Archive for Julai, 2013


Masjid IPK Kepayan

Khatib : Ustaz Riduan Bidin

Lokasi : Masjid Nur Islam, IPK Kepayan 

“Alif Lam Miim. Kitab Al Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk hidayah bagi orang yang (hendak) bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah, ayat: 1-2)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menghuraikan lebih jelas mafhum ayat ini: Taqwa , ertinya memelihara atau melindungkan diri dari sesuatu yang ditakuti dan dibimbangkan. Bertaqwa kepada Allah Ta’ala ialah memelihara diri dari sesuatu yang membawa kepada siksa dan kemurkaan Allah Ta’ala dengan menjalankan (melaksanakan) undang-undang dan peraturan-Nya serta hukum-hukum perintah-Nya.

Al Quran ini menjadi petunjuk hidayah bagi orang yang bertaqwa atau yang berusaha membentuk dirinya untuk mematuhi perintah-perintah Allah Ta’ala dan menjauhi larangan-Nya, kerana merekalah yang terutama sekali yang akan mendapat faedah dari petunjuk hidayah Al Quran, disebabkan iman dan taqwa mereka. Sedang orang yang kufur dan ingkar adalah sebaliknya.

Umat Islam umat terbaik di dunia dan di akhirat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya”. (HR Imam Al-Bukhari).

Rasulullah SAW memberi jaminan bahawa umat Islam yang belajar dan mengajarkan Al Quran dalam erti kata belajar, mengajar sekaligus memahami, menghayati dan mempraktikkan seluruh ajaran dan Syariat Islam yang termaktub di dalam Al Quran akan dikurniakan oleh Allah SWT menjadi umat terbaik, berjaya dan cemerlang di dunia dan akhirat.

Tarikh : 25 Julai 2013 (Khamis)

Tempat : Studio Sabah FM, Jalan Lintas.

Masa : 11.15-11.30 malam.

Pada mulanya penerbit rancangan Hajah Johara Abdullah mahu mengadakan slot ini dalam bentuk rakaman saja, kemudian menukarkannya kepada siaran lansung pada masa yang ditetapkan. DJ bertugas ketika itu ialah Cik Fatin yang sudah saya kenali beberapa tahun sebelum ini.

Bayangkanlah ceramah berkaitan Nuzul al-Quran yang biasanya saya sampaikan sekurang-kurangnya 40 minit hingga sejam setengah terpaksa disingkatkan di sana sini sehingga tinggal 15 minit sahaja, kerana demikianlah peruntukan masa yang ada.

Namun, dengan tempo takzirah yang sedikit laju, saya mengutarakan kepada para pendengar 2 isi penting :

1) Sejarah ringkas dan pengenalan nuzul al-Quran;

2) Bagaimana umat Islam berinteraksi dengan al-Quran iaitu dengan tilawah, baca terjemahan, mempelajari huraian atau tafsirannya, hafaz al-Quran dan mengamalkannya. Sempat juga saya sebutkan institusi menghafaz al-Quran yang ada di negeri ini mana yang sempat.

Semoga Allah memberkati majlis ringkas ini. Terima kasih Puan Johara dan DJ Fatin yang memberi kepercayaan kepada saya kali ini.

Nuzul Quran @ Sabah FM (1) Nuzul Quran @ Sabah FM (2) Nuzul Quran @ Sabah FM (3) Nuzul Quran @ Sabah FM (4) Nuzul Quran @ Sabah FM (5) Nuzul Quran @ Sabah FM (6) Nuzul Quran @ Sabah FM (7)

Tarikh : 25 Julai 2013 (Khamis)

Tempat : Masjid as-Salam Kg Contoh Petagas

Masjid yang selalu saya kunjungi atau setidak-tidaknya limpas di sini kerana menghantar dan mengambil anak dari sekolah di SK Contoh setiap hari persekolahan. Sesekali saya juga berjumaat di sini sejak 8 bulan lalu dan mendengar intipati khutbah jumaat.

Ramai jamaah di sini yang saya kenali terutama kalangan veteran dan berpengaruh yang satu ketika dahulu berjawatan tinggi semasa bekerja dalam perkhidmatan mereka. Rumah Allah SWT kini menjadi kunjungan harian mereka, mengisi masa-masa tua.

Berceramah dalam tempoh 50 minit di sini walaupun kehadiran agak sederhana kerana dimaklumi saat ini waktu masyarakat balik dari tempat kerja masing-masing, saya tetap teruja dan berterima kasih atas undangan pihak JK Masjid kerana saya maklum ini antara masjid yang sangat aktif dengan aktiviti pengimarahan.

Perkongsian yang lebih banyak berkaitan dengan tilawah al-Quran yang sepatutnya menjadi sebahagian darah daging dan pengisian hidup seharian kita.

Masjid Kg Contoh (1) Masjid Kg Contoh (2) Masjid Kg Contoh (3)

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (1) Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (2)

Tarikh : 25 Julai 2013 (Khamis)

Tempat : Masjid Bandaraya Kota Kinabalu

Tajuk : Penghayatan terhadap peristiwa Nuzul al-Quran

Ada tempat lain yang mengundang saya menyampaikan tazkirah pada waktu zuhur di tempat mereka yang terpaksa saya tolak secara baik. Hambatan hari persekolahan kerana terpaksa mengambil anak-anak dari sekolah dan kemudian menghantar semula ke sekolah agama menyebabkan saya tidak menerima undangan pada waktu begini.

Terkecuali Masjid Bandaraya.

Masjid ini sangat sentimental kepada saya kerana satu ketika pernah bertugas sebagai imam di sini pada tahun 2000, antara bulan februari hingga akhir julai pada saat masjid ini baru saja dirasmikan oleh Tun Sakaran Dandai. Enam bulan berkhidmat di sini, bagaimanapun saya tidak pernah naik mimbar atau berceramah di sini.

Maka apabila Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok mengundang untuk mengisi satu slot dalam bulan Ramadhan di masjid ini, ia sesuatu yang tidak dapat saya tolak. Walaupun hanya 40 minit untuk penampilan sulung, alhamdulillah saya dapat berkongsi sedikit ilmu kepada jamaah yang hadir.

KYS Sembulan

Tarikh : 22 Julai 2013

Tempat : Perkarangan Kolej Yayasan Sabah, Sembulan Kota Kinabalu

Puasa suatu ibadah yang sangat istimewa. Tiada siapa yang boleh mengetahui seseorang itu berpuasa kecuali dirinya sendiri dan Allah SWT. Bahkan diri sendiri manusia itu tidak dapat memberi markah untuk dirinya kadar puasa yang dilakukannya, benar-benar mengikut piawaian yang Allah SWT tetapkan atau sekadar puasa makan minum sahaja.

Maka puasa ini mengajar kita akan perkara ghaib yang wajib kita imani. Pahala dan dosa, syurga dan neraka. Mahu tidak mahu, wajib mempercayai dan membuktikan dengan amali segala perintah ugama baik yang berupa aqidah, syariah dan akhlak.

Tiada ertinya puasa yang dilakukan apabila kita masih ingkar akan tuntutan yang lain, kerana ketundukan kita kepada perintah Allah SWT akan menatijahkan taqwa sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT bagi orang  yang menunaikan ibadah puasa dengan sebenar-benarnya.

p/s : hanya satu foto sendiri kerana foto yang saya nantikan daripada penganjur tidak kunjung tiba.

Tarikh : 24 Julai 2013

Tempat : Surau al-Fattah, IPD Penampang

Pertama kali berkunjung ke surau ini dan berceramah di hadapan pegawai dan anggota penguatkuasa undang-undang negara. Saya ada sedikit pengalaman berceramah di IPK Kepayan dan IPD Karamunsing sebelum ini dan kali ini di Penampang pula.

Surau ini sudah mengadakan solat jumaat dengan izin pihak berkuasa agama sejak beberapa bulan lepas dan saya sudah mendengar beberapa lama usaha-usaha untuk menggiatkan aktiviti keagamaan di IPD Penampang sehinggalah berjaya mengadakan solat jumaat.

Alhamdulillah, bertemu dengan sebahagian warga mereka dan berkongsi berkenaan tajuk nuzul al-Quran serta usaha-usaha agar setiap diri menggembeling usaha untuk membuktikan kasih dan sayang kita kepada al-Quran al-Karim. Terima kasih atas undangan Bahagian Agama & Kaunseling (BAKA) IPD Penampang.

IPD Penampang (1) IPD Penampang (2) IPD Penampang (3) IPD Penampang (4) IPD Penampang (5) IPD Penampang (6) IPD Penampang (7)

ceramah

Jemput hadir kawan-kawan.

Sumber : http://www.islam.gov.my/pelancaran-majalah-dan-risalah-braille-terbitan-jakim

Menyedari bahan-bahan bacaan Braille berunsur Islam yang kurang di pasaran, Jakim telah mengambil inisiatif menerbitkan majalah dan risalah dalam Braille. Penerbitan ini merupakan salah satu usaha Jakim menyebarkan dakwah kepada masyarakat Islam terutama kepada golongan kurang upaya penglihatan khususnya di Malaysia.

Penerbitan bahan cetakan Braille ini juga secara tidak langsung mampu menyemarakkan semangat cintakan ilmu daripada kalangan OKU penglihatan.

Sebanyak 10 buah buku Braille diterbitkan oleh Jakim setakat ini, antaranya ialah Majalah Pendidik, Panduan Puasa Ramadan, Penjelasan Istilah yang Boleh Membawa Penyelewengan Akidah, Isu semasa: Penjelasan dan Ciri-ciri Utama Ajaran Sesat, Asas Rujukan dalam Bidang Akidah dan sebagainya.

Penerbitan bahan cetakan Braille ini dikendalikan oleh pegawai dari Bahagian Penerbitan iaitu, Encik Mohd Kalam Mazad Abdul Rahman.

Majlis pelancaran bahan cetakan Braille tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Haji Baharom (B) di Dewan Seminar Aras 1, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kuala Lumpur pada 22 Julai 2013.

Majlis ini diadakan serentak dengan Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan kepada NGO Islam 2013. Majlis dua dalam satu ini turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jakim, Dato’ Haji Othman Mustapha dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim, Tuan Haji Razali Shahabudin.

Pada majlis tersebut, Dato’ Seri Jamil Khir turut menyerahkan bahan-bahan terbitan Braille kepada beberapa NGO iaitu Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM), Persatuan Braille Malaysia (PBM) dan Malaysian Association for the Blind (MAB).

pelancaran_braille_01 pelancaran_braille_02 pelancaran_braille_03 pelancaran_braille_04 pelancaran_braille_05 pelancaran_braille_06

Tarikh : 21 Julai 2013 (Ahad)

Lokasi : Pulau Sepanggar, Kota Kinabalu

Alhamdulillah, kunjungan ke Pulau Sepanggar adalah satu-satunya aktiviti kebajikan yang dapat saya sertai pada bulan Ramadhan kali ini bersama sahabat-sahabat yang prihatin akan nasib saudara seagama.

Pulau Sepanggar pernah saya kunjungi 2 tahun sudah. Pulau yang terletak dalam daerah Kota Kinabalu tetapi berada dalam Parlimen Putatan dari segi kawasan pilihanrayanya. Terletak hampir 50km dari Bandaraya Kota Kinabalu, pulau ini berhadapan dengan Menara Tun Mustapha (Yayasan Sabah), Universiti Malaysia Sabah ( UMS ) dan juga Pulau Gaya.

Dalam kunjungan kali ini, kami menyampaikan sumbangan dari umat Islam prihatin berupa wang zakat, beras dan beberapa keperluan makanan mentah kepada 60 penduduk yang memerlukan. Turut serta dalam kunjungan ini ialah Ustaz Shahrizan Mohd Hazime, mantan Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang kini tenaga pengajar di Maahad Darul Hadith Alor Setar dan juga rombongan dari Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).

Suka sekali saya melihat anak bujang saya Abdul Hadi yang baru darjah 1 itu beberapa kali turut serta mengedarkan bantuan terutama beras kepada penerima yang disasarkan. Seronok anak sepertinya dan Fatih anak sahabat kami Firdaus yang baru berumur 4 tahun diberikan pengalaman dengan kerja kebajikan.

Tahniah kepada Muslim Care Sabah yang melakukan inisiatif kebajikan ini bersama-sama PAPISMA dan Surau Riyadhus Solihin Taman Austral. Terima kasih juga kepada penduduk pulau yang menyambut baik kehadiran kami. Semoga sedikit sumbangan ini akan sedikit sebanyak akan meringankan beban penerima sepanjang Ramadhan dan hari raya. Insya Allah.

Pulau Sepanggar (6)

Pulau Sepanggar (1) Pulau Sepanggar (2) Pulau Sepanggar (3) Pulau Sepanggar (4) Pulau Sepanggar (5) Pulau Sepanggar (7) Pulau Sepanggar (8) Pulau Sepanggar (9) Pulau Sepanggar (10) Pulau Sepanggar (11) Pulau Sepanggar (12) Pulau Sepanggar (13) Pulau Sepanggar (14) Pulau Sepanggar (15) Pulau Sepanggar (16) Pulau Sepanggar (17)

%d bloggers like this: