1) Menjelang tengahari ahad, saya bersama Nuha siap mendaftar masuk wad di Hospital Likas. Ditempatkan di tingkat 6, bilik nombor 15, bilik paling hujung sekali. Bilik yang mempunyai dua katil. Kami diberikan taklimat sebelum itu bahawa pembedahan bakal berlangsung pada pagi isnin, senarai terakhir daripada lima pesakit yang dijadualkan. Pembedahan membuang tonsil yang membelenggu sejak kecilnya.
2) Tarikh pembedahan ini sudah dinanti sejak lebih sebulan lalu. Sebelum itu tarikh pembedahan tertunda dua kali. Kali pertama dijadualkan pada bulan februari tetapi pihak hospital menunda kerana doktor banyak ditugaskan di Lahad Datu dan Tawau akibat peristiwa di Kg Tanduo. Tarikh dibawa kepada 5 dan 6 Mei, dan saya pula menunda kerana bertembung dengan hari mengundi PRU13.
3) Kami masuk wad dan di sebelah katil ada seorang anak berumur sekitar 4 tahun sindrom down dari Telipok yang juga menunggu giliran pembedahan atas penyakit yang lebih kurang sama. Tetapi khabarnya sudah menjalani beberapa pembedahan lain. Di sisinya ada ibunya yang juga seorang jururawat. Kelihatan sangat mahir dalam jenis penyakit, bentuk pembedahan dan ubatan.
4) Malam isnin, saya sempat keluar dan berkuliah lagi di Masjid Kg Sembulan Lama. Sementara Nuha tidur sendirian di katil sesudah saya siapkan bekalan yang sewajarnya. Sejak petang, saya mula menerima sms, panggilan dan whatsapp kebanyakannya siswa siswi maahad dan teman-teman rapat.
5) Sebenarnya tidak ramai mengetahui situasi ini pada peringkat awal, bahkan menyangka saya yang bakal dibedah. Kebanyakannya terkejut, sedang baru sehari sebelumnya saya di lapangan lalu kemudian dikhabarkan masuk wad. Catatan saya sengaja tidak jelas di facebook, siapa yang sakit, siapa yang dibedah, di hospital mana dan sebagainya.
6) Seawal jam 8 pagi, jiran sebelah katil awal dibawa masuk ke dalam bilik bedah dan kemudian keluar sebelum giliran Nuha tiba. Pembedahan yang dijadualkan kepada anak ini ada sedikit perubahan kepada pemeriksaan sahaja. Sementara giliran Nuha diawalkan kepada pesakit keempat disebabkan pembatalan salah seorang pesakit sebelumnya. Debaran semakin kencang.
7) Hampir jam 11 pagi, Nuha disuruh menukar baju khas sebelum dibawa masuk ke dewan bedah. Air mata mula mengalir. Saya turut mengiring hingga ke dewan bedah. Di dalam dewan bedah ada beberapa buah bilik bedah yang menjalankan pembedahan lain. Di bilik bedah, sesudah dibius, Nuha tidak lagi sedar dan saya diminta menunggu di luar bersama para waris dan penjaga yang turut menanti pembedahan jagaan masing-masing selesai.
8) Sejam setengah kemudian, saya dipanggil kerana pembedahan sudah selesai. Nuha dibawa keluar dari bilik bedah dan direhatkan lagi di ruangan dewan bedah selama sejam setengah lagi. Nuha sudah sedar tetapi masih lemah. Barangkali kesan bius belum selesai. Nuha berselisih tidur dan jaga dan sesekali bercakap longlai meminta air. Sementaranya di mulutnya masih ada sisa darah.
9) Jam 3 petang Nuha dibawa balik ke wad semula. Saya segera belikan aiskrim sebagaimana pesanan doktor untuk menyejukkan tekaknya. Bukan satu tapi tiga aiskrim. Doktor memesan, tidak boleh memakan makanan yang panas, pedas dan keras buat sehari dua sekurang-kurangnya dan dikehendaki mengalas perut dengan makanan atau minuman sejuk.
10) Lewat petang, sahabat-sahabat usrah berziarah. Tuan Haji Abu Aslam dan Bacho bersama isteri tidak datang dengan tangan kosong. Aduhai, bahagia mempunyai ahli usrah yang prihatin. Lewat whatsapp, sahabat-sahabat turut memberi ucapan yang meransang kami sekeluarga.
11) Saya akan lanjutkan catatan kedua nanti. Ada catatan lain yang wajar saya kongsikan tentang Hospital Likas, tempat kami berada di sini selama 3 malam.