Khatib : Ustaz Riduan Bidin
Lokasi : Masjid Nur Islam, IPK Kepayan
“Alif Lam Miim. Kitab Al Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk hidayah bagi orang yang (hendak) bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah, ayat: 1-2)
Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menghuraikan lebih jelas mafhum ayat ini: Taqwa , ertinya memelihara atau melindungkan diri dari sesuatu yang ditakuti dan dibimbangkan. Bertaqwa kepada Allah Ta’ala ialah memelihara diri dari sesuatu yang membawa kepada siksa dan kemurkaan Allah Ta’ala dengan menjalankan (melaksanakan) undang-undang dan peraturan-Nya serta hukum-hukum perintah-Nya.
Al Quran ini menjadi petunjuk hidayah bagi orang yang bertaqwa atau yang berusaha membentuk dirinya untuk mematuhi perintah-perintah Allah Ta’ala dan menjauhi larangan-Nya, kerana merekalah yang terutama sekali yang akan mendapat faedah dari petunjuk hidayah Al Quran, disebabkan iman dan taqwa mereka. Sedang orang yang kufur dan ingkar adalah sebaliknya.
Umat Islam umat terbaik di dunia dan di akhirat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya”. (HR Imam Al-Bukhari).
Rasulullah SAW memberi jaminan bahawa umat Islam yang belajar dan mengajarkan Al Quran dalam erti kata belajar, mengajar sekaligus memahami, menghayati dan mempraktikkan seluruh ajaran dan Syariat Islam yang termaktub di dalam Al Quran akan dikurniakan oleh Allah SWT menjadi umat terbaik, berjaya dan cemerlang di dunia dan akhirat.