Masjid Kg Pasir Putih Putatan

Khatib : Ustaz Abdul Rahman Datuk Ahmad

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

Kewajipan menunaikan Zakat Fitrah terletak di atas bahu setiap orang Islam yang mempunyai lebihan makanan atau harta daripada keperluan diri dan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya. Ini termasuk juga orang yang masih hidup di kala matahari terbenam di hari akhir dalam bulan Ramadan atau meninggal dunia selepas terbenamnya matahari pada hari akhir dalam bulan Ramadan.

Begitu juga kanak-kanak yang dilahirkan sebelum matahari terbenam pada hari akhir dalam bulan Ramadan dan hidup selepas terbenamnya matahari serta orang yang memeluk agama Islam sebelum terbenam matahari pada hari akhir dalam bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya.

Namun begitu, selain Zakat Fitrah terdapat beberapa jenis zakat yang diwajibkan ke atas umat Islam
yang memiliki harta dan kekayaan. Ini termasuklah Zakat emas dan perak, wang simpanan, barangbarang perniagaan, binatang ternakan, pertanian, Zakat pendapatan dan saham, Zakat galian, ’kunuz’ dan ’rikaz’ yang kesemuanya dikategorikan oleh para ulama sebagai Zakat Harta. Dalam hubungan ini, Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda kepada mereka yang menunaikan ibadah tersebut dan memberi amaran keras kepada golongan yang ingkar. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Dan orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (yakni berzakat), maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Pada hari itu, emas dan perak ( harta benda yang mereka miliki ) akan dibakar di dalam api Neraka lalu diselar ke dahi mereka, rusuk mereka dan di belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka), inilah harta benda mu yang kamu himpunkan untuk diri kamu sendiri. Oleh itu, rasakanlah azab-Ku yang amat pedih akibat dari apa yang kamu himpunkan.” (S.At-Taubah: 34-35).

Imam Nawawi rahimahullah berkata: “Sesiapa yang mengingkari kefardhuan zakat pada zaman ini, maka dia telah kafir dengan ijmak para ulama Islam. Pengetahuan tentang kewajipan zakat telah tersebar secara meluas di kalangan umat Islam, sehinggakan ia diketahui oleh orang awam dan khusus, orang alim dan jahil. Oleh itu, tidak ada alasan bagi sesiapapun membuat sebarang pentakwilan untuk mengingkarinya.”