarat ini wajib bagi semua jawatan penting dalam urusan agama dan dunia.

Islam mewajibkan pemimpin supaya bersikap adil dalam semua keadaan. Ini menunjukkan keadilan Islam bukannya satu teori di awangan yang tidak berpijak di alam nyata, tetapi ia adalah perintah Allah yang dilafazkan dengan ayat al-Quran. Antara perintah Allah adalah dalam surah al-Maidah ayat 8 :

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Allah menegaskan lagi dalam surah an-Nahl ayat 90;

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.”

Islam mewajibkan kerajaan memantau secara menyeluruh perlaksanaan keadilan dalam negara. Ia merangkumi kelompok kecil seperti keluarga, seterusnya dalam masyarakat, negara dan bangsa, penganut Islam dan bukan Islam, kawan dan musuh, pada masa aman dan peperangan, manusia, binatang, alam sekitar dan lain-lain.

Kewajiban menunaikannya juga dikenakan kepada semua pihak, bukan sahaja ketua negara, juga kepada individu, pemimpin keluarga dan masyarakat di semua peringkat. Semua pihak wajib bersama kerajaan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.

Nabi Muhammad menyatakan s.a.w menyatakan, “Setiap orang di kalangan kamu menjadi penjaga dan orang disoal berkenaan jagaannya. Pemimpin negara adalah penjaga rakyatnya, dia disoal berkenaan rakyatnya. Suami penjaga keluarganya, dia disoal berkenaan tanggungjawabnya. Isteri adalah penjaga rumahtangga, dia disoal berkenaan urusannya. Khadam adalah penjaga harta majikannya, dia disoal berkenaan tugasnya. Anak adalah penjaga harta peninggalan ibu bapanya, dia juga disoal berkenaan pengendaliannya.”

Golongan pertama disebut dalam hadis ini ialah imam atau pemimpin. Tugas pemimpin dalam mentadbir negara akan disoal pada hari kiamat nanti sama ada adil atau zalim. Begitu juga anggota masyarakat yang lain kerana mereka juga adalah anggota dalam masyarakat negara yang besar. Tugas masing-masing tidak selesai dengan mati meninggal dunia ini, bahkan semua urusan diteruskan di hadapan Allah pada Hari Kiamat kelak.

Hak Wanita

Islam memberi penekanan pada wanita dalam aspek keluarga iaitu dalam mengurus rumah tangga dan mendidik anak di rumah kerana kesibukan suami. Inilah cara yang sesuai dengan fitrah manusia. Islam tidak membenarkan wanita menjadi pemimpin dalam sesebuah negara kerana ia boleh menjejaskan fitrah dan kerukunan rumah tangga yang menjadi komponen penting dalam masyarakat. Hidup berkeluarga akan pincang tanpa peranan wanita kerana ia melibatkan pendidikan anak dan keluarga.

Namun begitu, wanita tetap mempunyai peranan yang besar dalam politik. Contohnya, pada zaman awal pemerintahan Islam, kaum wanita turut terlibat dalam Perjanjian Setia di Aqabah bagi mendirikan negara yang berdaulat. Ini bermakna, Islam mendahului lebih dari seribu tahun daripada demokrasi Barat yang memberi hak kepada wanita dalam pilihan raya. Dalam demokrasi Barat, wanita diberi hak pilihan raya di peringkat majlis perbandaran di Bandar Wyoming Amerika pada abad ke-19, kemudian diikuti oleh negara Barat yang lain.

Islam turut melibatkan wanita dalam keputusan yang besar ketika perjanjian Hudaibiyah. Dalam satu peristiwa, Nabi Muhammad menerima pendapat Ummu Salamah bagi menghentikan ibadah umrah kerana melaksanakan keputusan Allah yang berkait dengan pelaksanaan perjanjian itu. Orang bukan Islam yang masih bermusuh menghalang mereka menunaikan umrah sehingga menjadi syarat untuk berdamai dengan membatalkan umrah.

Dalam peristiwa yang lain pada zaman Khalifah Umar, seorang wanita memberi pendapat supaya penetapan mas kahwin secara paksa dihapuskan. Khalifah menerima pandangan sahabat dari kalangan wanita itu. Pada zaman Sultan Ahmad bin Tolun pula, seorang wanita alim yang bernama Sayyidah Nafisah dengan berani menentang perkara zalim sesudah menerima pengaduan orang ramai sehingga sultan itu mengalah dan menerima nasihatnya.

Hak Orang Bukan Islam

Dalam negara sekular, termasuk yang berasaskan kepada prinsip demokrasi tidak memberi layanan yang adil terhadap golongan yang tidak menyokong kerajaan, bukan warga negara dan golongan yang tidak seagama. Walaupun mereka mengaku berjuang atas prinsip hak asasi manusia, mereka tidak boleh menyembunyikan sentimen kebangsaan, kepercayaan parti dan anutan agama.

Islam yang berasaskan akidah atau iman mewajibkan keadilan dan hak pada semua manusia dalam sesebuah negara, walaupun tidak seagama, sebangsa dan senegara. Walaupun dakwah Islam mengajak semua manusia supaya menganut agama Islam, tetapi Islam melarang memaksa penganut agama lain, kerana paksaan tidak menghasilkan Islam yang sebenar daripada keyakinan dan iman yang tumbuh dalam hati. Namun, dalam aspek politik, Islam memberi hak kepada semua manusia termasuk mereka yang memusuhi negara dan umat Islam. Maka kepada orang bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam lebih-lebih lagi diberi hak dengan adil dan diharamkan berlaku zalim pada mereka.

Kepada orang bukan Islam yang diberi hak kerakyatan, dinamakan ‘Ahli al-Zimmah’ iaitu golongan yang diberi kesanggupan dan jaminan. Bermakna sanggup menjadi rakyat dan kerajaan Islam wajib memberi jaminan hak yang adil bukan sahaja menjadi rakyat, termasuk juga hak menganut agama, kegiatan ekonomi dan keselamatan.

Nabi Muhammad sendiri mengangkat golongan ini dengan menyatakan, “Sesiapa yang menyakiti Ahli al-Zimmah iaitu bukan Islam yang menjadi rakyat, maka dia menyakiti diriku sendiri.”

Dalam aspek politik dan pentadbiran pula, mereka diizinkan memegang jawatan menteri kabinet yang terlibat dalam pentadbiran yang bukan dasar yang dinamakan para fuqaha (Wazarah al-Tanfiz) dan jawatan-jawatan yang sesuai dengannya. Amalan ini berlaku ketika negara Islam memerintah masyarakat majmuk dan luas wilayahnya.

Hingga kini, masih wujud zuriat bukan Islam yang hidup mesra dengan masyarakat Islam. Sebagai contoh satu peristiwa pernah berlaku pada zaman Khalifah Umar di Wilayah Barat yang bersempadan dengan Wilayah Rom. Abu ‘Ubaidah sebagai pemimpin bertindak memulangkan bayaran cukai yang diambil daripada rakyat bukan Islam kerana merasa tidak mampu menjamin keselamatan mereka daripada ancaman tentera Rom. Golongan Kristian tersebut tidak mahu menerimanya kerana lebih rela berada di bawah pemerintahan Islam yang adil.

Islam mewajibkan hak diplomatik kepada rakyat sesebuah negara yang mempunyai perjanjian dengan negara Islam. Islam juga mewajibkan hak perlindungan kepada rakyat negara musuh yang datang meminta perlindungan politik dengan jaminan tidak boleh menyerahnya kepada negaranya yang berlaku zalim.

Allah menegaskan dalam surah at-Taubah ayat 6;

“Jika seseorang di kalangan musyrikin datang meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya, sehingga dia dapat mendengar kalam Allah, kemudian sampaikan dia ke tempat yang aman.Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).”

Kenyataan ini menunjukkan Islam lebih awal memberi perlindungan politik kepada pelarian dan pendatang yang dizalimi di tanah air sendiri, mendahului lebih seribu tahun daripada Perjanjian Geneva dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

***

Penulis : YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS). Beliau pernah memangku jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu. Pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah tahun 1969-1973, kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar ke peringkat M.A (Siasah Syariyyah). Semasa di Timur Tengah, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr. Abdul Satar Al Qudsi.

%d bloggers like this: