Archive for 13 Ogos 2013


Siri ziarah berterusan dengan mengunjungi para alim ulamak, guru dan tokoh yang saya hormati. Ia untuk menanam sikap kasih kepada mereka, seterusnya mengambil barakah atas ilmu mereka walaupun kunjungan sekadar ziarah hari raya sahaja.

1) Cikgu Sapiuddin Kadundung

1. Cikgu Sapiuddin Kadundung

Beliau pernah berkhidmat lama di SMUI Toh Puan Hajah Rahmah Kota Kinabalu walaupun saya tidak sempat menadah ilmu khususnya matematik dengannya. Saya mengenal dari jauh dengan nama beliau yang harum. Cikgu yang baik, sekolah dan masjid adalah hidupnya baik zaman berkhidmat sebagai penjawat awam atau selepasnya.

Kini berulang-alik ke Masjid Kg Tanjung Aru yang hampir dengan rumahnya selain mengawasi madrasah tahfiz yang dikendalikan sekeluarga di rumahnya sendiri. Katanya pelajar tahfiz mereka sudah mencapai angka 100 orang, khususnya perempuan sahaja. Anak-anaknya yang cemerlang bukti mereka adalah keluarga yang dapat dicontohi.

2) Datuk Matusin Ag Damit

2. Ybhg Datuk Haji Matusin Awang Damit

Naib YDP USIA dan mantan Pengerusi MUIS dan Pengerusi Masjid Jamek Kg Likas. Seorang tokoh yang mempunyai sejarah hidup yang panjang dan menarik. Beliau dalam senarai tokoh yang akan saya temuramah, khusus berkenaan penglibatan beliau dalam dunia dakwah melalui pendidikan, USIA dan MUIS.

Melewati umur 70an kini, banyak meluangkan masa bersama keluarga yang besar merentasi Brunei Darussalam, Sipitang hingga ke Kota Kinabalu. Pun begitu beliau masih salah seorang Naib YDP USIA, sebuah organisasi dakwah terkemuka di Sabah.

3) Dr Yasir Ismail

3. Ustaz Dr Haji Yasir Ismail

Beliau adalah alumni dan senior di SMUI Toh Puan Hajah Rahmah. Saya tidak sempat bersama-sama di sekolah tetapi beliau pernah mengajar kami seketika ketika tingkatan satu. Kami mengenalnya dengan nama yang harum, seorang pelajar Malaysia yang mengaji di Universiti Islam Madinah. Kini beliau bertugas di UIA, pengkhususan bahasa Arab.

4) Datuk Ismail Abbas

4. Ybhg Datuk Haji Ismail Abbas

Mantan Mufti Negeri Sabah, seorang alim yang sangat dikasihi. Ketika sudah bersara beliau masih meneruskan khidmat menyampaikan kuliah khususnya di Masjid Jamek Kg Likas. Saya teringat apabila beberapa ulamak muda dari Mesir datang beberapa tahun lepas, bertalaqqi dan meminta sanad beberapa hadith daripada beliau.

5) Pusara Ustaz Nahar Mantamin

5. Pusara Allahyarham Ustaz Haji Nahar Mantamin

Beliau adalah guru, abang dan ketua saya semasa hayatnya. Saya banyak mendengar nasihat-nasihatnya, terutama dalam kuliah dan usrah. Saya berketuakan Allahyarham semasa beliau berkhidmat sebagai Imam Besar Masjid Negeri Sabah, dan satu ketika sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Sabah.

6) Pusara Datuk Ahmad Othman

6. Pusara Allahyarham Datuk Haji Ahmad Othman

Berbetulan pusara kedua ulamak ini bersebelahan dan beriringan sahaja di Kg Likas. Saya ada sedikit kenangan manis dan pahit bersama beliau, tetapi penghormatan saya tidak hilang kepadanya. Seorang ulamak yang berani berterus terang, menegur pemerintah walaupun sesudah bersara sebagai timbalan mufti kerajaan negeri.

7) Haji Awang Tengah Awang Amin

7. Tuan Haji Awang Tengah Awang Amin

Seorang aktivis PKR peringkat negeri yang juga ahli jamaah Masjid Kg Sipanggil Putatan, dan beliau salah seorang yang sering bersama dalam kuliah maghrib mingguan saya setiap isnin di sana. Dalam politik, beliau pernah diamanahkan sebagai pengerusi PKR Negeri dan kini sebagai JKnya. Ziarah saya ke rumahnya di Kg Pimping Membakut kerana beliau berasal dari sana.

8) SS Ustaz Bungsu Aziz Jaafar

8. SS Ustaz Haji Bungsu Aziz Jaafar

Kunjungan yang tidak dirancang lebih awal, kebetulan terserempak dengan Ustaz Bungsu di Masjid Kg Pimping selesai solat jumaat di mana beliau menjadi khatibnya. Kami berbincang beberapa perkara, terutama isu-isu aqidah seperti murtad dan ajaran-ajaran sesat yang perlu perhatian serius sekian lama. ALhamdulillah seronok menerima layanan SS mufti sekeluarga.

9) Imam Haji Maarif Ansat

9. Tuan Imam Haji Maarif Ansat

Otai dan lagenda qari negeri Sabah. Kami berziarah menjelang maghrib, dan solat jamak di surau sebelah rumahnya. Tuan Haji Maarif masih gagah suaranya melaungkan azan, hanya saja beliau solat dalam keadaan duduk sementara saya diminta menjadi imam maghrib bersama jamaah kebanyakannya keluarga beliau sendiri.

10) IM Ali Khairuddin

10. Imam Muda Ali Khairuddin 

Persahabatan kami semakin erat sejak pertemuan beberapa kali. Pertamanya apabila saya berceramah beberapa tahun lepas tentang rasm al-Quran di mana IM Ali salah seorang pesertanya. Beliau juga sering menyertai MTQ dan saya beberapa kali menjadi hakim tajwidnya. Bertembung beberapa kali dalam program, di mana saya sebagai penceramah dan IM Ali sebagai imam dan sebagainya.

Ini koleksi ziarah yang kami sekeluarga lakukan sepanjang hari raya pertama hingga keempat. Merangkumi lokasi di Kota Kinabalu, Papar, Membakut dan Beaufort. Saya sendiri merasa gembira dapat berziarah ke rumah dan bertemu wajah dengan keluarga pelajar-pelajar kami.

Dalam ziarah ini, kami dapat berziarah ke 10 buah rumah keluarga pelajar maahad, siswa dan siswi. Saya dan kami sekeluarga dapat mengetahui dan merasai sebahagian kehidupan mereka yang sebenar. Ada kalangan mereka yang hidup susah, sederhana dan berada.

Alhamdulillah, akhirnya dapat berukhuwah dengan keluarga mereka dan berhubung silaturrahim dengan keluarga pelajar yang terdiri pelbagai latar. Ada kalangan mereka yang saya kenal, sementara yang baru bertemu kelihatan amat mesra dan boleh bersembang dengan baik sekali.

Ada dua rumah kami tidak kesampaian kerana masalah-masalah tertentu, dan insya Allah saya berhajat untuk berziarah mereka yang tinggal di daerah lain – Keningau, Ranau, Pitas, Sandakan, Beluran, Tawau, Kunak, Semporna, Lahad Datu dan lain-lain.

Ziarah warga Maahad (1)

Lokasi pertama di Kg Tanjung Aru Lama Kota Kinabalu pada pagi raya pertama. Siswi semester 1 Ummu Salamah Sapiuddin. Ayahnya pernah bertugas lama di SMUI Toh Puan Hajah Rahmah walaupun beliau tidak sempat mendidik kami, tetapi saya mengira beliau tetap sebagai guru kami.

Berziarah ke rumah ini barangkali sebagai ziarah tahniah dan perpisahan, kerana Ummu Salamah akan mendirikan rumahtangga pada jumaat minggu ini. Kenapa saya namakan perpisahan, kerana pelajar maahad tidak dibenarkan mendirikan rumahtangga dalam tempoh pengajian, kecuali kalau sudah khatam al-Quran.

Oleh kerana jodohnya sudah tiba, saya turut mengucap tahniah walaupun ada sedikit perasaan duka dengan perpisahan ini kerana Ummu Salamah antara pelajar yang menonjol dalam kelasnya. Bahkan ketika dalam temuduga, Ummu Salamah mendapat markah tertinggi antara semua calon dengan markah lebih 90 peratus.

Ziarah warga Maahad (2)

Lokasi kedua di Kampung Melinsung Papar juga rumah pelajar semester 1. Norfaraain yang saya kenali tidak banyak cakap dalam kelas. Menarik kedua ibu bapanya bertanya kepada saya tentang prestasi anaknya di maahad. Tidak banyak saya dapat maklumkan kerana Faraain bukanlah pelajar yang tasmik al-Quran dengan saya.

Entah apa yang diceritakan oleh Faraain kepada keluarganya tentang diri saya. Sebab setibanya kami di rumahnya sekitar 10 malam raya pertama, banyak sesi soal jawab berlaku. Macam program tanyalah ustaz gayanya. Soalan yang mendominasi sembang kami malam itu tentang topik ajaran syiah.

Suspen juga saya yang baru tahu kawasan ini hanya mempunyai 5 buah rumah sekampung tetapi mempunyai satu gelanggang futsal. Ada makna tu..

Ziarah warga Maahad (3)

Lokasi ketiga di Kampung Pimping Membakut yang kami ziarahi pada petang hari raya kedua. Sahleyzan Ismail pelajar semester 3 yang punya prestasi baik di maahad. Saya sendiri senang dengan anak muda ini.

Sahleyzan punya daya bacaan al-Quran yang menarik dan boleh dibawa lebih jauh lagi selepas ini. Juga ada kemahiran tulisan khat yang cantik menurut apa yang saya perhatikan di maahad. Ketika kami tiba di Kg Pimping, Sahleyzan yang menyambut kami dari masjid as-Saadah dan mengiringi ke rumahnya dan bertemu keluarganya yang baik hati.

Ziarah warga Maahad (4)

Lokasi keempat pada raya kedua ialah di Kampung Benoni Papar. Rumah keluarga besar Nor Farhana Japisin. Benoni adalah sebuah perkampungan yang besar, ada kampung di dalam kampung. Mujur jalan ke rumah mereka kami dipimpin dari awal.

Menarik di sini bukan sekadar berhari raya tetapi menunaikan hajat keluarga ini meminta rawatan ruqyah untuk hampir semua sekali penghuni di dalamnya. Boleh dikatakan 7-8 orang kesemuanya diruqyah dan alhamdulillah selesai dalam tempoh sejam lebih. Semoga Allah memberi keselamatan kepada keluarga ini.

Abang kepada Farhana, Firdaus juga hadir sama yang jika tiada aral melintang akan bakal menyertai keluarga maahad pada sesi akan datang.

Ziarah warga Maahad (5)

Lokasi berikutnya pada hari raya ketiga diteruskan. Rumah keluarga pelajar yang menjadi sasaran kami kali ini di Kampung Berundung Papar. Rumah Mohd Arfa Razikin Abd Razak, keluarga yang saya hormati kerana punya anak-anak yang terpelajar.

Sudah beberapa tahun mengenali beberapa ahli keluarga ini antaranya Khairul Razikin yang sering mewakili Sabah dan Malaysia dalam Majlis Menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Si Kakak pula Siti Khairani Abd Razak adalah pimpinan mahasiswa di Universiti Malaya.

Arfa pula pelajar kami di semester 3 yang punya bacaan al-Quran yang bagus dan jelas tajwidnya. Hanya ketika ziarah kami kedua orang tua mereka tiada di rumah. Yang penting kami sudah selesai berziarah dan tahu lokasi rumah mereka.

Ziarah warga Maahad (6)

Rumah keluarga Ummu Afifah Sidik menjadi lokasi kami di Kg Sungai Padang Papar. Saya pernah singgah di sini ketika kami bergerak ke IPDAS Keningau untuk temuduga maahad. Ummu Afifah adalah TYDP persatuan pelajar maahad untuk sesi ini.

Seorang pelajar yang baik dan suka tersenyum. Dengan berziarah ke rumah ini, saya mengenal hati budi kedua orang tuanya. Salah seorang kakak pula adalah guru PASTI di daerah ini. Semoga Allah melindungi keluarga ini.

Ziarah warga Maahad (7)

Berziarah ke rumah Fariz Razali, pelajar semester 1 pada raya ketiga di Kg Surapit Papar menemukan saya dengan satu kisah baru. Rupanya keluarga sebelah bapanya berasal dari Kg Gersik Labuan bahkan lebih menarik tanah yang kami duduki di Kg Lubuk Temiang kini ada kaitan dengan pemilik asal iaitu keluarga mereka.

Fariz sepanjang perkenalan 3 bulan kami bersama adalah siswa yang baik, suka bertanya dan jenis mendengar cakap. Suka akan majlis ilmu yang di luar waktu kuliah wajib. Sewaktu siswa maahad diundang sebagai imam qiyamullail di Masjid Negeri Sabah, Fariz menawarkan diri untuk turut berqiyam walaupun tidak menjadi imam. Insya Allah sedikit masa lagi anak muda ini pasti menonjol.

Ziarah warga Maahad (8)

Lokasi berikutnya di Kg Bawang Beaufort rumah keluarga besar Tuan Imam Haji Maarif Ansat. Anak bungsunya yang ke 17, Kalsum Nurul Umairah adalah pelajar maahad dalam kelas persijilan. Kami tiba menjelang maghrib, solat berjamaah di surau milik keluarganya di sebelah rumah dan berziarah sehingga menjelang isyak.

Umairah ada kelebihan ilmu tarannum yang diturunkan daripada ayahandanya seorang otai qari al-Quran sejak tahun 60an hingga kini. Insya Allah Umairah akan berpeluang mendalami ilmu berkaitan al-Quran apabila berada di maahad, dengan ilmu tajwid, qiraat, tarannum dan sebagainya.

Ziarah warga Maahad (9)

Antara pelajar yang saya kasih di maahad ialah anak muda ini. Mohd Sabri Yakop yang kami ziarahi rumah keluarganya di Kg Landayan Takuli Beaufort. Seorang lagi pelajar yang mudah mendengar nasihat dan cakap. Sabri sepanjang saya mengajar kelasnya dalam subjek tajwid pada semester lepas, antara yang mempunyai potensi bacaan yang kemas dan tajwid yang baik.

Kunjungan pagi ahad kami pada hari raya keempat menemukan kami dengan adiknya yang sakit sejak umur 10 tahun hingga kini sudah berumur 16 tahun akibat sawan. Saya kasih kepada adik lelakinya ini yang suka mencium orang, dan cuba membantu dengan ruqyah sedikit sebanyak yang saya mampu.

Ziarah warga Maahad (10)

Ziarah terakhir di kalangan rumah keluarga pelajar maahad di Gadong Beaufort. Rumah keluarga Mohd Rizu Abd Danan, rumah ke-10 dalam misi ziarah kami sekeluarga. Rizu seorang pelajar yang pendiam tetapi berisi.

Keluarga sederhana tetapi anak-anak di dalam rumah ini cemerlang. Selain Rizu yang baru khatam hafaz 30 juzu al-Quran, kakaknya juga lepasan Darul Quran dan Maahad Fatayat di Mansoura Mesir, sementara seorang adik mereka juga baru mendapat penghargaan JHEAINS dengan keputusan cemerlang dalam STAM yang lepas.

Kami menghargai kesungguhan keluarga mereka yang mengajak berziarah ke rumah keluarga mereka tidak jauh dari situ, merentasi jambatan sungai pejalan kaki, walaupun kami menolak dengan baik kerana mengejar pelayaran pulang ke Labuan pada petang ahad itu juga. Terima kasih juga ada pemberian buah-buahan mereka yang kami selesaikan di atas feri petang itu.

%d bloggers like this: