Archive for 15 Jun 2013


Imam Haji Maarif

Alhamdulillah, hajat hati untuk berziarah dan menemuramah Tuan Haji Maarif Ansat tercapai jua akhirnya. Beliau seorang lagenda dan otai bagi tilawah al-Quran secara bertarannum di negeri Sabah. Bersama seorang sahabat Sdr Yusri Razali bergerak dari Kota Kinabalu jam 5.15 petang, solat maghrib dan rehat sebentar di Masjid Azizul Rahman Kimanis dan meneruskan perjalanan sehingga tiba di lokasi jam 8.00 malam.

Pertemuan itu kami dahului dengan solat isyak berjamaah dan ceramah sempena Israk wal Mikraj di surau bersebelahan rumah Tuan Haji Maarif. Ramai tetamunya, penduduk kampung berhampiran serta anak-anak tahfiz dari Bingkul. Kelihatan juga menyambut kami salah seorang anak beliau, Ustaz Ali Khairuddin yang pernah menyertai program Imam Muda Astro Oasis.

Hampir jam 11 malam baru temuramah itu berlangsung, kerana selepas ceramah kami dijamu lagi. Sungguh baik hati dan budi Tuan Haji Maarif menyantuni kami, beliau juga terdahulu merakam terima kasih kerana sudi memenuhi undangannya sekaligus sudi juga menemuramah dirinya yang dirasakannya bukan sesiapa pun.

***

Bertarikh 30 Mac 1942 di Kampung Takuli Beaufort, Haji Maarif dilahirkan. Pendidikan awalnya hanya di peringkat rendah iaitu di SK Mempagar pada 1954 sehingga 1958.

BELAJAR AL-QURAN

Selain itu beliau  belajar agama di kampung khususnya al-Quran al-Karim daripada bapanya sendiri Allahyarham Tuan Imam Ansat Bakir yang juga imam ketika itu. Salah seorang abangnya iaitu Imam Yusuf Ansat juga mengajarnya mengaji al-Quran.

Beliau juga sangat suka untuk menyebutkan beberapa guru al-Quran beliau yang lain yang sangat berjasa membentuk dirinya sehingga mampu menguasai ilmu tajwid dan tarannum dengan baik sehingga kini. Antaranya Allahyarham Tuan Imam Haji Tahir Kilong (Papar) yang pernah mewakili Sabah pada 1962 di MTQ peringkat Antarabangsa sebelum Sabah merdeka melalui Malaysia.

Selain itu Allahyarham Haji Awang Hashim, Allahyarham Haji Nawawi Abdul Latif (abang kepada Allahyarham Datuk Haji Awang Sahari Latif) yang ketika itu menjadi Penolong Pegawai Daerah Beaufort. Lebai Mohammad Yunus dari Kelantan, Allahyarham Ustaz Haji Umar Sidik, Ustaz Haji Ghazali Sulaiman dan ramai-ramai. Kesemuanya memberi pengaruh kepada dirinya menjadi seorang qari al-Quran, barzanji, marhaban dan berqasidah.

Minat belajar agama ini sentiasa diterapkan dalam dirinya walaupun kemudiannya beliau menjadi imam di Masjid Negeri Sabah, beliau turut duduk mendengar dan menadah kitab daripada guru-guru yang datang mengajar. Tidak terbatas dengan al-Quran dan fardhu ain, beliau juga mempelajari gendang, rebana, kompang dan sebagainya.

KERJAYA

Peringkat awal beliau hanya bekerja sendiri di sekitar Beaufort ini seperti menoreh getah, menanam padi, menggarus rumbia dan sebagainya. Beliau juga pernah makan gaji sebagai buruh membina jalanraya, menanam landasan keretapi dan membuka ladang estet sebelum Sabah merdeka. Semua kerja-kerja ini menjadi pengalaman hidup yang sangat berharga kepada dirinya.

Pada tahun 1962, beliau dipelawa mengajar mengaji al-Quran di Sekolah Agama Rakyat Kampung Takuli yang didirikan atas anjuran Persatuan Islam Sabah. Antara pelajaran yang dicurahkan ialah berkaitan al-Quran dan fardhu ain. Antara yang menjadi rujukan beliau ialah sahabat beliau bernama Ustaz Haji Jais Alias, seorang guru agama yang berasal dari Melaka, dan ketika itu bertugas di Kampung Brunei Membakut.

Selepas tahun 1969, apabila Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) ditubuhkan, beliau bersama rakan-rakannya diambil oleh USIA sebagai guru agama. Kemudian beliau bertukar tempat bertugas beberapa kali antaranya ke Sipitang, Likas Kota Kinabalu dan Kuala Penyu.

Pada tahun 1977, dengan berat hati beliau menggalas amanah sebagai Penolong 1 Imam Besar Masjid Negeri Sabah, ketika itu di bawah pimpinan Datuk Imam Haji Pandin. Selama 10 tahun di Masjid Negeri Sabah, beliau mengutip banyak pengalaman berharga. Peluang mengajar al-Quran kepada masyarakat pelbagai peringkat umur di Kota Kinabalu akan sentiasa dalam ingatan beliau.

Secara jujurnya beliau memberitahu bahawa walaupun 10 tahun berkhidmat di Masjid Negeri Sabah, beliau kurang berminat kerana tidak banyak bergerak ke merata tempat. Tidak seperti sebelum dan selepas bertugas di Masjid Negeri Sabah, beliau banyak keluar masuk ke kampung-kampung untuk berdakwah dan mengajar al-Quran khususnya.

Pernah suatu ketika pemerintahan kerajaan BERJAYA, ketika beliau bertugas sebagai khatib hari raya memikirkan untuk membuat teguran kepada penguasa. Ini kerana melihat suasana ketika itu berlaku pertembungan dan tekan menekan sesama umat Islam yang dilihat beliau tidak menguntungkan umat Islam. Beberapa hari kemudian beliau dipanggil ke pihak atasan untuk memberi keterangan.

KEMBALI KE BEAUFORT

Peristiwa itu menjadi asbab untuk dihantar balik ke tempat kelahirannya di Beaufort bertugas di Masjid Daerah. Dengan senang hatinya beliau kembali kerana beliau lebih bebas mengajar al-Quran sama ada di rumah atau di masjid dan surau. Di rumahnya sendiri, ratusan pelajar sudah khatam al-Quran.

Ketika tubuh masih cergas, beliau mengajar al-Quran sehingga jam 1-2 pagi. Beliau juga punya jadual berkala dan tidak berkala di pelbagai kampung lain di seluruh Beaufort, Kuala Penyu, Sipitang, WP Labuan dan lain-lain. Usia semakin lanjut menyebabkan aktiviti mengajar al-Quran terpaksa dihadkan.

Pernah beberapa tahun lepas, sekitar 2010-2011 beliau diundang mengajar di daerah Kota Marudu buat beberapa hari. Ketika hari pertama, hanya beberapa orang yang datang. Apabila kehadirannya diketahui ramai, pada jadual hari kedua, kehadiran melonjak sehingga lebih 100 orang termasuk kalangan muallaf, orang tua dan sebagainya. Hanya empat kali beliau ke sana kerana keuzuran yang menimpa.

TERKENANG NASIHAT GURU

Secara keseluruhan, saya melihat beliau mendambakan dirinya mengajar al-Quran kepada masyarakat sejak tahun 1962 hingga kini. Beliau sering terkenangkan pesanan para gurunya sejak kecil yang sering menyebut hadith keutamaan belajar dan mengajar al-Quran.

Nasihat para guru beliau agar banyak membaca al-Quran kerana al-Quran adalah sebaik-baik ucapan yang dilafazkan oleh lidah. Mengajar dan menyebarkan al-Quran adalah antara cara beliau memanjang dan meluaskan ilmu al-Quran yang telah diperolehinya daripada para guru.

Kepada mereka yang pernah menuntut ilmu tilawah al-Quran daripadanya juga sering dikatakannya demikian. Menyeru mereka agar sentiasa bersungguh-sungguh mempelajari ilmu al-Quran dan kemudian mempraktikkan dalam kehidupan seharian. Mengenang zaman kegemilangan qari dan qariah dari daerah Beaufort ini satu ketika dahulu yang sering berada di pentas negeri dan kebangsaan. Katanya, kata kunci kepada kejayaan mereka ialah ‘kesungguhan’.

Tuan Haji Maarif, pertama kali mewakili Sabah ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 1965, 1967, 1976, 1977 dan 1978. Ketika itu beliau sezaman dengan legenda qari Allahyarham Haji Ismail Hashim (Kedah), Tuan Haji Asmawi Duet (Sarawak), Allahyarham Ustaz Saidin Abdul Rahman (Pulau Pinang), Faridah Saman (Kelantan), Rugayah Solong (Terengganu) dan ramai lagi.

