Khatib : Ustaz Haji Masduki Umar
Lokasi : Masjid as-Salam Kg Contoh Petagas
Firman Allah SWT : Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang satu; oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”. (al-Kahfi : 110)
Allah SWT yang Maha Esa telah menjadikan manusia ini telah menetapkan bahawa sekiranya seorang hamba bercita-cita hendak bertemu Allah SWT dalam suasana yang indah, ada dua syarat yang ditetapkan iaitu beriman dan beramal soleh.
Keimanan yang sohih dan benar, menerima Islam dengan bersungguh-sungguh serta tidak berlaku syirik kepada Allah SWT. Kesaksian terhadap keesaan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Yang kedua, apabila seseorang itu sudah beriman kepada Allah hendaklah ia taat melakukan amal soleh dan meninggalkan segala tegahan. Ia mesti memenuhi perkara yang namanya kewajiban terlebih dahulu berbanding perkara yang lain.
Sesuatu yang menunjukkan keganjilan dan kejanggalan umat ialah apabila masjid-masjid penuh untuk solat tarawih yang bertaraf sunat sedangkan dalam masa yang sama meninggalkan solat fardhu yang sudah tentu akan disoal oleh Allah SWT.