Archive for 12 Julai 2013


Ust Hj Muchlish Ali Kasim

Sumber : http://abdnaddin.blogspot.com/2013/07/ustaz-ali-muchlish-terus-berbakti.html

NAMANYA mungkin tidak boleh dipisahkan dengan perkembangan dakwah dan pendidikan Islam di negeri ini. Sejak mula berkhidmat sebagai guru agama di beberapa buah sekolah agama Islam pada tahun 1974, beliau terus menerus mencurah bakti, walaupun telah bersara sejak 2004 lagi.

Kini beliau merupakan Yang Di Pertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Cawangan Sabah dan Pengerusi Darussyifa Sabah.

Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim memulakan tugasnya sebagai guru agama di Sekolah Islamiyah Tawau sebaik menjejakkan kaki ke Sabah kira-kira 39 tahun yang lalu. Berasal dari Surkam, Tapanuli Tengah, kira-kira 10 jam perjalanan dari Medan,Sumatera, Ustaz Haji Muchlish mendapat pendidikan awal ibtadiyah di Sekolah Agama Al-Washliyah hingga peringkat Aliyah. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Washliyah (UNIWA), Medan.

Sebaik tamat dari UNIWA, Ustaz Haji Muchlish yang memiliki cita-cita untuk bergiat dalam bidang dakwah telah diminta oleh gurunya, Dr Bahrum Jamil mengikuti temuduga pengambilan guru agama yang dijalankan oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di Medan.  Pada masa itu, Sabah masih kekurangan tenaga guru agama.

Oleh sebab itu, apabila Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI), Buya Hamka atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah berkunjung ke Sabah pada tahun 1972, Kerajaan Negeri pada masa itu dibawah pimpinan Tun Datu Haji Mustapha telah meminta bantuan beliau untuk menghantar guru guru agama untuk berkhidmat di Sabah. Kemudian Buya Hamka telah meminta bantuan Al Jam’iyatul Washliyah untuk menghantar tenaga pengajar ke Sabah.

Ekoran daripada itu, MUIS telah melaksanakan temuduga di Medan, Indonesia yang dihadiri kira-kira 40 orang pemohon. Bagaimanapun hanya 18 orang berjaya dalam temuduga yang dijalankan pada tahun 1973.

Tahun berikutnya, seramai 18 orang ustaz telah berangkat ke Sabah dan sempat singgah transit di Kuala Lumpur. Antara ustaz-ustaz yang berangkat meninggalkan kampung halaman mereka Ustaz Muchlish Ali Kasim.

Beliau  mula bertugas di Sekolah Islamiyah Tawau, kemudian berpindah ke Sekolah Ugama Islam (SUI)  Kunak, Sekolah Ugama Islam (SUI) Sipitang, SUI Putatan, Sekolah Agama Islam Toh Puan Hajah Rahmah Kota Kinabalu. Beliau kemudian bertugas di Badan Dakwah Kota Kinabalu dan Maahad Tahfiz Al Quran sehingga bersara pada tahun 2004.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Hajah Elfi Hanum Siregar dan dikurniakan lima cahayamata iaitu Quratul, Ain, Muhajirah, Abdul Mukti, Siti Aisyah, Syakirah.

Sambil duduk bersila di ruang tamu Pusat Rawatan Darussyifa Sabah di Lok Kawi,Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang untuk menemubual USTAZ HAJI MUCHLISH ALI KASIM mengenai pengalamannya sebagai guru agama dan aktiviti yang dilakukannya selepas bersara.

Ikuti petikan temubual bersama beliau yang diadakan pada satu pagi yang cerah di Sabindo, Lok Kawi sambil ditemani oleh Setiausaha Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah, Haji Mohd Pozi Awang.

UTUSAN BORNEO:  Boleh ceritakan sedikit bagaimana Ustaz mula berkhidmat di Sabah?

USTAZ HAJI MUCHLISH: Pada tahun 1972, Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Buya Hamka telah melawat ke Sabah. Ketika itu, beliau adalah Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI).

Ketua Menteri pada masa itu, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun telah meminta bantuan beliau untuk menghantar guru-guru agama berkhidmat di Sabah. Dengan diberi syarat mereka bermazhab Syafie. Buya Hamka kemudian meminta bantuan Al Jam’iyatul Washliyah untuk menghantar tenaga pengajar ke Sabah.

Ekoran itu, pada tahun 1972, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) , ketika itu diketuai oleh Datuk Haji Abu Bakar Titingan telah melaksanakan satu majlis temuduga pengambilan guru agama di Medan. Kami diminta oleh Dr Bahrum Jamil SH untuk menghadiri temuduga itu.

Tiga orang penemuduga dari Sabah yang datang ke Medan  ialah Mufti Negeri Sabah, Datuk Haji Muhammad Haji Ahmad, Datuk Haji Parman Hasan Raji dan Datuk Haji Salleh Ibrahim. Seramai 40 orang hadir dalam temuduga itu.  Tetapi hanya 18 orang yang berjaya lulus dalam temuduga.

UB:      Selepas itu bagaimana Ustaz berangkat ke Sabah memandangkan betapa sulitnya pengangkutan pada masa itu?

UHM:  Penerbangan kami ke Sabah telah diuruskan dengan begitu baik. Kami diberikan duit sebanyak Rp10,000, iaitu satu jumlah yang besar pada masa itu. Pasport kami diurus. Bahkan setiap tiga tahun, kami diberikan tiket percuma pulang kampung. Banyak kemudahan disediakan untuk memudahkan perjalanan kami.

UB:      Bila ustaz tiba di Sabah?

UHM:  Kami tiba di Sabah pada 29 Mac 1974. Sebelum itu kami transit di Kuala Lumpur dan disambut oleh kakitangan Yayasan Sabah. Kami disambut dengan kereta Mercedez Benz di lapangan terbang. Selepas itu, kami terbang ke Sabah dan mula ditempatkan di sekolah-sekolah agama di Sabah.

UB:      Boleh jelaskan sedikit mengenai organisasi Al-Washliyah?

UHM:  Al Jam’iyatul Washliyah merupakan organisasi Islam yang lahir pada 30 November 1930 dan bertepatan 9 Rajab 1349 H di kota Medan, Sumatera Utara.  Ia lebih dikenali sebagai Al Washliyah. Organisasi ini lahir ketika zaman penjajahan Belanda dan ramai tokohnya ikut berperang melawan Belanda.

Tujuan utama organisasi Al Washliyah didirikan adalah untuk mempersatukan umat yang berpecah belah dan berbeza pandangan pada masa itu. Inilah antara tujuan penubuhan Al Jam’ iyatul Washliyah yang bermakna ` Perkumpulan yang menghubungkan’. Maksudnya adalah menghubungkan manusia dengan Allah SWT dan menghubungkan manusia dengan manusia atau sesama umat Islam.

UB:      Siapa antara rakan Ustaz yang datang ke Sabah pada masa itu? Masih ingat nama ustaz-ustaz yang datang berkhidmat di Sabah itu?

UHM:  Mereka ialah  Ustaz Aliyudin Kamidi, Haji Abd Khalik Masidin, Dr.Adnan Idris, Dr Munir Siregar, Ustaz Muhd Nawawi Muhammad, Ustaz Mansuruddin Batubara, Ustaz Mutalib Endra, Ustaz Yakub Lubis, Ustaz Moktar Zainudin, Ustaz Ahmad Darbi Lubis,

Ustaz Syafie Raja Duyut, Ustaz Iyen Atim, Ustaz Jalidar Abdul Rahim, Ustaz Ghazali Sulaiman, Ustaz Ahmad Zaini, Ustaz Yahya Arshad, Ustaz Syarian Syah. Mereka ditempatkan di sekolah-sekolah agama di merata tempat di negeri Sabah. Ada yang ditempatkan di Tawau, di Papar, di Kota Belud, di Tambunan, di Kota Marudu dan sebagainya.

UB:      Dimana Ustaz mula mengajar?

UHM:  Saya mula bertugas di Sekolah Islamiyah Tawau selama satu tahun. Saya menumpang tinggal di rumah Haji Salleh Musleh, bapa Datuk Ghafur Salleh, kini Ahli Parlimen Kalabakan dan mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah. Rumahnya berdekatan dengan rumah Haji Ampong Kerahu, bapa Datuk Haji Jaafar Ampong.

Selepas itu saya dipindahkan ke Kunak. Kemudian berpindah pula ke Sipitang, Papar, Putatan dan kemudian Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajah Rahmah Sembulan.

Selepas itu saya ditugaskan pula di Badan Dakwah Kota Kinabalu dan kemudian bertugas di Maahad Tahfiz Negeri Sabah.

UB:      Masih boleh ingat murid yang pernah belajar dengan Ustaz?

UHM:  Antara murid saya di Sekolah Islamiyah Tawau ialah Datuk Haji Awang Sharin Alimin, Masni Umar, Ustaz Haji Abdul Ghani, Ahmad Haji Yasin, Ustaz Saidin Musi dan sebagainya. Saya juga pernah mengajar Datuk  Tawfiq Abu Bakar Titingan, Dr Badrul Amin Haji Bahrun, mantan Profesor di UIA dan ramai lagi. Waktu itu mereka berada dalam darjah lima.

UB:      Selepas itu Ustaz bertugas dimana pula?

UHM:  Selepas itu, saya berpindah pula ke Kunak. Di Sekolah Agama Islam di Kunak. Walaupun begitu, saya masih aktif menjalankan ceramah-ceramah agama di Kunak, Tawau dan sekitarnya.

UB: Tidak rasa kekok ketika mula bertugas di Sabah?

UHM: Saya sudah terbiasa menjalankan tugas-tugas dakwah. Sebelum datang ke Sabah saya memang aktif dalam dakwah,  saya sudah terbiasa mendaki pergunungan, menuruni lembah dan sebagainya. Jadi saya rasa tidak ada kejanggalan dalam menjalankan usaha dakwah di pedalaman.

UB:      Menurut pandangan Ustaz, apa cabaran yang dihadapi dalam dakwah pada masa dulu?

HM:  Pada masa dulu, kita masih berdepan cabaran yang hebat kerana masyarakat terutamanya di kawasan pedalaman, masih kurang kefahamannya dari segi agama. Kita masih dapati dalam majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, hari raya, dihidangkan minuman arak yang ditegah.

Alhamdulillah, kita dapat memberikan kesedaran sedikit demi sedikit. Selepas usaha-usaha itu, kini masyarakat banyak berubah. Kini keadaan tidak seperti dahulu. Sudah makin ramai pelajar lulusan agama yang lulus dari pusat pengajian tinggi.

UB:      Oh ya, selepas bersara, Ustaz kini dilantik sebagai Yang Di Pertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Cawangan sabah? Apa antara peranannya?

UHM:  Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) merupakan satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan politik yang mempertuankan institusi ulama’.

Antara  tujuannya ialah menyatukan ulama dalam harakah Islamiyah dan mengembelingkan tenaga untuk menegakkan syari’ah Islam dan mempertahankan kebenaran dan kemurnian ajarannya, meninggikan kedudukan dan taraf `ulama’ di dalam masyarakat, menjalankan usaha-usaha kebajikan untuk ahli-ahli, menjalankan usaha-usaha  penyelidikan ilmiah dan pengeluaran buku-buku ilmiah dan pengeluaran buku-buku ilmiah yang sah di sisi undang-undang serta menghidupkan karya-karya ilmiah Islam yang lama.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk bekerjasama dengan persatuan-persatuan Islam yang lain di dalam negeri, meninggikan nilai-nilai akhlak dan rohaniah di dalam masyarakat dan membasmi punca-punca keruntuhan moral dan memainkan peranan dan memberi bimbingan kepada masyarakat untuk membina dan membangun ummah menurut Islam.

UB:      Kami juga difahamkan Ustaz adalah Pengerusi Pusat Rawatan Darussyifa? Boleh ceritakan sedikit mengenainya?

UHM:  Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam (Darussyifa’) Cawangan Sabah sebenarnya baru saja dilancarkan kira-kira dua tahun yang lalu. Ia dilancarkan sendiri oleh pengasas dan penasihatnya, Dato’ Dr. Haron Din. Pusat Rawatan Darussyifa menyediakan kaedah rawatan pengubatan Islam yang berteraskan ayat-ayat al-Quran dan Hadis Nabi SAW.

Rawatan yang kita berikan adalah percuma. Ramai anggota masyarakat yang mengalami gangguan makhluk halus, gangguan sihir, jin dan pelbagai masalah lain datang ke Darussyifa untuk mendapatkan rawatan. Di Lokkawi, masa rawatan kita ialah pada Jumaat bermula jam 8.30 malam hingga 11.30 malam dan hari Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari.

Kita bersyukur dan gembira apabila menerima khabar mereka yang menerima rawatan akhirnya sembuh. Ada juga pasangan yang lama berkahwin tetapi tidak mendapat zuriat. Alhamdulillah, dengan izin Allah, mereka mendapatkan cahayamata setelah mendapatkan rawatan daripada Darussyifa.

Pesakit pesakit datang dari seluruh pelusuk Sabah. Malah ada yang datang dari Brunei. Ada juga pesakit datang dari Papar, dekat saja dengan Lok Kawi tetapi mereka mendapatkan maklumat mengenai Darussyifa ini dari Dubai. Mereka diberitahu oleh rakan mereka di Dubai bahawa ada pusat rawatan Darussyifa di Lok Kawi.

Kita menerima pesakit dari semua anggota masyarakat. Kepada pesakit yang beragama Islam, kita hanya nasihatkan agar mereka jangan lupa solat, jaga hubungan kekeluargaan, hormat ibu bapa, buat kebaikan dan sebagainya.

Ramai juga pesakit dari kalangan non-muslim yang datang. Alhamdulillah mereka beransur pulih selepas menerima rawatan. Kepada pesakit non muslim, kita hanya nasihatkan mereka supaya selalu buat kebaikan, hormat ibu bapa, jaga hubungan keluarga, buat kerja dengan ikhlas dan sebagainya.

Antara pesakit yang selalu datang, ada yang menderita penyakit batu karang, campak, darah tinggi, angin ahmar, sawan, buah inggang, kencing manis, kayap, asma, gatal-gatal, jantung, barah dan sebagainya selain daripada gangguan sihir, jin, makhluk halus, tekanan jiwa, fobia dan sebagainya.

Tenaga perawat kita pula adalah mereka yang terlatih dan lulus kursus pengubatan Islam yang dijalankan oleh Darussyifa dalam tempoh tertentu. Selepas lulus mereka mendapat kad dan sijil yang membolehkan mereka menjalankan rawatan pengubatan Islam.

Tersiar di UTUSAN BORNEO 29 JUN 2013

Mohammad Mursi

Sebelum kemenangan Dr Muhammad Mursi, tiada yang diistilahkan dengan “aliran Islam” atau “aliran sekular” tetapi hanya dikenali “kelompok Mubarak” dan “bersama revolusi”.

Buktinya, pada Pilihan raya parlimen akhir tahun 2011, Ikhwan Muslimin melalui partinya FJP telah membentuk gabungan kerjasama dipanggil “Tahaluf Ad-Dimoqrati Min ajli Misr” iaitu “Gabungan Kerjasama Demokrasi Untuk Mesir” yang terdiri daripada 11 buah parti termasuk parti bukan aliran Islam seperti Parti Wawasan dan Parti Kemuliaan (Karamah).

Pada pilihan raya presiden yang diadakan pada bulan April 2012, seramai 12 calon Presiden bertanding pusingan pertama. Jika dilihat latar belakang calon-calon ini, maka hanya tiga orang dari aliran Islam termasuk Dr Mursi. Adapun yang lain dari aliran sekular termasuk ketua-ketua Barisan Penyelamat, iaitu Amru Musa dan Hamdeen Sobahi.

Kesemua mereka tewas pada pusingan pertama dan diumumkan hanya dua calon yang memperolehi undi tertinggi, Mursi dan Ahmed Syafiq yang akan berentap pada pusingan terakhir.

* 27 Jun 2012, SPR telah mengumumkan Mursi menang dengan majoriti hampir 1 juta undi.
* 9 Jun 2012, Mursi mengangkat sumpah jawatan.
* 30 Jun 2012, Majlis Tentera menyerahkan tampuk kekuasaan yang dipegang mereka selepas kejatuhan Mubarak secara rasmi kepada Mursi.

Ahmed Syafiq, bekas PM zaman Mubarak (calon Presiden yang kalah) terpalit dengan terlalu banyak skandal termasuk menyeleweng wang rakyat. Dia terpaksa melarikan diri ke luar negara bagi menyelamatkan diri. Destinasi yang dipilih ialah UAE (Abu Dhabi).

Pihak berkuasa Abu Dhabi bukan sahaja mengalu-alukan Syafiq tetapi lebih dari itu, melantik beliau sebagai Penasihat kepada Raja UAE. Bermula saat itu, Abu Dhabi menjadi pengkalan baru bagi kroni Mubarak untuk meneruskan agenda menghancurkan Mesir baru di bawah Mursi.

Syafiq tidak keseorangan tetapi bersama dengan Mohammad Dahlan (bekas pimpinan Fatah Palestin) dan Ketua Tertinggi Polis Dubai, Dhohi Khalfan meneruskan agenda yang dirancang.

UAE (atau Abu Dhabi dan Dubai) dijadikan ‘perkakas’ musuh Islam apabila pihak berkuasanya melucutkan kewarganegaraan mereka yang terlibat dengan Ikhwan Muslimin, selain menghantar pulang warga Syria yang mengadakan himpunan protes terhadap kekejaman rejim Syria di hadapan kedutaan itu di Abu Dhabi.

Ketika ulama terkenal, Syeikh Yusuf Qardhawi lantang mengkritik rejim Bashar Al-Asad maka Dhohi Khalfan telah menggesa Interpol menangkap Qardhawi atas alasan mencetuskan huru-hara. Selepas kemenangan Mursi, Mesir melalui pelbagai cabaran dan rintangan. Halangan tersebut bukan sahaja dari dalam tetapi kini dari luar.

Yang paling nyata ketika perbincangan untuk menggubal perlembagaan negara itu hangat diperkatakan. Rakyat dan kerajaan bersepakat perlembagaan yang ada yang diwarisi pada zaman Mubarak dipinda.

Kerajaan telah bersetuju melantik sebuah panel penggubal perlembagaan yang diketuai oleh seorang bekas hakim, Husam Ghiryani. Panel tersebut telah mewakili semua lapisan masyarakat bagi mewakili suara seluruh rakyat untuk menyumbang kepada pindaan perlembagaan itu. Keanggotaan mereka semua seramai 100 orang termasuk wakil tentera, Al-Azhar dan gereja.

Maka yang turut dilantik ialah parti-parti aliran sekular seperti Parti Wafd dan calon-calon Presiden yang kalah iaitu Amru Musa.

* 4 November 2012, Amru Musa mengadakan lawatan ke Ramallah. Beliau mengadakan pertemuan sulit dengan bekas Menteri Pertahanan Israel, Tzipi Livni. Tidak diketahui apakah isi perbincangan tetapi beliau telah zahirkan dari sudut tindakan.

Sekembalinya dari Ramallah, Amru Musa bersama-sama wakil parti sekular telah menarik diri daripada Panel Penggubal perlembagaan tanpa dinyatakan sebab secara jelas. Mereka semua seramai 15 orang. Maka berbaki dalam panel tersebut 85 orang meneruskan perbincangan.

* 14 November 2012, Israel menembak mati Ahmed Ja’abari, orang nombor dua Briged Al-Qassam di Gaza maka bermulanya serangan Israel ke atas Gaza.

Peperangan selama hampir dua minggu itu sebenarnya membawa pukulan maut kepada Israel. Zionis terlupa jika serangan yang dibuatnya pada 2008, ketika itu Mubarak memerintah Mesir tetapi 2012 Mursi yang memerintah.

Maka, satu-satunya kekuatan bagi penduduk Gaza ialah pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Mesir-Gaza tidak dibenar tutup oleh Mursi. Hasilnya, penduduk Gaza bebas keluar masuk dan misi bantuan dunia ke Gaza termasuk ubat-ubatan mencurah-curah tiba.

Tamparan makin hebat kepada Israel apabila Mursi membuat tindakan berikut;

* Menutup Kedutaan Mesir di Tel Aviv (sebelum itu memang Mursi sudah berhasrat menutup kedutaan, cumanya tidak kena dengan masa. Hal ini kerana sejak zaman Anwar Sadat Mesir mempunyai hubungan diplomatik dengan Zionis).

* Memanggil duta Israel ke Mesir untuk menyerahkan notis bantahan secara rasmi.

* Mencadangkan kepada Liga Arab untuk memanggil semua Menteri Luar mengadakan mesyuarat tergempar.

* Mewakilkan kepada Perdana Menteri, Dr Hisyam Qandil menziarahi Gaza sebagai tanda sokongan Mesir kepada rakyat Gaza.

UAE meneruskan provokasi kepada Mesir apabila menangkap beberapa orang rakyat Mesir yang bertugas di Abu Dhabi dan Dubai. Jumlah mereka yang ditangkap lebih 10 orang dan disembunyikan di lokasi yang tidak diketahui. Keluarga terdekat gagal menghubungi. Pihak berkuasa UAE memberikan alasan mereka terlibat dengan gerakan bagi menubuhkan tanzim Ikhwan di UAE.

Sehingga hari ini kesemua mereka belum dibebaskan bahkan akan dihadapkan ke mahkamah UAE.

Pada akhir November 2012, panel penggubal yang diketuai oleh bekas hakim Husam Ghiryani selesai membincangkan draf pindaan. Setiap draf pindaan memerlukan kepada pungutan suara rakyat (referendum) bagi mengesahkan sama ada rakyat menerima atau menolak draf cadangan tersebut.

Maka kumpulan Amru Musa telah bergabung dengan Hamdeen Sobahi dan di sini muncul watak bernama Dr Mohammed El-Baradei, bekas Ketua Agensi Atom Antarabangsa PBB. Mereka ‘tiga serangkai’ menolak draf pindaan tersebut dan menubuhkan “Barisan Penyelamat” kononnya bagi menyelamatkan negara dari di”Ikhwan”kan oleh Mursi. Maka, dakyah bahawa Ikhwan sedang meng”Ikhwan”kan negara dimomokkan kepada rakyat.

Lebih dari itu, penyokong Barisan ini telah berhimpun di Istana Ittihadiyah, pejabat Mursi. tiba-tiba, kempen untuk menolak perlembagaan itu berubah kepada slogan “Irhal Ya Mursi” iaitu mendesak Mursi berundur. Kenapa terlalu jauh mereka bertindak? Sedangkan topiknya bukan Mursi tetapi perlembagaan.

Akhirnya, berlaku pertempuran dengan pemuda Ikhwan Muslimin dan anggota Barisan yang dibantu oleh perusuh (baltoji). Seramai 11 orang pemuda Ikhwan syahid di hadapan Istana Ittihadiyah.

Pada 15 November 2012, rakyat tetap turun dalam pungutan suara. Akhirnya, lebih 60 peratus pengundi menyatakan setuju kepada perlembagaan itu dan Mursi menandatangani perlembagaan tersebut untuk dikuatkuasakan.

Di sini bermula parti-parti aliran Islam menunjukkan kesatuan mereka. Jamaah Islamiyah, Parti Wasat dan Dakwah Salafiyah telah menyatakan sokongan kepada perlembagaan ini.

Sementara itu, Mursi tidak membuat keputusan bersendirian. Bagi mengelakkkan dirinya bersikap diktator seperti Mubarak, maka antara usaha awal beliau selepas menang ialah menubuhkan “Pasukan Jabatan Presiden” yang terdiri daripada 17 orang penasihat dan empat orang pembantu.

Mereka ini bukan menteri kabinet tetapi dalam kalangan anggota pembantu beliau yang akan dijemput berbincang dan mengemukakan idea. Dalam kalangan mereka, dilantik wakil Kristian, wakil wanita, dari kalangan Salafi dan Ikhwan Muslimin.

Bagi mengelakkan pemerintahan diktator, beliau juga mencetuskan idea “dialog kebangsaan”. Semua parti-parti politik dijemput dan mereka menyertainya. Barisan Penyelamat menolak untuk menyertai dialog ini.

Mereka kemudian menubuhkan NGO yang dinamakan “Gerakan Kebangsaan” yang mengumumkan secara jelas mereka menolak menjadikan Mesir ke arah negara berasaskan mana-mana agama.

* 29 April 2013 mereka melancarkan “Kempen Pemberontakan” (atau Hamlah Tamarud).

Kempen ini antara lain bertujuan mengumpul sebanyak mungkin tandatangan daripada rakyat Mesir bagi menarik balik kepercayaan daripada Mursi dan mengadakan pilihan raya presiden lebih awal walaupun perlembagaan baru yang diluluskan tahun lalu memberikan had tempoh kepada Presiden satu penggal selama 4 tahun dan tempoh pemerintahan Mursi sepatutnya berakhir 30 Jun 2016. Mereka turun ke dataran-dataran utama di negara bagi mengedarkan borang tandatangan kepada rakyat.

Jawatankuasa kempen ini mengumumkan sehingga 12 Mei lalu mereka berjaya mengumpulkan 2 juta tandatangan rakyat bagi mendesak pilihan raya presiden diadakan lebih awal. Mereka mensasarkan menjelang 30 Jun nanti, sebanyak 15 juta tandatangan akan dikumpulkan iaitu melebihi undi yang diperolehi oleh Mursi dalam pusingan terakhir menentang Syafiq Jun 2012 iaitu 13 juta undi sahaja.

* 30 Jun 2013, Tamarrud mendakwa mereka berjaya mengumpukan 20 juta tandangan.

Kumpulan Islam yang diketuai oleh Jamaah Islamiyah pula melancarkan kempen “Tajarrud” sebagai lawan kepada kempen “Tamarrud” iaitu mengumpul tandatangan rakyat bagi mempertahankan Mursi.

* 23 Jun 2013, Menteri Pertahanan Mesir Abdul Fattah As-Sisi menyampaikan ucapan dalam satu majlis bersama pegawai-pegawai tentera mengejutkan semua pihak. Beliau sebagai Ketua Majlis Tentera telah memberi masa seminggu kepada semua pihak untuk mencari noktah persamaan bagi mengelakkan krisis dalam negara.

* 28 Jun 2013, Mursi membentangkan pencapaian beliau selama setahun selama hampir 3 jam.

* 30 Jun 2013, lebih 2 juta penentang Mursi turun ke Tahrir dan beberapa dataran lain mendesak Mursi berundur.

* 1 Julai 2013, menyaksikan kenyataan rasmi pertama dari tentera yang memberi kata dua dengan memberikan tempoh 48 jam kepada pihak berkuasa menerima tuntutan rakyat atau tentera terpaksa campurtangan menyusun pelan tindakan negara akan datang.

Petang 3 Julai, As-Sisi mengadakan pertemuan dengan Mohammed El-Baradei yang turut dihadiri oleh wakil Parti Nur, Syeikh Azhar Dr Ahmed Toyyib dan Ketua Gereja, Pope Tawadhrox. Sisi menyampaikan ucapan dengan kehadiran wakil-wakil yang disebut mengumumkan rampasan kuasa dengan melantik Ketua Hakim mahkamah Tinggi Perlembagaan, Adli Mansour sebagai Presiden sementara.

http://www.tarbawi.my

%d bloggers like this: