Archive for 1 Julai 2013


Tarikh : 29 Jun 2013 (Sabtu)

Tempat : Masjid at-Taqwa Keningau

Misi kami – Darussyifa’ Sabah – ke daerah Keningau bermula dengan sesi ceramah secara serentak di empat buah masjid dengan empat penceramah. Ustaz Haji Muchlish di Masjid Pekan, Ustaz Haji Nik Anwar Zakaria di Masjid IPG Keningau, Ustaz Amir Hussin di Kg Tudan Baru sementara saya di Masjid Daerah Keningau.

Ceramah di Masjid Daerah ini saya fokuskan kepada empat perkara :

1) Kewujudan makhluk halus seperti jin dan syaitan, permusuhan mereka terhadap manusia sejak zaman nabi Adam AS sehingga hari kiamat nanti. Di kalangan jin juga ada yang beragama Islam sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Quran, hadith-hadith Nabi SAW dan pengalaman orang soleh.

2) Ilmu sihir yang berlegar dalam masyarakat, adalah salah satu unsur yang dibawa oleh syaitan yang antara tujuannya untuk memporak perandakan manusia khususnya kekeluargaan dan masyarakat umumnya. Ia berlaku lama sejak dahulu sehingga saat ini, aktiviti memisahkan antara suami isteri, anak dan ibu bapa dan sebagainya.

3) Melalui petunjuk al-Quran dan hadith-hadith Nabi SAW, terdapat kaedah rawatan dan pengubatan Islam baik untuk menangani penyakit zahir dan batin termasuk gangguan jin dan syaitan yang tidak dapat dirawat oleh perubatan moden. Dalam masa yang sama, terdapat penyamaran pihak tertentu yang menggunakan nama pengubatan Islam untuk menyeleweng dan mengambil keuntungan.

4) Darussyifa’ Sabah sudah memulakan pengajian sejak 2 tahun sudah dan mempunyai 3 premis rawatan sehingga kini. Misi merawat dan dakwah akan terus berjalan mengikut kemampuan yang ada pada para perawat yang telah diamanahkan untuk membantu pesakit yang datang.

Alhamdulillah, ratusan pesakit mendapat khidmat Darussyifa’ Sabah, sekaligus menghindarkan mereka daripada bertemu dengan rawatan yang bertentangan dengan Islam seperti sihir, tangkal, azimat, bertemu bomoh pawang dan sebagainya.

Foto dirakam oleh Imam Fahmi Syah.

Ceramah @ Masjid Daerah Keningau (1) Ceramah @ Masjid Daerah Keningau (2) Ceramah @ Masjid Daerah Keningau (3) Ceramah @ Masjid Daerah Keningau (4) Ceramah @ Masjid Daerah Keningau (5) Ceramah @ Masjid Daerah Keningau (6) Ceramah @ Masjid Daerah Keningau (7) Ceramah @ Masjid Daerah Keningau (8)

Mesir

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/mursyidul-am/20422-mesir-apabila-sekular-tergugat

 Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mesir dicemburui oleh musuh-musuhnya bukan kerana Ahram atau Sungai Nil, tidak juga kerana kehebatan binaan Piramid atau keindahan puncak Tursina. Mesir dicemburui kerana al-Azhar. Di sinilah terasasnya tamadun ilmu yang terkenal ke seluruh dunia.

Lahirnya di situ bukan seorang dua ulama bahkan ribuan kalaupun bukan jutaan murabbi ummah yang bertebaran ke seluruh dunia. Bangunnya al-Azhar kerana sumber wakaf tanpa bantuan dari dana kerajaan cukup menggelisahkan musuh-musuh Islam. Justeru, kehebatan ini wajib dihancurkan.

Hari ini, Mesir berdepan dengan satu lagi krisis ciptaan golongan sekular yang enggan mengaku kalah di gelanggang demokrasi. Demokrasi ialah ciptaan Barat, ia bukan ciptaan Islam, tetapi nilai-nilai demokrasi diterima dan diiktiraf sebahagiannya oleh Islam.

Sayangnya, apabila tiba saat rakyat membuat pilihan menolak pemimpin yang pro-Barat, pada masa itulah demokrasi dinafikan dan sekular akan mengeluarkan pedangnya yang sebenar untuk memancung demokrasi.

Di Mesir, Mursi menang melalui pilihan raya yang bersih. Tanpa penipuan dakwat kekal, tanpa blackout dan tanpa senarai pengundi yang diragui, Mursi ditabalkan menjadi Presiden sekalipun disambut sinis oleh Israel yang bimbang pengaruhnya terhakis.

Namun, kerana sekular menjarah begitu lama di bumi anbia ini, bukan satu kerja yang senang untuk membebaskan Mesir dan belenggu sekular. Inilah masalah sebenar Mursi, iaitu membebaskan Mesir dari perhambaan sekular yang sudah berdekad-dekad memenjara rakyat Mesir.

Ini bukan sejarah baru di Mesir, bahkan ia telah berlaku ribuan tahun yang lampau pada saat Nabi Musa alaihissalam mahu membebaskan Bani Israel dari kezaliman Firaun. Mereka dibantu oleh mukjizat yang tidak kecil daripada Allah SWT.

Baca sahaja di dalam al-Quran, kita akan dapati peristiwa laut terbelah, tongkat yang menjadi ular, batu mengeluarkan air, turunnya makanan dan minuman dari langit dan banyak lagi peristiwa besar yang berlaku sepanjang dakwah Nabi Musa alaihissalam.

Namun, al-Quran merakamkan perangai Bani Israel yang seringkali enggan untuk berubah. Degil dan keras kepala ialah lambang Bani Israel yang digambarkan di dalam al-Quran.

Warisan sikap Bani Israel wujud di Mesir sekarang. Sekalipun sebahagian besar rakyat Mesir kelihatan menyokong Mursi, namun anak cucu Bani Israel yang mewarisi perangai datuk nenek mereka tetap melakukan kekacauan di bumi anbia.

Inilah natijahnya apabila sekular dijadikan kiblat, apabila demokrasi yang bersih menghadiahkan trofi kemenangan kepada musuh politik mereka, mereka tidak akan berdiam diri. Ini juga yang berlaku di Turki dan Gaza.

Di Malaysia, saudara mara sekular juga nampak berminat mengikut langkah yang sama. Kekalahan di dalam pilihan raya membawa kepada dasar penindasan dan penafian hak. Ditubuhkan kerajaan di dalam kerajaan, dinafikan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan dinafikan hak ke atas hasil mahsul bumi merupakan buah-buah yang lahir dari pohon-pohon sekular yang tidak kenal sempadan dosa dan pahala.

Untuk Mesir ini, kita sama-sama menadah tangan supaya pemimpin yang bersendikan Islam sebagai akidah perjuangan diberikan kekuatan oleh Allah SWT. Gunakanlah peluang pada bulan Ramadhan untuk merayu dan merintih kepada Allah SWT. Dialah Pemilik kepada segala kerajaan.

%d bloggers like this: