Archive for 10 September 2013


Sumber : http://myfaisalonline.blogspot.com/2013/09/3-jenis-skrip-dalam-memahami-krisis.html

Kelihatan banyak perbincangan dan discourse yang membicarakan tentang konflik timur tengah. Cuma, setiap pembicara mempunyai perspektif yang tersendiri apabila berbicara tentang konflik ini. Terdapat tiga skrip perbincangan dijalankan berdasarkan kepada bentuk audien yang ingin dicorakkan dalam memahami krisis ini iaitu perbincangan yang berakhir dengan emosi, perbincangan yang membawa misi ideologi dan perbincangan yang membawa misi gerakan Islam. Tulisan ini akan memaparkan tiga jenis skrip perbincangan tersebut yang digunakan ketika menjelaskan Krisis Timur Tengah, khususnya Mesir.

Pertama: Emosi yang apologetik

Penjelasan krisis Timur Tengah sama ada di Mesir, Syria, Palestine dan sebagainya berkesudahan dengan perasaan yang sangat sedih dan disulami dengan nada kesal atas apa yang berlaku terhadap umat Islam di sana. Terbayang di dalam hati tindakan tidak berperikemanusiaan musuh Islam yang mereka lakukan terhadap umat Islam.

Emosi audien tersentak yang tanpa sedar air mata mengalir mengenangkan nasib umat Islam. Fikiran melayang jauh memikirkan, besar sangatkah salah umat Islam di sana sehingga diperlakukan sebegitu rupa. Mereka dipukul, dihinjak, dikatok, diseksa, ditembak dan dibunuh. Tidak cukup lagi dengan kezaliman itu, mayat mereka pula dibakar.

Apakah mereka melakukan kesalahan yang sangat besar sedangkan mereka memperjuangkan hak mereka dengan mengatakan “tidak” kepada sang penguasa yang jelas menzalimi mereka. Ya mungkin mereka salah kerana menyanggah pemerintah, tetapi kenapa mereka diperlakukan dengan kejam, malahan dibunuh dengan cara yang menyayat hati.

Manusiakah mereka atau binatang, lantaran nilai nyawa mereka sepadan dengan nilai 50 sen sahaja menyamai harga sebutir peluru. Tiada sebarang pengajaran yang diberikan dan action plan yang dilakarkan melainkan hanya nada yang apologetik sahaja.

Nota: Penjelasan seumpama ini perlu dielakkan.

Kedua: Skrip indoktrinasi ideologi

Realitinya, krisis Timur Tengah dibincangkan mengikut skrip ideologi masing-masing. Berikut adalah tiga cara skrip diketengahkan kepada masyarakat berdasarkan kepada tiga jenis perspektif.

1. Perspektif Sang penguasa

Skrip berkahir dengan ugutan agar tidak melakukan sebarang usaha menjatuhkan kerajaan. Mereka memulangkan paku buah keras kepada pihak pembangkang dengan ungkapan “Janganlah jadi seperti Mesir”. Tidak perlu untuk mengubah kerajaan yang ada, kerana mana-mana penguasa pun pasti ada kelemahannya dan belum tentu lagi kerajaan yang baru akan lebih baik, cukuplah dengan memperbaiki kerosakan yang ada.

Harga yang perlu dibayar akibat menjatuhkan sebuah kerajaan adalah kucar kacir dan paling tidaknya, ketidakstabilan ekonomi. Mahukah ia berlaku di sini, oh tidak.. “Hargailah nikmat kemakmuran dan keamanan ini.. “

Lancar sahaja ungkapan yang keluar dari mulut sang penguasa menggertak dan menakutkan rakyat marhain dari melakukan sesuatu yang boleh menggugat kuasa politik mereka. Dengan memaparkan krisis ini dengan cara yang menyayat hati diikuti pula dengan hasutan di atas, mungkin ada yang terfikir “ada juga benarnya”. Pendekatan ini telah dibuat oleh Ustaz Fathul Bari.

2. Pihak liberal

Skrip mereka menumpukan kepada keadilan ekonomi dan sosial. Bagi mereka demokrasi masih tidak menjanjikan apa-apa manfaat kepada rakyat melainkan sekiranya perubahan landskap politik dalam sistem demokrasi itu turut disertai dengan perubahan ekonomi dan taraf hidup rakyat. Bagi mereka, masyarakat tidak boleh obsess dengan perubahan politik yang lebih demokrasi melainkan tumpuan yang perlu diberikan kepada perubahan ekonomi dan sosial.

Mereka berpandangan, kegagalan Mursi berpunca dari kegagalannya dalam mengubah ekonomi rakyat Mesir. Tumpuan Mursi lebih banyak tertumpu kepada aspek politik. Skrip ini ditujukan kepada kelompok pertengahan khasnya di kalangan kelas menengah yang tidak mungkin mengetahui keadaan sebenar di Timur Tengah.

Pendekatan ini telah dibuat oleh Pengarah IRF, Dr. Ahmad Farouk Musa, dalam perbincangan tentang Isu Mesir di Bukit Kiara, 6 Sept 2013.

3.  Pihak sekular

Skrip mereka tertumpu kepada pelaksanaan Islam yang bagi mereka tidak lagi sesuai diamalkan dalam dunia moden. Bagi mereka, agama hanya perlu menjadi agenda peribadi, yang tidak boleh dipaksakan kepada masyarakat dan orang lain.

Mereka mendakwa, kegagalan Mursi disebabkan usahanya meminda perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai sumber perundangan yang akan membawa Mesir kepada sebuah negara berasaskan agama. Ia telah menimbulkan ketidakselesaan kepada masyarakat Mesir yang inginkan sebuah negara yang sekular. Pendekatan agama hanyalah urusan peribadi sahaja.

Ketiga: Skrip gerakan Islam

Sebagai gerakan Islam, krisis ini perlu dilihat secara konstruktif dan optimis kepada janji Allah orang yang membuat perkara yang baik pasti akan berhadapan dengan cabaran, kejian dan ancaman. Ia merupakan suatu nature kepada mana-mana usaha yang makruf sebagaimana yang diterima oleh Rasulullah. Sungguhpun baginda tidak pernah mengajak melakukan perkara yang buruk tetapi baginda masih dicemuh, dikeji dan malah diusahakan untuk dibunuh.

Penjelasan krisis Timur Tengah perlu disudahi dengan meransang orang Islam untuk meneruskan agenda amar makruf dan nahi mungkar, yang merupakan kewajipan orang Islam. Ini termasuklah dalam bidang politik kerana perubahan landskap politik mampu membawa kepada perubahan negara. Justeru, usaha menentang kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah perlu diusahakan oleh orang Islam kerana usaha jihad itu berkekalan hingga kiamat. Manakala, jihad yang paling utama ialah mengungkapkan kata-kata yang benar kepada pemerintah yang zalim.

Krisis yang berlaku di Mesir tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk menghentikan usaha menentang kezaliman kerana setiap negara mempunyai landskap geo politik, sosial dan ekonomi yang berbeza.

Ahli gerakan Islam perlu menekankan beberapa perkara berikut:

a.       Musuh Islam sentiasa merancang untuk menjatuhkan orang Islam. Kejatuhan Morsi ini berpunca dari tiga kepentingan pihak luar yang terjejas iaitu kepentingan Israel, kepentingan US dan kepentingan negara Arab di rantau Teluk.Sila klik sini untuk lihat penjelasan lanjut

b.      Pihak tentera perlu menjauhi politik dan mereka perlu berperanan menjaga keselamatan negara bukan mengganggu urusan politik. Sekiranya ada pihak di kalangan mereka yang ingin memasuki arena politik, uniform tentera perlu ditanggalkan.

c.       Negara polis sama kali tidak wajar menjadi suatu pilihan kerana tidak ia membantu menjadi sebuah negara yang demokrasi.

d.      Demokrasi tidak boleh diimani, tetapi sebahagian matlamat demokrasi itu bertepatan dengan roh Islam. Islam tidak menganjurkan pendekatan kekerasan dalam mendapatkan  kuasa politik kerana ia bukanlah suatu pendekatan yang terbaik.

e.      Media tradisional yang terlalu provokatif dan menjalankan propaganda yang melampau, akan memburukkan kedaan kerana biasanya media ini.

Penutup

Krisis ini berlaku bukanlah semata-mata berpunca dari krisis ekonomi dan kekacauan tetapi disebabkan kekacauan yang sengaja dibuat oleh pihak yang memusuhi Islam. Penjelasan krisis Timur Tengah tidak wajar dipaparkan dalam naratif yang bersifat emosi semata-mata, yang akhirnya membawa kepada sifat pasrah dan apologetic. Ia perlu dipaparkan dalam skrip yang membawa pengajaran yang perlu dijadikan teladan untuk umat Islam di serata dunia dalam menggerakkan Islam. Sekian.

Amanat Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Kepada Ahli Darussyifa’ di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Kebajikan & Pengubatan Islam Malaysia pada 7-Sep-2013 di Bangunan Darussyifa’ Bandar Baru Bangi.

Ringkasan ucapan perasmian :

1) Darussyifa’ walaupun ditubuhkan secara rasmi pada akhir 80an, namun hakikatnya aktiviti merawat secara syarie telah bermula lebih awal pada  1976. Syukur kerana Darussyifa’ lebih awal menggerakkan aktiviti ini kepada masyarakat walaupun ada kalangan masyarakat termasuk kenamaan yang mencemuh secara terbuka aktiviti merawat ini.

2) Kita tahu dan yakin bahawa ini adalah sistem rabbani, Allah SWT menyuruh kita untuk berdoa kepadaNya dan Allah SWT pasti menerimanya sama ada segera atau lambat.

3) Tidak pernah terbayang di dalam kepala, bahawa pengubatan Islam ini akan diterima secara meluas oleh masyarakat, diterima oleh kerajaan bahkan Kolej Universiti Cyberjaya menawarkan kursus diploma perubatan Islam dan meminta beliau sebagai profesor anjung.

4) Pihak berwajib telah menjadikan Darussyifa’ sebagai model, dan dalam banyak hal merujuk dan melihat Darussyifa’ dalam urusan pengubatan Islam. Darussyifa’ menjadi bahan ukuran dan perbandingan dengan pusat rawatan Islam yang lain.

5) Buat masa ini hanya Darussyifa’ yang ada menyediakan rawatan bangunan seperti sekolah, kilang, hospital, universiti, kolej dan sebagainya. Justeru ramai pihak yang memohon bantuan tersebut.

6) Oleh kerana masyarakat sudah menerima kehadiran dan memerlukan Darussyifa’ sebanyak 65 buah cawangan rasmi seluruh negara, maka jagalah nama baik ini dan jangan dihampakan mereka. Gunakanlah kaedah rawatan Islam sebagaimana yang telah diajar di dalam pengajian Darussyifa’.

7) Masih ada kalangan perawat Darussyifa’ yang mengatakan kepada pesakit bahawa mereka ada saka, membuat dakwaan orang menyihir dan sebagainya. Sedangkan perkataan seperti mendakwa ada saka sebegitu menyebabkan kita sudah menuduh keturunannya melakukan syirik kepada Allah SWT. Jika ada yang berkata begitu, agama melarang perbuatan berkenaan.

8) Saranan kepada Darussyifa’ negeri agar pelaksanaan rawatan dilihat kepada Darussyifa’ Pusat di Bangi. Contohnya menjadi kaedah rawatan, siapa ketua perawat, ke mana duit sumbangan rawatan disiplin pakaian, adab tutur kata dan sebagainya. Darussyifa’ Pusat menjadi petunjuk untuk Darussyifa’ Negeri-Negeri.

9) Ahli-ahli Darussyifa’ yang mempunyai kelayakan tertentu dan pengalaman sebagai pensyarah adalah dipelawa untuk mengajar dalam Darussyifa’ dan pusat-pusat pengajian lain bagi mempromosi ruqyah Islamiyyah

10) Ada pihak dari Korea membuat rakaman dan gambar di Darussyifa’ untuk program pameran rawatan Islam. Penglibatan pihak bukan Islam sebegini sangat mustahak agar mereka mengetahui bagaimana kita melakukan dan merawat pesakit-pesakit yang datang kepada Darussyifa’.

11) GAPPIMA ditubuhkan untuk menggabungkan persatuan-persatuan perawat Islam. Maka Darussyifa’ yang menjadi ahli gabungan mesti berperanan dan GAPPIMA mesti menjadi tonggak dan perawatnya disahkan sebagai pengamal perubatan Islam.

%d bloggers like this: