Archive for 13 Jun 2013


Datuk Haji Murshidi Nambi

Tarikh : 9 Jun 2013 (Ahad)

Lokasi : Kampung Sembulan Lama, Kota Kinabalu

Bersama beberapa anak muda jamaah Masjid Kg Sembulan, kami menziarahi seorang tokoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi di negeri Sabah ini. Ybhg Datuk Haji Murshidi Nambi adalah seorang tokoh guru, budayawan, seni lukis dan aktivis dakwah kelahiran di Sandakan pada 12 Disember 1925.

Saya suka sekali mendengar muqaddimah bicara sembang santai kami yang beliau mulakan dengan solawat kepada Rasulullah SAW. Seorang yang suka merendah diri dan lembut tutur katanya, kami mendapat cerita yang panjang berkenaan kisah hidupnya.

PENDIDIKAN

Ketika berumur 4 tahun, beliau dihantar oleh bapanya ke Kuching Sarawak dan kemudian belajar di Sekolah Melayu Merpati Jepang Sarawak sehingga mendapat kelulusan yang baik sehingga darjah lima. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di Madrasah Melayu Sarawak atau dipanggil juga James Brooke Collage pada masa itu.

Ketika di Kuching itu juga pada sebelah petang beliau belajar agama dengan seorang guru agama bernama Tengku Mudhi, orang Sarawak yang dikatakan keturunan Arab bersalsilah hingga bertemu Rasulullah SAW. Antara subjek yang dipelajari ialah al-Quran, fardhu ain seperti fekah khususnya menggunakan kitab Matla’ al-Badrain yang terkenal itu.

Selepas itu dengan biasiswa kerajaan Sarawak pada tahun 1937-1940 beliau menyambung pelajaran di Sultan Idris Training College Tanjung Malim Perak sehingga mendapat diploma pendidikan kelas pertama. Selama sekitar 3-4 tahun di sana, beliau sepengajian dengan Allahyarham Tun Ghafar Baba, Datuk Senu Abdul Rahman dan lain-lain.

ZAMAN PENDUDUKAN JEPUN

Pada tahun 1940, beliau kembali ke Kuching. Ketika itulah Jepun mula datang menjajah. Beliau bekerja dengan pemerintah Jepun sebagai penterjemah bahasa Indonesia ke bahasa Melayu untuk kegunaan persuratan. Beliau juga pernah berkursus bahasa Jepun selama 2 bulan sehingga boleh menulis dan bertutur dalam bahasa tersebut.

Justeru itulah, beliau juga pernah menjadi guru yang mengajar bahasa Jepun kepada anak-anak tempatan. Antara yang diajar ialah berkenaan huruf-huruf Jepun dan perbualan asas dalam bahasa berkenaan. Tugasan berkenaan selesai sehingga Jepun keluar sekitar tahun 1945.

Selesai zaman Jepun, sekolah biasa dibuka semula dan beliau bersama-sama guru-guru lain telah diambil semula ke dunia pendidikan di Sarawak yang ketika itu ditadbir oleh orang Australia. Cikgu Murshidi dilantik sebagai salah seorang penolong pensyarah di Maktab Perguruan Sarawak dari tahun 1946 hingga 1947  mengajar seni lukis, kerja tangan, ilmu alam, sejarah dan bahasa Melayu.

MENENTANG PENJAJAH

Selepas Perang Dunia ke-2 ini tamat, berlaku pergolakan politik. Sarawak hendak diambil oleh James Brooke sebagai koloni, Cikgu Murshidi bersama 338 pegawai kerajaan dan para guru meletakkan jawatan serta merta sebagai membantah tindakan James Brooke. Untuk menyara hidup, beliau melukis dan menjual lukisan dengan kadar 20-30 sen setiap satu.

KE SABAH

Dalam masa yang sama, timbul keperluan mendapatkan tenaga guru berkelulusan Maktab Perguruan Sultan Idris untuk dihantar ke Sabah. Hubungan yang baik dengan jabatan kerajaan khususnya bahagian pendidikan (walaupun sudah meletakkan jawatan sebelum itu), menyebabkan Cikgu Murshidi dihantar ke Sabah pada tahun 1947 bersama seorang guru lain bernama Cikgu Othman Sidek yang berasal dari Perak.

Pertama kali bertugas di Sabah, beliau diamanahkan sebagai guru besar di SK Darau Menggatal. Sekitar setahun lebih di sana, beliau mendapati tiada jadual pelajaran agama secara khusus kerana tidak dibenarkan. Pada hari jumaat, beliau mencuri-curi mengajar pelajaran agama Islam kepada murid-murid dan guru muslim dengan tumpuan lebih kepada sirah Nabi SAW.

Kemudian pada tahun 1949, beliau dipindahkan ke Kota Belud sebuah sekolah di atas bukit dan bertugas di sana selama dua tahun setengah. Antara anak muridnya di sana ialah Allahyarham Datuk Jaafar Latin, Datuk Haji Mohd Noor Mansur dan ramai lagi.

Pada tahun 1951, beliau bertugas pula di SK Buit Hill Putatan. Antara muridnya di sini ialah Datuk Haji Yahya Hussin. Tidak lama di sini, beliau dipindahkan pula ke Maktab Perguruan yang ketika itu beroperasi sementara di Menggatal sebelum lokasi tetapnya disiapkan di Maktab Perguruan Kent Tuaran.

Maktab Perguran Kent Tuaran ini  dinamakan sempena nama The Duchess of Kent, sepupu kepada Queen Elizabeth II, yang mewakili baginda merasmikan upacara pembukaan maktab ini pada 25hb Oktober 1952. Maktab Perguruan Kent merupakan maktab perguruan yang pertama ditubuhkan di Kepulauan Borneo khasnya di Sabah, juga merupakan maktab ke empat ditubuhkan di Malaysia.

Jadi Cikgu Murshidi adalah antara tenaga pengajar terawal di Maktab Perguruan Kent yang sudah berusia lebih 60 tahun ini, baik ketika beroperasi sementara di Menggatal mahupun sesudah berpindah lokasi di Tuaran, 35 km dari Kota Kinabalu. Cikgu Murshidi mengajar subjek lukisan, seni tangan dan pertukangan.

Oleh kerana di sini ketika itu juga tiada pendidikan Islam, maka beliau bersama tiga orang rakannya bergilir-gilir mengajar asas agama setiap malam jumaat khususnya al-Quran, fardhu ain dan berzanji.

Seterusnya, beliau dipindahkan ke Maktab Sabah pada tahun 1962 dan bertugas di sini selama 10 tahun sehingga 1972. Penuntut di sini datang dari seluruh negeri, antara yang diingatinya ialah Tun Juhar Mahiruddin, Datuk Musa Aman, RM Jasni (mertua Tun Juhar) dan ramai lagi.

Kemudian beliau dipindahkan ke Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada tahun 1972 sebagai pegawai di pejabat MUIS khususnya berkaitan hal ehwal haji. Pejabat MUIS ketika itu tidak jauh dari Padang Merdeka Kota Kinabalu.

Beliau akhirnya kembali dalam dunia pendidikan semula di pejabat pelajaran Kota Kinabalu sehingga pencen pada 1980, menjawat pelbagai unit antaranya pegawai bahasa Melayu, kurikulum, penempatan dan pertukaran guru, penolong pegawai agama dan sebagainya. Ketika itu juga beliau mempertahankan arahan menghantar guru-guru agama ke sekolah yang majoriti non muslim.

SESUDAH PENCEN

Menariknya, beliau diundang mengajar jawi di SM Kian Kok kepada pelajar-pelajar Tionghua. Beliau juga aktif dengan aktiviti kebudayaan seperti drama, sandirawa radio dan aktiviti dakwah di surau-surau seperti berceramah dan sebagainya. Beliau juga diamanahkan sebagai Pengerusi Badan Dakwah Kota Kinabalu, menyusun aktiviti dakwah khususnya ceramah agama secara bulanan dan musim kebesaran Islam.

Beliau juga aktif dalam pergerakan Pengakap dan mula terlibat dalam kegiatan pengakap sejak zaman mudanya lagi ialah pada tahun 1938. Beliau juga pernah terlibat dalam penubuhan Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS) sebagai Presiden. Beliau juga masih aktif dalam aktiviti melukis sehingga kini dan dikenali sebagai tokoh seni lukis di peringkat Negeri Sabah.

Bagi menghargai jasa-jasanya pihak kerajaan telah memilih beliau sebagai Tokoh Guru Negeri Sabah dan Tokoh Maal Hijrah Negeri Sabah. Semoga Allah SWT memberi kesihatan yang baik kepada Ybhg Datuk Haji Murshidi Nambi dan berkhidmat kepada masyarakat sehingga akhir hayatnya.

berzikir-memegang-tasbih-sambil-tunduk

Sumber : http://www.eperjuangan.com/2013/06/kemulian-umat-islam-terletak-pada.html

Ancaman terbesar pada Islam sebenarnya adalah daripada dalaman iaitu pemimpin dan pengikut Islam sendiri yang mengajar fahaman yang tidak betul, serta tidak menunjukkan tauladan yang baik daripada ajaran Allah kepada mereka yang ingin belajar dan masih mentah.

Ia pula ditambah dengan pemimpin Islam yang suka memesong ajaran Allah dengan fahaman asabiyah yang tebal dan menyebabkan pengikut-pengikut terikut-ikut dengan fahaman tersebut tanpa memikirkan soal keadilan.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Al Maidah:8)

Sekiranya ini dapat diperbaiki, tiada ancaman luar yang akan dilihat sebagai ancaman kepada Islam kerana jamaah kukuh, rajin, berdisiplin, berkelakuan baik dan tinggi taqwanya kepada Allah.

Bak kata cerdik pandai, untuk menjaga kesihatan diri sendiri, usah bimbang dan jangan membazir masa dengan memikirkan tentang kuman, virus, bakteria yang ada di luar sana. Berusahalah dan fokuskan untuk menguatkan badan dengan gaya hidup dan makanan yang sihat.

Itulah benteng kekuatan manusia sebenar bukannya menjadikan virus, kuman, bakteria sebagai musuh yang digeruni seti-ap masa. Ingatlah Allah tidak pernah mengajar kita bermusuh dan mencari musuh. Lebih-lebih lagi dalam hal menjaga Islam.

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Fussilat:34)

Ingatlah kata-kata ini;

“Jika kejahatan dibalas kejahatan, maka itu adalah dendam.”
“Jika kebaikan dibalas kebaikan itu adalah perkara biasa.”
“Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim.”
“Tetapi jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji.”

Menjaga Islam bermula daripada diri sendiri – praktikan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian bermula dari membuka mata iaitu ketika bangun dari tidur di waktu pagi sehinggalah menutup mata untuk tidur di waktu malam. Jagalah perangai dan kata-kata kita sebagai umat Islam sentiasa untuk menjaga maruah Islam dan kehebatan ajaran-Nya.

Ketika baginda Rasulullah s.a.w bersabda, (mafhumnya) bahawa baginda diutuskan demi kesempurnaan akhlak, di sana ada rasionaliti yg tinggi kerana jatuh bangun sebuah bangsa, tamadun dan negara adalah bermula dari akhlak.

Perjuangan baginda Rasulullah bermodelkan akhlak, berprinsipkan Islam, adalah suatu formua mengapa kita dapati pelapis-pelapis baginda terdiri di kalangan para sahabat yang mulia bahkan di antaranya terdiri daripada khulafa’ ar rasyidin.

Apalah guna anda mendabik sebagai pejuang Islam tetapi punah akhlak.

Apalah guna anda mendabik sebagai pelapis generasi anbiya’ tetapi tiris akhlak.

-Al Fadhil Ustaz Tuan Ibrahim bin Tuan Man

%d bloggers like this: