Masjid Kg Pasir Putih Putatan

Khatib : Haji Lamsin Anggali

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

Maksud firman Allah SWT : Katakanlah (wahai Muhammad): “Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)”.

Kematian adalah sesuatu yang sangat pasti bagi seluruh makhluk yang dikurniakan nyawa oleh Allah SWT. Ia  adalah satu topik yang tidak digemari oleh manusia yang cintakan dunia dan bencikan kematian apatah lagi apabila hati terpaut kepada nikmat dunia dan langsung tiada persediaan terhadap akhirat.

Maksud firman Allah SWT : Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali Imran : 185)

Justeru sementara Allah SWT memberikan kelapangan kepada kita untuk hidup, lakukanlah kebaikan sebanyak-banyaknya. Jika kita merasakan diri banyak melakukan kesilapan, lakukanlah perubahan dan bertaubat kepada Allah SWT. Jangan berputus asa untuk meminta keampunanNya kerana Allah SWT adalah sebaik-baik pengampun.

Firman Allah SWT : Katakanlah (wahai Muhammad) : “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (az-Zumar : 53)