Archive for 15 Julai 2013


Pada 1 Ramadan 1434H bersamaan 10 Julai 2013, Ikatan Ulamak Muslimin Sedunia telah mengadakan satu persidangan khas yang berpusat di Istanbul. Dalam pertemuan tersebut, beberapa resolusi berkenaan peristiwa semasa yang berlaku di Mesir telah disepakati antaranya:

1. Kuasa pemerintahan yang ‘diamanahkan’ kepada Dr.Muhammad Mursi adalah sah menurut syarak, dan wajib ke atas seluruh rakyat Mesir untuk memberikan taat setia, penghormatan serta bantuan kepada beliau.

2. Mazhab Ahlu As-Sunnah wa Al-Jamaah berpendirian bahawa haram mengingkari pemerintah muslim, memberontak dan menamatkan tempoh pemerintahannya melalui rampasan kuasa.

3. Semua golongan yang terdiri daripada latar belakang dan agama yang berbeza khususnya umat Islam diwajibkan untuk menyelamatkan dan memulangkan kuasa pemerintahan tersebut.

4. Pihak tentera perlu menyedari kesilapan mereka, malah seluruh rakyat dilarang daripada menimbulkan sebarang bentuk provokasi yang boleh mendatangkan huru-hara serta fitnah.

Rentetan daripada saranan tersebut, maka persidangan Ikatan Ulamak Muslimin di Istanbul telah menetapkan DUA garis panduan syariat seperti berikut:

– Pihak tentera mesti meletakkan semua perkara kembali pada kedudukan yang selayaknya, dan menutup semua ruang kerosakan.

– Wajib ke atas Ilmuwan Islam di Mesir khususnya ulama Al-Azhar untuk tampil menerangkan tentang pengharaman mengingkari kuasa pemerintah muslim yang dipilih melalui pilihanraya. Juga wajib mengembalikan garis pandu syariat di atas landasannya serta menerangkan kepada rakyat tentang kewajipan memberikan taat setia kepada pemerintah.

Persidangan tersebut diakhiri dengan harapan agar Mesir terus menjadi sebuah negara yang aman dan berpendirian teguh membangun bersama syariat Islam.

Antara pihak yang terlibat dalam persidangan tersebut ialah:

– Ikatan Ulamak Muslimin.
– Ikatan Ulamak Syariah Negara-negara Teluk.
– Majlis Dakwah dan Motivasi Islam.
– Kesatuan Ulamak Afrika.
– Kesatuan Muslimin Eropah.
– Majlis Ulamak Indonesia.
– Ikatan Pendakwah Sedunia.
– Majlis Syura Ulamak Damascus.
– Ikatan Ulamak Sunni.
– Perbadanan Syariah Hak Asasi Manusia dan Kemanusiaan.
– Hal Ehwal Ulamak Yaman.
– Ikatan Ulamak Syria.
– Kesatuan Ulamak Sudan.
– Ikatan Ulamak Kuwait.

Sumber : http://www.facebook.com/pmram.org?hc_location=timeline

Tarikh : 8 Julai 2013 (Isnin)

Tempat : Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah

Buat julung kalinya, maahad menerima kunjungan istimewa daripada YB Datuk Haji Arifin Mohd Arif, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah. Setelah pembentukan kabinet baru negeri Sabah selepas PRU13, Datuk Arifin tersenarai sebagai salah seorang pembantu menteri.

Beliau bertanggungjawab menjaga hal ehwal Islam, perkhidmatan awam dan unit pemimpin kemajuan rakyat. Dalam ucapan ringkasnya, untuk hal ehwal Islam, beliau akan memberi tumpuan kepada 3 perkara iaitu pendidikan, dakwah dan masjid serta perjawatan.

Sementara berkenaan pembangunan maahad tahfiz, beliau berjanji untuk memberi perhatian terhadap usaha membaik pulih dan menaik taraf sebuah bangunan lama di SMUI Toh Puan Hajah Rahmah di Sembulan untuk dijadikan sebagai kampus baru maahad tahfiz yang dijangka mengambil masa selama 18 bulan.

Untuk jangka masa panjang pula, kerajaan negeri akan membina kompleks baru Maahad Tahfiz al-Quran di Membakut. Apabila siap kelak, jumlah pengambilan para pelajar baru akan dapat digandakan daripada sekarang.

Seluruh warga maahad mengucapkan terima kasih di atas ziarah kasih beliau dan rombongan. Turut hadir Datuk Haji Amri A Suratman Pengarah JHEAINS dan pegawai kanan JHEAINS.

YB Arifin @ MTQQNS (1) YB Arifin @ MTQQNS (2) YB Arifin @ MTQQNS (3) YB Arifin @ MTQQNS (4) YB Arifin @ MTQQNS (5) YB Arifin @ MTQQNS (6) YB Arifin @ MTQQNS (7) YB Arifin @ MTQQNS (8) YB Arifin @ MTQQNS (9) YB Arifin @ MTQQNS (10) YB Arifin @ MTQQNS (11) YB Arifin @ MTQQNS (12)

%d bloggers like this: