wisma-muis-kota-kinabalu

Firman Allah SWT : “Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”. (Surah Ibrahim : 7).

Satu daripada nikmat yang wajib kita syukuri ialah kemerdekaan. Sama ada kemerdekaan negara dari belenggu pemerintahan penjajah mahupun kemerdekaan insan dari belenggu kejahilan dan kekufuran merupakan suatu nikmat kurniaan Allah SWT yang amat bernilai dan bermakna bagi manusia.

Ini kerana kemerdekaan adalah mukadimah kepada segala bentuk pencapaian kemerdekaan yang lain. Tanpa insan  dan negara yang merdeka, kemerdekaan sebenar tidak akan tercapai dan perjuangan kemerdekaan pun tidak akan mencapai matlamatnya.

Dalam Islam, kemerdekaan berkait rapat dengan ketaatan kepada Tuhan Yang Maha Esa. Selaku sebaikbaik makhluk ciptaan Allah SWT, manusia tidak boleh tunduk kepada sesiapapun melainkan Allah SWT.  Ketundukan mengandung makna perhambaan diri sepenuhnya kepada Allah SWT, yakni mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dalam apa jua keadaan dan suasananya dengan penuh rela dan ikhlas.

Maknanya, kemerdekaan yang hakiki adalah meletakkan kalimah Allah SWT lebih tinggi daripada segala kalimah. Hanya orang yang bertauhid mampu membebaskan diri dari berbagai belenggu yang akan menjauhkan dirinya dari kebenaran dan dari kepatuhan kepada Allah SWT. Mereka yang memahaminya dalam konteks ubudiah dan kewajipan menegakkan Islam secara sempurna sahaja yang sanggup berkorban untuk satu perjuangan yang panjang.

Ini termasuklah perjuangan mencapai kemerdekaan dengan menghalau keluar penjajah dari tanah air tercinta selain mewacana kemerdekaan dari segi politik, ekonomi, pendidikan, budaya, teknologi dan sebagainya.