Alhamdulillah, catatan ini dibuat setelah kami balik dari bercuti hari raya di Labuan.

Perjalanan dari Kota Kinabalu bermula pada sabtu, kami singgah berhari raya beberapa buah rumah di Papar, Sipitang, Beaufort (bermalam di sini), Kuala Penyu hingga ke Menumbok. Sebelum berangkat ke Labuan pada petang ahad, kami singgah berhari raya di rumah sahabat di Menumbok tidak jauh dari jeti pelabuhan sekaligus meninggalkan kereta di rumahnya.

Kami tidak berhajat membawa balik kereta ke seberang pulau kerana percutian yang singkat dan ada kereta keluarga di sana yang bole dimanfaatkan. Kepulangan bercuti ke Labuan hanya diputuskan beberapa hari menjelang syawal dan kami tidak menempah tiket lebih awal. Saya sendiri tidak menentukan hingga saat akhir hendak belayar menaiki apa – feri ekspress, feri penumpang atau bot laju.

Sampai sekitar 3.40 di kawasan terminal, keadaan yang sesak terutama di kaunter-kaunter tiket feri wawasan perdana (feri penumpang) dan kaunter bot laju (yang kaunternya sekadar beroperasi di bawah pondok hentian sahaja dan bukan kaunter khusus). Ratusan penumpang berbaris panjang, sehingga saya mengagak saya sendiri berbaris menunggu giliran hampir satu jam.

Lihatlah suasana kaunter yang tidak menentu, akibat tiada peraturan yang benar-benar bersistematik. Keadaan ini berlaku sudah bertahun-tahun terutama pada waktu cuti dan hari perayaan. Apakah pihak pengurusan setidak-tidaknya mahu mencontohi kaunter-kaunter tiket di Terminal Feri Antarabangsa Labuan?

Atau lebih efisien daripada itu setidak-tidaknya mengadakan pejabat cawangannya di Kota Kinabalu, atau kebolehan tempahan secara dalam talian maya sehingga mengambil tiket pelepasan secara talian maya juga seperti syarikat-syarikat penerbangan lakukan.

PELAYARAN

Penumpang ramai, kawasan sesak di setiap tingkat dan kenderaan juga begitu. Feri belayar sekitar 5.15 petang, berbanding jadual asal pada jam 4.30 petang. Dalam kawasan tempat duduk penumpang, kerusi tidak mencukupi. Sama ada pihak pengurusan tidak mahu menambah atau belum jumlah kerusinya kerana sebelum ini feri ini pernah ditimpa musibah kebakaran.

Penumpang duduk di merata kawasan feri, duduk di kerusi, di lantai atau di tangga dan berbaring bagai suatu perkelahan atas feri selama hampir 2 jam sehingga berlabuh di Pulau Labuan. Sampai bilakah keadaan ini berterusan? Belum kelihatan pihak berkenaan untuk memperbaiki keadaan ini, terutama permintaan rakyat untuk satu jambatan antara dua wilayah ini tidak dihiraukan..

Menumbok (1) Menumbok (2) Menumbok (3) Menumbok (4) Menumbok (5) Menumbok (6) Menumbok (7) Menumbok (8) Menumbok (9) Menumbok (10) Menumbok (11)