Archive for 21 September 2013


KULIAH PAGI JUMAAT 20 SEPT 2013

Kuliah Pagi Jumaat

Rakaman Kuliah Pagi Jumaat oleh YB Ustaz Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz, Ahli Parlimen Pasir Mas. 14 Zulkaedah 1434H/ 20 September 2013M. Medan Ilmu, Kota Bharu.

Intisari Kuliah

1) ORANG MUDA

Islam sangat menghendaki kepada orang muda kerana beberapa sifat yang ada pada mereka. Antaranya ialah kerana mereka sesuai bercerita tentang perkara dunia. Jika urusan dunia hendak ditegakkan hendaklah bersama mereka yang mahu kepada dunia. Sementara sifat orang tua kebiasaannya sudah puas kepada dunia yang semakin lama banyak mengingat soal kematian dan akhiratnya. Islam yang hendak dijalankan ialah semasa hidup di dunia, jadi orang muda sangat sesuai memakmurkannya.

Mereka yang hendak memakmurkan dunia perlu kepada ilmu, jika tidak akan mudah ditipu. Ilmu ini pula mudah dikuasai oleh orang muda berbanding orang tua walaupun orang tua mahu belajar ilmu. Jadi orang muda hendaklah mengambil kesempatan usia muda dengan menuntut ilmu sementara orang tua walaupun tetap belajar, tumpuan utama hidup adalah mencari rezeki. Walaupun hidup di dunia, ilmu yang terbaik ialah ilmu yang berkaitan dengan akhirat.

2) ILMU

Tiada ilmu yang paling bermanfaat melainkan ilmu akhirat. Manusia memperolehi ilmu dengan dua jalan. Pertama, ilmu yang datang melalui akal fikiran, hanya melalui otak manusia yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Kedua, ilmu wayhu berkaitan perkara ghaib yang perlu kepada pimpinan Allah, seperti perkara masa hadapan termasuk malaikat, syaitan, dosa pahala, hinggalah ke akhirat.

Atas kasihan belas Allah SWT, Dia menurunkan al-Quran agar manusia boleh berfikir dan menyesuaikan amalan dan fikirannya selaras dengan al-Quran. Al-Quran menceritakan tentang balasan baik dan jahat atas amalan manusia dengan syurga dan neraka. Dua ilmu ini hendaklah digabungkan dalam kehidupan manusia. Ilmu adalah salah satu kebaikan yang Allah SWT berikan kepada manusia dan ilmu terbaik ialah ilmu yang menyebabkan seseorang faqih dalam agama.

3) ULAMAK

Berdasarkan hadith Nabi SAW, bahawa mereka yang diberikan kefahaman dalam agama adalah mereka yang mendapat kebaikan daripada Allah SWT. Justeru mereka yang menggabungjalin dua ilmu tadi adalah mereka yang sebaik-baik pemimpin. Selagi ada mereka, hendaklah mereka diutamakan yang menjadi pemimpin sebagaimana PAS meletakkan ‘Kepimpinan Ulamak’ melalui Majlis Syura.

PAS tidak mewajibkan presiden dan timbalannya daripada kalangan ulamak tetapi mengutamakan mereka memimpin dengan syarat mengetahui urusan politik. Politik adalah satu bidang di dalamnya banyak berlaku tipu daya oleh mereka yang tidak berpolitik dengan Islam. Maka mereka yang paling jahat berada dalam politik, seperti Firaun, sehinggalah zaman ini apabila orang jahat menceburi bidang politik.

4) TIGA SIFAT YANG MEROSAKKAN

Sayyidina Hassan bin Ali, ketua pemuda syurga yang juga cucu kepada Rasulullah SAW : Manusia rosak pada tiga perkara :

Pertama, TAKABBUR. Ini adalah penyakit pertama makhluk tuhan seperti yang berlaku keatas iblis yang tidak mahu hormat kepada Nabi Adam AS apabila diperintahkan oleh Allah SWT. Kedua, TAMAK. Ini adalah penyakit yang menimpa Nabi Adam AS, apabila sedang gembira beribadah kepada Allah SWT, dihasut oleh iblis bahawa ada sesuatu buah yang akan menyebabkan tidak mati. Ketiga, DENGKI. Inilah sifat yang berlaku pertama kali di muka bumi yang merosakkan anak Nabi Adam AS apabila salah seorang dengki kepada saudaranya sendiri.

5) PERBAHASAN NEGARA ISLAM

Ada enam pendapat penamaan sesebuah pemerintahan sebagai negara Islam :

Pertama, negara Islam ialah negara yang menjalankan pemerintahan Islam. Negara yang tidak menjalankan pemerintahan menurut Islam tidak dinamakan negara Islam.

Kedua, negara Islam ialah apabila penduduknya merasa aman dan terpelihara.

Ketiga, negara Islam ialah negara yang menjalankan pemerintahan Islam dan penduduknya merasa aman.

Keempat, negara Islam ialah apabila ada penduduk muslim yang boleh beribadah seperti biasa walaupun dikuasai bukan Islam.

Kelima, negara Islam ialah apabila terdapat syiar agama Islam di sesebuah negara seperti azan, solat berjemaah dan sebagainya.

Keenam, negara Islam ialah apabila ada umat Islam dan terdapat syiar Islam di dalamnya.

Mengaji di rumah

Alhamdulillah, minggu pertama kelas al-Quran dan Iqra berjalan elok di rumah kami. Minggu pertama berlangsung dengan penuntut mencecah hampir 10 orang. Dalam masa yang sama, kami menerima permintaan dan pertanyaan hampir setiap hari bertanya tentang kelas ini.

Suka saya memaklumkan kelas kami berlangsung setiap isnin hingga jumaat, jam 7-9 malam atau 9-11 pagi mengikut pilihan masing-masing. Kelas ini mengkhususkan kepada penuntut berikut : Kanak-kanak (lelaki & perempuan), remaja (lelaki & perempuan) dan dewasa (perempuan sahaja).

Kebanyakan kelas akan dibimbing oleh isteri saya dan selebihnya saya akan turut membantunya. Selamat belajar al-Quran dan mengumpul pahala. Hubungi saya, 013-8510199

%d bloggers like this: