Siri ketiga artikel ziarah raya saya fokuskan sahabat-sahabat kami yang kami kunjungi atau bertemu di mana-mana rumah ketika berhari raya. Hari raya pertama, ketika berziarah di Likas kami bertembung dengan sahabat sekelas Ustazah Salwa Ahmad.

Hari raya kedua, berziarah ke rumah Zullizan – seorang sahabat perawat Darussyifa’ yang tinggal di Papar. Seterusnya di Kg Pimping Membakut turut berziarah ke rumah sahabat sepersekolahan, Ustazah Dayang Halimah Ag Tengah, Ustazah Dayang Hazimah dan suami Ustaz Haji Safri Bakar serta keluarga besar mereka.

Hari raya ketiga, kembali ke Kg Kelanahan Papar menziarahi Ustazah Hamidah Amat, senior kami di Mesir yang banyak membantu sepanjang pengajian dan menjaga Nuha yang lahir di sana. Sementara Kak Hamidah juga baru bersalin anak kedua, beruntung kami yang sudah lama tidak bertemu sejak perkahwinan mereka beberapa tahun lepas.

Seterusnya di Rancangan Klias bertemu dengan sahabat karib Ustaz Haji Yakob Jilun rakan sejak sekolah menengah, maahad dan di Mesir. Bertemu pula rakan sekelas di Mesir Ustaz Ma’ruf Ishak, orang Selangor yang kini menabur bakti di Papar. Meriah rumah apabila anak-anak berkumpul, saya dan Ma’ruf masing-masing dengan 6 orang sementara Haji Yakob baru seorang cahayamata.

Sebelah malam, kami ke Sipitang, menziarahi antaranya sahabat sekelas di Toh Puan Hajah Rahmah, Ustazah Inun Mamit yang bertugas di Kota Kinabalu. Alhamdulillah saya kira kehidupan mereka semakin positif dan pulih setelah kehilangan mama tersayang beberapa bulan lepas akibat kemalangan jalanraya. Kami datang sudah hampir 11 malam dengan jalan yang ‘bergelora’ dan pulang dengan satu jalan lain yang belum diaspal.

Hari keempat, antaranya berziarah ke rumah seorang lagi rakan sekelas Ustazah Noramisah Ongki di Kg Kerukan Kuala Penyu. Ustazah yang masih bujang dan ibunya yang baik hati bagai memberi lesen saya mencarikan syabab yang sesuai. Saya kata pahala ibadah orang berkahwin jauh lebih banyak berbanding ketika bujang.

Seterusnya ke Menumbok, kami berziarah ke rumah Ustaz Kamarul Zaman alumni Toh Puan Hajjah Rahmah dan adiknya Ustazah Norzaihan Hassan, alumni Maahad Tahfiz. Di perkarangan rumah mereka kami tinggalkan kereta di sini dan tidak membawa kereta ke pulau.

Kami merentasi lautan menuju ke Labuan, malamnya saya berziarah ke rumah rakan saya sejak tadika, Awangku Hasbullah Pg Hassan di Kg Batu Manikar. Saya masih menyimpan foto kenangan menerima hadiah kecemerlangan tadika pada tahun 1985, sebaris dengan sahabat saya seorang ini.

Kembali ke tanah besar Sabah pada rabu – raya ketujuh, kami berziarah ke Kg Palu-Palu Kuala Penyu di rumah Tuan Raffae sekeluarga. Beliau sekeluarga adalah pelanggan tetap Darussyifa’ hampir setiap minggu turun ke Kinarut dari Kuala Penyu ini untuk mendapatkan rawatan dan ruqyah. Bukan orang tua ini sahaja, termasuk juga dua anaknya antaranya Rahmah yang turut menghadiahkan kami kek sementelahan Rahmah sendiri mempunyai kemahiran dan menjual kek.

Untuk entri ini, rumah terakhir yang kami kunjungi di Kg Seladan Bongawan, menziarahi keluarga Ustaz Iqbal. Keluarga yang menjadi sahabat akrab kami di Mansoura Mesir, sehingga kedua-dua anak sulung kami lahir pada tarikh yang cuma beza 3 hari. Maka kek yang dihadiahkan oleh cik Rahmah di Kuala Penyu tadi kami potong dan makan di sini. Tarikh lahir Nuha dan Balqis ialah 3 dan 6 ogos 2003.

11) Salwa Ahmad 12) Zullizan 13) Halimah Ag Tangah 14) Hazimah Ag Tangah 15) Safri Bakar 16) Hamidah Amat 17) Yakob Jilun & Ma'ruf Ishak 18) Uming19) Inun Mamit 20) Noramisah Ongki 21) Ak Hasbullah Pg Hassan 22) Rahmah Raffae 23) Balqis