masjid besi

Sumber : JAKIM

“Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan!”

Nabi Muhammad SAW telah membawa pendekatan yang lebih baik dalam mewujudkan persefahaman antara masyarakat. Budaya yang dahulunya berteraskan ketaksuban kepada kabilah yang diwarisi dari nenek moyang bertukar menjadi lebih islamik dan mempunyai ciri-ciri nilai sejagat.

Dalam piagam Madinah, Rasulullah SAW telah menetapkan kepada semua penduduk Madinah agar menyayangi dan menghormati bumi Madinah. Antara yang termaktub dalam Piagam tersebut ialah :

Sesiapa yang cenderung atau melakukan perkara-perkara yang menjejaskan perpaduan di kalangan warga Madinah, maka orang itu dikira sebagai mencabul kesejahteraan Madinah.

Sejarah juga memaparkan ketika di zaman khalifah Umar al-Khattab RA, kerajaan Islam amat kuat dan ajarannya berkembang dengan begitu pesat sehingga menaungi dua pertiga dunia. Kejayaan pemerintahan mereka diasaskan kepada kemampuan mereka menghayati prinsip pengendalian negara berpandukan al-Quran, iaitu prinsip “al-adl wal-ihsan” iaitu memupuk keadilan dan kasih sayang di kalangan umat manusia sebagaimana yang dinukilkan di dalam Surah An-Nahl, ayat 90 :

Bermaksud : “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kerabat, dan Dia melarang (melakukan) perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”

Persoalan besar timbul bagaimanakah untuk merealisasikan persefahaman seluruh rakyat Malaysia agar semua dapat menerimanya?. Antaranya ialah mengamalkan sikap toleransi antara masyarakat dengan saling menerima antara satu sama lain. Senantiasa sedar dan tahu tanggungjawab sebagai anak bangsa serta berkerjasama ke arah mewujudkan persefahaman.

Berdasarkan kepada perkara ini maka, sikap emosional, keterlaluan, fanatisme dan terlalu mementingkan diri perlu dibatasi dengan kewarasan dan rasionalisme yang bertunjangkan keadilan untuk semua. Sekiranya menghadapi masalah, semua pihak harus memilih perundingan dalam menyelesaikannya bukannya memilih jalan konfrontasi dan bertindak diluar batas kemanusiaan seperti melakukan keganasan dan rusuhan.

Bayangkanlah perbuatan seperti ini jika diteruskan pasti menyebabkan negara menjadi kucar kacir, terjejasnya ekonomi, bertambahnya jenayah seterusnya mewujudkan masyarakat yang saling bermusuhan. Sesungguhnya, perkara seperti ini harus dielakkan bagi menjamin keutuhan dan kemakmuran sebuah masyarakat dan negara.

Percayalah bahawa perbezaan agama, bangsa dan budaya bukanlah penghalang terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara sesama manusia. Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, tetapi kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan. Ternyata bahawa Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada orang yang berbeza akidah sebagaimana sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya:

“Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam (Ahli Zimmah) yang berada di bawah perlindungan Islam, makasesungguhnya ia telah menyakiti aku, dan barangsiapa yang menyakiti aku, maka sesungguhnya ia telah menyakiti Allah”.(Riwayat at-Tabrani).”