MNS

Khatib : Ustaz Suhaidi Saad

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

Pada bulan ini, umat Islam akan meraih ganjaran hebat melalui ibadat puasa enam hari yang mana tidak ada pada bulan-bulan lain. Bulan ini juga merupakan bulan taqwa dan bulan peningkatan amalan. Maka melalui tarbiah dalam bulan Ramadhan, umat Islam mempunyai kelebihan untuk meneruskan amal ibadat sebagi bukti keberhasilan amalan sepanjang Ramadhan.

Berdasarkan kepada keistimewaan bulan Syawal ini, umat Islam dituntut mengambil kesempatan merebutnya dengan sebaik-baiknya. Maka di bulan mulia ini, kita hendaklah mengambil kesempatan terhadap peluang yang telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT sehingga saat kita mengadap Allah SWT.

Manfaatkanlah ruang dan peluang yang masih ada dalam kehidupan ini untuk selalu menjadi orang yang bertaqwa dengan cara menanamkan rasa takut kepada pintah Allah, berterusan melakukan apa yang diperintahkan, bersegera menjauhi dan juga meninggalkan perkara yang dilarang serta mendekatkan diri kita kepada Allah.

Dalam suasana gembira, Islam mengajar kepada kita bahawa tidak salah untuk berseronok tetapi ia perlu dipandu dengan tatacara dan adab-adab Islam yang sebenar. Mimbar hari ini ingin menggariskan beberapa panduan dalam adab berziarah. Antaranya;

Pertama: Niat untuk mengeratkan silaturrahim.

Kedua: Mengenakan pakaian yang menutup aurat dan sopan.

Ketiga: Memelihara waktu solat agar tidak terabai.

Keempat: Menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Kelima: Berusaha memenuhi semua undangan.

Keenam: Menjaga adab dan tatasusila agar kunjungan kita tidak  menyakiti tuan rumah.

Ketujuh: Pada waktu dan masa yang sesuai untuk berkunjung.

Kelapan: Meminta izin dan memberi salam kepada tuan rumah.

Didiklah serta bimbinglah  ahli-ahli keluarga kita agar menjaga adab-adab ketika melakukan ziarah dan melayan tetamu  supaya kita menjadi insan yang bertamadun, berperibadi tinggi dan memiliki sifat tama’ninah dan tingkahlaku kita tidak menjadi bahan ketawa orang lain serta menjatuhkan maruah. Ambillah kesempatan pada bulan yang mulia ini untuk menambah lagi pahala dan merapatkan hubungan silaturrahim sesama kita.