KELUARGA BESAR

Berkahwin pada 4 Disember 1966 ketika berumur 25 tahun, suatu usia yang dianggap lambat ketika itu. Isterinya yang juga salah seorang murid mengajinya, Hjh Rosdiah Ejim ketika perkahwinan baru berumur 15 tahun.

Pasangan ini dikurniakan 17 orang anak. Semua anak lelaki seramai 9 orang didahului dengan nama Ali dan semua anak perempuan seramai 8 orang didahului dengan nama Kalsum. Ketika catatan ini dibuat, umur anak sulung berumur 43 tahun  sementara yang bungsu berumur 18 tahun. Imam Muda Ali Khairuddin adalah anak ke 13.

PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)

Sebenarnya beliau mula bersahabat dengan orang PAS semasa anak-anaknya bersekolah di Terengganu dan Kelantan pada tahun 90an. Ada anaknya yang menjadi anak angkat kepada ahli-ahli PAS dan beliau melihat akhlak luhur ahli PAS apabila sesekali berkunjung ke sana.

Perhubungan itu tetap berterusan hingga kini apabila ada kalangan pimpinan PAS negeri-negeri di Semenanjung dan nasional yang datang ke Sabah kemudian berkunjung ke Beaufort khususnya ke rumahnya sejak beberapa tahun kebelakangan.

Antara yang mengesankan hati beliau apabila Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang sudi datang dan menjamu selera di rumahnya sempena kunjungan beliau dalam program Himpunan Hijau Peringkat Negeri Sabah di perkarangan rumah Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin.

Beliau juga berkesempatan pada 15 tahun lalu berziarah ke rumah dan masjid Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka, Kelantan. Ia diikuti dengan ziarah kali kedua pada tahun 2011 dan 2012. Berdebar hatinya apabila kepada tuan guru yang beliau diperkenalkan sebagai orang kuat PAS Beaufort, sedangkan beliau hanya baru bersama-sama setahun dua ini.

NASIHAT

Kepada pendamba al-Quran, beliau mengingatkan hadith yang masyhur iaitu “Sebaik-baik kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”. Beliau menasihatkan agar tidak jemu mempelajari al-Quran, bukan setakat bacaan, bahkan sehingga kepada memahami, mengamal dan menyebarkannya pula.

aib

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/sudut-dakwah/20029-bila-diharuskan-memperkatakan-keburukan-orang-lain

Soalan : Saya khilaf tentang satu perkara. Dewasa ini banyak fitnah kerana perbezaan fahaman politik. Ada kawan saya mengatakan ketua A itu peminum arak dan kafir. Apabila saya katakan tidak mahu mendengar kerana takutkan itu fitnah, beliau mengatakan kepada saya, menurut ustaz beliau, politik adalah hak bersama.

Semua orang perlu tahu tidak kisahlah sama ada ia betul atau tidak. Tetapi bukankah menyebarkan berita yang buruk tentang seseorang apatah lagi diragui kesahihannya adalah mendatangkan fitnah? Harap ustaz dapat berikan saya penerangan.

Jawapan;

1. Hukum asal memperkatakan keburukan orang lain adalah haram. Jika keburukan itu benar-benar dilakukannya lalu kita memperkatakannya – tanpa suatu desakan yang diiktiraf oleh syariat- kita dianggap mengumpat (ghibah). Jika keburukan itu tidak dilakukannya (yakni kita yang mengada-adakannya), kita telah melakukan dosa fitnah dan juga ghibah (umpatan). Sama ada mengumpat (ghibah) atau fitnah, kedua-duanya adalah dosa besar, apatah lagi jika menggabungkan kedua-duanya.

Dalam Sahih Muslim, terdapat hadis daripada Abu Hurairah yang menceritakan; Nabi pernah bertanya para sahabatnya; “Tahukah kamu apa itu ghibah (umpatan)?”. Mereka menjawab; “Allah dan Rasul-Nya lah yang paling tahu”. Nabi menjawab; “Ghibah (umpatan) ialah kamu menyebut tentang saudara kamu sesuatu yang ia tidak suka”.

Lalu seorang bertanya Nabi; “Apa pandangan kamu ya Rasulullah jika apa yang aku sebutkan tentang saudaraku benar-benar ada pada dirinya”. Jawab Nabi; “Jika ia benar-benar ada pada dirinya, lalu kamu menyebutnya, maka kamu mengumpatinya. Namun jika ia tidak ada padanya, lalu kamu menyebutnya (dengan mereka-rekanya), maka kamu telah mengadakan suatu pembohongan terhadapnya.” (HR Imam Muslim, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah).

2. Bagi masalah ghibah (iaitu menceritakan/mendedah keburukan orang lain atau menyebut orang lain dengan suatu nama yang buruk) dikecualikan bagi enam situasi berikut mengikut yang dijelaskan oleh para ulamak (antara Imam an-Nawawi dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim dan Riyadhus-Salihin);

i. Apabila diri dizalimi; Harus orang yang dizalimi membuat pengaduan kepada pemerintah, kadi atau pihak berkuasa lainnya dengan menceritakan keburukan atau kezaliman orang yang menzaliminya.

ii. Memohon bantuan untuk mengubah suatu kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat kepada kebenaran. Seperti seorang melaporkan kapada pihak yang berkuasa mengubah kemungkaran; “Si Fulan telah melakukan perbuatan sekian sekian, tegahlah ia”.

iii. Bertujuan mendapatkan fatwa (pandagan agama); Seperti Hindun yang mengadu kepada Nabi sikap kedekut suaminya. Ia berkata kepada Nabi; “Ya Rasulullah, suamiku Abu Sufyan seorang yang kedekut, bolehkah aku mengambil wangnya tanpa diketahuinya?”.

iv. Memberi peringatan kepada kaum muslimin agar berjaga-jaga dari suatu kejahatan; Seperti mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura alim atau pembawa ajaran sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat dirinya yang sebenar. Begitu juga, mendedahkan penyelewengan seorang pemimpin dalam mentadbir rakyat kepada orang yang berkuasa melantiknya agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa kepadanya.

v. Seorang yang berterang-terangan melakukan dosa atau kesesatan seperti berterang-terang minum arak, berterang-terang menganut fahaman sesat atau seumpamanya. Orang sebegini harus disebut tentang dirinya dengan maksiat yang dilakukannya secara terang itu. Adapun maksiat yang dilakukannya secara tersembunyi, tidak harus disebut kecuali ada suatu sebab yang lain.

vi. Untuk memperkenalkan seseorang; Harus menyebut seseorang dengan suatu gelaran jika ia masyhur dikenali dengan gelaran itu. Haram menyebut suatu gelaran dengan tujuan merendahkan martabat orang lain.

Dalam enam situasi di atas, dibolehkan kita memperkatakan/mendedahkan keburukan orang lain kerana mempunyai tujuan yang diharuskan syariat untuk maslahah yang lebih besar dari maslahah individu yang diperkatakan keburukannya.

3. Oleh sebab hukum mengumpat adalah haram pada hukum asalnya dan dosanya adalah besar, maka orang yang terpaksa menggunakan pengecualian di atas ia hendaklah memerhatikan perkara berikut;

i. Memerhati niat dalam hatinya; apakah ia benar-benar terpaksa memperkatakannya atau hanya lahir dari keinginan nafsunya sahaja. Jika hati benar-benar berkata; “Aku wajib mendedahkannya demi agama dan ummah”, maka bertawakkallah kepada Allah dan teruskanlah apa yang diyakini. Namun jika hati berkata; “Ini hanya keinginan nafsu sahaja”, batalkanlah niat untuk berkata tentang orang lain itu, kerana padah yang bakal kita terima tidak padan dengan sedikit kepuasan yang kita dapat.

ii. Ia hendaklah mengukur natijah darinya; adakah dengan memperkatakannya akan membawa kesan lebih baik atau dengan senyap sahaja dan mencari pendekatan lain yang lebih baik untuk membetulkan orang terbabit.

iii. Setiap yang dilakukan kerana darurat (kerana hukum asalnya adalah haram) tidak harus berlebihan, yakni dilakukan sekadar perlu sahaja.

iv. Maksiat yang dilakukan berkait dengan orang lain, yakni pendedahan terpaksa dilakukan untuk mengelak orang lain turut terlibat atau terzalimi jika mereka tidak mengetahuinya. Adapun maksiat yang bersifat peribadi tidak harus didedahkan kerana ia adalah dosa antara pelakunya dengan Allah. Sesuatu yang ditutup Allah, tidak berhak kita membukanya kerana nanti keaiban kita pula akan dibuka Allah.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah.
2. Riyadhus-Salihin, Imam an-Nawawi, Bab Ma Yubahu Min al-Ghibah.

http://ilmudanulamak.blogspot.com (Ustaz Ahmad Adnan Fadzil)

%d bloggers like this: