Surau Taman Austral (4)

Hari ini kita berhadapan dengan suatu zaman yang penuh pancaroba. Zaman yang menyaksikan serangan bertali arus ke atas Islam dan ummatnya. Bermula dari percubaan musuh Islam merancang untuk memadam cahaya agama Allah swt dengan meniup masuk pelbagai pemikiran asing yang bertentangan dengan prinsip dan amalan Islam, mereka turut menaja penyelewengan aqidah dan penyimpangan moral agar ummat Islam keliru dan akhirnya meninggalkan Islam.

“.. dan senantiasalah mereka [ musyrikin ] akan memerangi kamu sehingga kamu berpaling dari agama kamu jika sekiranya mereka mampu melakukannya, dan barangsiapa yang berpaling di kalangan kamu dari agamanya lalu ia mati sedang ia kufur kepada Allah swt, maka batallah segala amalannya di dunia dan akhirat dan mereka adalah penghuni api neraka jahannam dan mereka kekal di dalamnya.” – Surah Al Baqarah : ayat 217

Kita tidak boleh membiarkan aqidah, fikrah dan akhlak generasi kita dimusnahkan oleh musuh Allah swt. Bangkitlah pertahankan Islam dari segenap arah dan sekira – kira di mana jua kalian berada.

Langkah pertama :  Marilah kita menyemarakkan Ilmu Islam dalam kehidupan kita. Basmi kejahilan dan jangan biarkan kita, keluarga dan masyarakat keliru mengenai Islam. Tuntutlah ilmu dari sumber Islam yang tulen dan rujuklah para alim ulamak yang muktabar.

Jangan benarkan ideologi yang asing daripada Islam dianut dan dijadikan pegangan seperti sosialis, kapitalis, nasionalis jua termasuk fahaman sekular, Islam Liberal dan Syiah yang kian melanda negara kita mutaakhir ini. Sebaliknya dekati majlis ilmu dan para alim ulamak yang muktabar untuk memahami Islam dengan lebih baik sekaligus menyelamatkan aqidah, pemikiran dan akhlak generasi kita.

Langkah Kedua : Mengambil semangat kemenangan Islam ke atas tentera musyrikin dalam peperangan Badar dan kejayaan Islam mengalahkan tentera Ahzab di Madinah, sedang kedua – duanya menjadi topik hangat perbincangan ummat Islam disepanjang bulan Ramadhan dan Syawal, maka marilah kita semarakkan semangat jihad dan semangat juang untuk menentang kemungkaran dan kemaksiatan yang kian berleluasa.

Kemungkaran yang paling bahaya dan besar risikonya ialah kemungkaran aqidah dan kemungkaran pemikiran. Kedua – duanya mesti ditangani dengan gigih oleh setiap ummat Islam. Jangan leka dan lalai, sungguhpun kita bergembira di pagi Syawal ini, namun kegembiraan itu adalah untuk melahirkan rasa syukur dan membugar semangat menang menentang kemungkaran.

Bukan gembira yang melalaikan dan akhirnya kita lagha dari tanggungjawab memperjuangkan Islam lalu kita kalah dan tewas diasak pemikiran asing yang mengeliru dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Langkah Ketiga : Islam adalah agama yang wajib diamal dan dilaksana oleh setiap penganutnya. Sebahagian dari perlaksanaannya ialah menyampaikan Islam ini kepada masyarakat dan mendidik mereka dengan penuh hikmah. Islam bukan agama yang beku dan jumud sebagaimana Islam bukan agama indidvidu dan eksklusif.

Semua dari kalangan kita mestilah berperanan sebagai ejen penyebar Islam yang berkesan dan ia mesti bermula daripada diri kita sendiri yang bersedia untuk menyampaikan Islam kepada masyarakat.