Saya baru tahu ada usaha tidak rasmi ‘meminang’ saya untuk berkuliah mingguan di Masjid Daerah Putatan sejak beberapa bulan sudah. Khabarnya, ada beberapa kontra yang berlaku sebelum itu, namun akhirnya menjelang pertengahan bulan Sya’aban baru hajat itu terlaksana dan tercapai.
Menariknya, perbincangan dengan penggerak masjid hanya berlaku lewat sms dan saya pada peringkat awal ini tidak mengenali siapa wakil yang berbincang dengan saya melalui sms itu. Tidak banyak perbincangan melainkan saya memberikan dua pilihan hari yang masih kosong iaitu khamis malam jumaat atau sabtu malam ahad.
Wakil masjid memilih hari sabtu malam ahad, dalam keadaan saya selepas ini akan bergegas pula ke kelas tahfiz hujung minggu sesudah isyak di Masjid Daerah Putatan yang sudah tercatat dalam jadual mingguan saya sebelum ini. Kuliah bermula malam ini dan berehat pula menjelang bulan Ramadhan dan bersambung selepas hari raya.
Subjek yang diminta ialah Fardhu Ain yang akan terus mencabar saya lagi. Fardhu ain adalah sesuatu yang luas bidangnya dan nampaknya saya tidak dapat untuk berkuliah subjek lain setelah permintaan ini. Semoga Allah memudahkan urusan ini. Rabbi yassir wa la tu’assir ya karim…