Archive for 11 September 2013


Sem 1- Tajwid

Ada sedikit kebimbangan saya terhadap anak-anak siswa-siswi semester 1 dalam dua subjek yang berkait rapat. Saya mengajar subjek tajwid di kelas ini, tetapi sekaligus mengambil berat subjek asas iaitu hifzul Quran. Foto di atas menceritakan situasi yang saya buat untuk mereka, mengulangkaji hafazan al-Quran juzu’ 1, sekaligus menilai amali tajwid mereka.

Al-Quran dan tajwid tidak dapat dipisahkan, kerana membaca al-Quran secara bertajwid hukumnya fardhu ain. Hukum hakam asas seperti mad, nun mati dan tanwin, mim mati, dan sebagainya sudah diperturunkan. Ada yang agak menonjol kebolehannya dan ada juga sebaliknya. Tidak ada niat menyalahkan mereka justeru saya sebagai pendidik mahu memperbaiki diri. Jika mereka belum pandai maka usaha dengan doa agar semakin hari semakin baik dan bagus. Saya nampak potensi mereka.

Kawan-kawan doakan ya.

nik-zawawi

Sumber : http://ulamak.pas.org.my/v3/index.php/artikel02/minda/150-mengupayakan-mekanisme-agihan-zakat-untuk-basmi-kemiskinan

Zakat merupakan rukun Islam ke-4 yang wajib ditunaikan setaraf dengan kewajipan solat. Tujuan utama di syariatkan zakat adalah untuk merapatkan jurang ekonomi dan pendapatan dalam sesebuah masyarakat di antara golongan kaya dan miskin, membasmi kemiskinan dan meringankan beban golongan asnaf. Zakat juga mampu menjana kuasa beli rakyat dan mempertingkatkan produktiviti negara.

Satu ketika dahulu, negara dikejutkan dengan isu kemiskinan sehingga ada dalam kalangan rakyat yang menagih simpati daripada penganut Kristian dan sanggup dimurtadkan. Berlaku juga dakwaan salah laku wang Yayasan Taqwa oleh menteri, lebihan wang zakat tahunan berjuta-juta dan pada masa yang sama berita kemiskinan di pelusuk tempat dilaporkan, pelajar tidak mampu menampung pengajian kerana tiada bantuan dan birokrasi dalam pemberian bantuan zakat kepada para asnaf. Justeru, timbul persoalan di minda masyarakat tentang keberkesanan agihan zakat dalam membasmi kadar kemiskinan rakyat.

Kadar Kemiskinan negara merupakan lambang kemunduran bagi sebuah masyarakat dan negara. Walaupun kadar kemiskinan pada 2012 telah menurun lebih 60 peratus kepada 1.7 peratus sejak awal kemerdekaan dan kadar isi rumah bulanan pula meningkat daripada RM4,025 pada tahun 2009 kepada 5,000 pada 2012. Namun ia tidak meletakkan pihak pengurusan zakat di zon selesa walaupun kutipan dan agihan zakat meningkat saban tahun tapi isu kemiskinan sering kedengaran dan perlu diambil berat oleh semua pihak.

Jika dilihat kepada punca berlakunya kemiskinan, ia dapat dilihat kepada dua sudut; kemiskinan bandar dan kemiskinan luar bandar. Kemiskinan bandar berpunca dari penghijrahan rakyat dari luar bandar. Sesetengah dari mereka tidak mempunyai kemahiran professional untuk mendapatkan kerja, disamping kos sara hidup di bandar adalah tinggi dan kekurangan peluang pekerjaan. Manakala kemiskinan luar bandar atas faktor pekerjaan yang terhad dan taraf pendidikan yang rendah.

Islam sentiasa menganjurkan usaha membasmi kemiskinan kerana kesannya amat besar terhadap individu, masyarakat dan negara. Kemiskinan menghampiri kekufuran, ia telah dijelaskan oleh Nabi SAW dalam sabdanya: “Hampir orang yang fakir miskin itu membawa kepada kekufuran.” – (Riwayat Abu Namin daripada Anas). Kemiskinan juga menyumbang kepada keruntuhkan akhlak dan budi pekerti dan akan mengancam keselamatan masyarakat dan negara.

Masyarakat cukup memuji langkah yang diambil pihak penguasa agama dengan usaha memudahkan masyarakat untuk membayar zakat dan sekaligus memudahkan pihak berkenaan mengutip zakat. Namun isu besar yang harus diutamakan ialah soal pengagihan zakat perlulah diutamakan dan tindakan secara efektif perlu diambil dalam membasmi kemiskinan rakyat. Isu pengagihan zakat sudah mendapat tempat dalam hati masyarakat hari ini setelah isu kutipan zakat sudah selesai dengan melihat kepada jumlah kutipan zakat meningkat setiap tahun. Oleh sebab itu, tidak pelik jika rakyat mempersoalkan tentang pengagihan zakat bila timbulnya isu kemiskinan.

Dalam hal ini, isu birokrasi dan prosedur pihak pengurusan zakat bagi menjaga harta zakat agar diberi kepada asnaf yang layak dan mengelak dari ketirisan perlulah diseimbangkan dengan tuntutan ‘memudahkan’ agar rakyat tidak putus asa dengan institusi zakat.

Tidak cukup sekadar institusi zakat ‘menunggu’ golongan asnaf untuk datang meminta bantuan zakat di Pejabat Zakat atau Majlis Agama Islam Negeri, bahkan mereka haruslah ‘mencari’ golongan fakir miskin khususnya untuk diberikan bantuan melalui kerjasama institusi zakat dengan pihak-pihak lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jika rancangan TV seperti Bersamamu mampu menjejak golongan fakir miskin, satu keaiban bagi institusi zakat jika gagal berbuat demikian. Maka, satu jawatankuasa bertindak harus ditubuhkan bagi menyiasat kemiskinan di sebahagian tempat untuk mengatasi masalah ini. Usaha Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan Ops Jejak Kemiskinan yang memfokuskan kemiskinan bandar wajar diteruskan dan diteladani.

Zakat juga bertujuan sebagai pintu keluar dari beban kemiskinan. Bantuan bersifat one-off dan kurangnya kesedaran golongan asnaf untuk keluar dari kepompong kemiskinan berlawanan dengan maqasid zakat itu sendiri. Saidina ‘Umar r.a. pernah berkata: “Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”. Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi juga menyebut bahawa “ fungsi zakat bukan seperti suntikan penenang yang boleh meringankan derita untuk beberapa saat tetapi sebagai ubat penyembuh yang boleh basmi penyakit sehingga akar umbi.”

Di antara langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan dan pihak penguasa agama dengan mengkaji semula paras kemiskinan rakyat dan memberikan bantuan yang memadai dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Pengutan zakat juga perlu dipungut dan diagihkan secara setempat agar keciciran golongan asnaf tidak berlaku dan mampu menyelesaikan masalah kemiskinan setempat. Dengan lebihan wang zakat setempat barulah wang zakat diagihkan ke kawasan sekitar yang tidak mencukupi.

Pihak pengurusan masjid juga boleh menganjurkan program keluarga angkat masjid dengan mensasarkan ahli qaryah bekerjasama membantu keluarga miskin secara konsisten dan seterusnya mengeluarkan mereka dari kemelut kemiskinan.

Budaya kerjasama antara institusi zakat dengan pihak masyarakat harus bergandingan bahu dalam menyelesaikan isu agihan zakat dalam membasmi kemiskinan. Masyarakat boleh mencadangkan nama-nama asnaf yang layak menerima zakat kepada pihak institusi zakat dan mereka akan menyiasat latarbelakang dan mengagihkan bantuan jika layak.

Kesimpulannya, masyarakat harus sedar bahawa zakat yang menjadi sebahagian polisi fiskal negara akan menjadi kayu ukur tentang pendekatan Islam dalam menyusun dan membangun masyarakat melalui keberkesanan agihan zakat.

Ustaz Nik Zawawi

Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas.

%d bloggers like this: