Amanat Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Kepada Ahli Darussyifa’ di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Kebajikan & Pengubatan Islam Malaysia pada 7-Sep-2013 di Bangunan Darussyifa’ Bandar Baru Bangi.

Ringkasan ucapan perasmian :

1) Darussyifa’ walaupun ditubuhkan secara rasmi pada akhir 80an, namun hakikatnya aktiviti merawat secara syarie telah bermula lebih awal pada  1976. Syukur kerana Darussyifa’ lebih awal menggerakkan aktiviti ini kepada masyarakat walaupun ada kalangan masyarakat termasuk kenamaan yang mencemuh secara terbuka aktiviti merawat ini.

2) Kita tahu dan yakin bahawa ini adalah sistem rabbani, Allah SWT menyuruh kita untuk berdoa kepadaNya dan Allah SWT pasti menerimanya sama ada segera atau lambat.

3) Tidak pernah terbayang di dalam kepala, bahawa pengubatan Islam ini akan diterima secara meluas oleh masyarakat, diterima oleh kerajaan bahkan Kolej Universiti Cyberjaya menawarkan kursus diploma perubatan Islam dan meminta beliau sebagai profesor anjung.

4) Pihak berwajib telah menjadikan Darussyifa’ sebagai model, dan dalam banyak hal merujuk dan melihat Darussyifa’ dalam urusan pengubatan Islam. Darussyifa’ menjadi bahan ukuran dan perbandingan dengan pusat rawatan Islam yang lain.

5) Buat masa ini hanya Darussyifa’ yang ada menyediakan rawatan bangunan seperti sekolah, kilang, hospital, universiti, kolej dan sebagainya. Justeru ramai pihak yang memohon bantuan tersebut.

6) Oleh kerana masyarakat sudah menerima kehadiran dan memerlukan Darussyifa’ sebanyak 65 buah cawangan rasmi seluruh negara, maka jagalah nama baik ini dan jangan dihampakan mereka. Gunakanlah kaedah rawatan Islam sebagaimana yang telah diajar di dalam pengajian Darussyifa’.

7) Masih ada kalangan perawat Darussyifa’ yang mengatakan kepada pesakit bahawa mereka ada saka, membuat dakwaan orang menyihir dan sebagainya. Sedangkan perkataan seperti mendakwa ada saka sebegitu menyebabkan kita sudah menuduh keturunannya melakukan syirik kepada Allah SWT. Jika ada yang berkata begitu, agama melarang perbuatan berkenaan.

8) Saranan kepada Darussyifa’ negeri agar pelaksanaan rawatan dilihat kepada Darussyifa’ Pusat di Bangi. Contohnya menjadi kaedah rawatan, siapa ketua perawat, ke mana duit sumbangan rawatan disiplin pakaian, adab tutur kata dan sebagainya. Darussyifa’ Pusat menjadi petunjuk untuk Darussyifa’ Negeri-Negeri.

9) Ahli-ahli Darussyifa’ yang mempunyai kelayakan tertentu dan pengalaman sebagai pensyarah adalah dipelawa untuk mengajar dalam Darussyifa’ dan pusat-pusat pengajian lain bagi mempromosi ruqyah Islamiyyah

10) Ada pihak dari Korea membuat rakaman dan gambar di Darussyifa’ untuk program pameran rawatan Islam. Penglibatan pihak bukan Islam sebegini sangat mustahak agar mereka mengetahui bagaimana kita melakukan dan merawat pesakit-pesakit yang datang kepada Darussyifa’.

11) GAPPIMA ditubuhkan untuk menggabungkan persatuan-persatuan perawat Islam. Maka Darussyifa’ yang menjadi ahli gabungan mesti berperanan dan GAPPIMA mesti menjadi tonggak dan perawatnya disahkan sebagai pengamal perubatan Islam.