Archive for 12 Jun 2013


ezri

Allah SWT sudah mentakdirkan perjalanan hidup di dunia sahabat kami ini sehingga setakat ini sahaja. Seorang sahabat yang alim lagi soleh, diambil kembali oleh pemiliknya pada saat baru berumu 34 tahun disebabkan jangkitan kuman yang bermula dari kaki merebak hingga ke bahagian dalam tubuhnya.

Tidak banyak saya mengenal dengan mendalam tentang Allahyarham Ustaz Ezri Moktar selain kegigihannya berkuliah khususnya dalam bab fekah yang sangat digemarinya di sekitar kawasan Sepanggar. Kitab yang menjadi rujukan dan panduannya ialah Safinatun Naja dan Furu’ Masail.

Pada malam pemergiannya (malam tadi) baru saya ketahui bahawa beliau seorang penghafaz al-Quran di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Melaka. Barangkali sezaman dengan kami yang mendalami dunia yang sama di Kota Kinabalu, memandangkan umur kami juga sama. Selepas itu beliau turut pernah menadah ilmu di Hadramaut Yaman dan ke Mesir pula.

Selepas mengikuti kursus perguruan, Sabah adalah negeri pertama beliau bertugas iaitu di SMK Tebobon. Saya dapat tahu ketika itu beliau satu-satunya guru agama lelaki. Suatu ketika, dalam keberatan saya mengisi satu program tahsin solat di surau sekolah berkenaan untuk para guru dan Allahyarham salah seorang urus setianya.

Beberapa tahun lepas beliau pernah menggantikan Ustaz Haji Muchlish dua kali Kursus Tahsin Solat anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah. Di situ pertama kali saya mendengar kuliah beliau yang sangat bernas sekali. Di sekitar Sepanggar antara masjid yang beliau berkuliah ialah Masjid Taman Kuala Menggatal, Masjid al-Falah Kg Tebobon, Surau Bandar Sierra dan lain-lain.

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu juga menerima Allahyarham sebagai tenaga pengajar kuliah baru sekali sebelum pemergiannya. Ketika guru beliau dari Hadramaut datang berdakwah di Sabah beberapa bulan lepas, Allahyarham sebagai anak muridnya ketika di Yaman dahulu bertindak sebagai penterjemahnya.

Dalam kumpulan usrah kami, Allahyarham pernah hadir beberapa kali apabila usrah diadakan di rumah sahabat kami yang tinggal berdekatan dengan rumah beliau di Taman Seri Indah. Barangkali tempoh kebersamaan kami yang agak lama ialah dalam tempoh pengajian Darussyifa’ Sabah di Masjid Negeri pada hujung-hujung berselang minggu hampir setahun.

Jumaat terakhir bulan Mei, saya ada berziarah ke wad tempat beliau dirawat di Hospital Queen Elizabeth 2. Malangnya ketika itu beliau dibawa ke bilik lain untuk rawatan khas. Saya menunggu beberapa ketika dan akhirnya pulang begitu saja. Saya cuma memaklumkan kedatangan saya melalui sms, dan hanya berjawab sesudah kenderaan kami meluncur di jalan Lintas berdekatan Taman Austral.

Itulah sms peribadinya yang terakhir kepada saya. Saya dimaklumkan pada khamis atau jumaat lepas, beliau mula tidak sedarkan diri. Ada maklumat menjelaskan kesan ubat atau bius supaya beliau lebih banyak berehat. Sahabat-sahabat bersilih ganti berziarah dan meruqyah sebagaimana permintaan beliau. Kami di Darussyifa’ juga saling mengingatkan ahli-ahli berdekatan agar melakukan kunjungan.

Selepas kali pertama berziarah, saya ada datang dua kali lagi dan kali terakhirnya pada malam pemergiannya semalam. Sebenarnya saya datang untuk meruqyah dan di perjalanan itulah sms sampai memaklumkan perpisahan ini. Jam 9.30 malam saya sudah di sisi janazah bersama orang tua Allahyarham dan isterinya.

Di sisi janazah, ibunya memaklumkan bahawa mereka ridha pemergian anaknya. Sesuatu yang membuatkan saya sebak, apabila ibu memberitahu sejak hari jumaat sehingga malam itu, dahi Allahyarham sering berpeluh. Allahu akbar, saya terkenangkan hadith Nabi SAW : “Seorang mukmin mati dengan berpeluh dahinya”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan al-Hakim).

Semoga sahabat kami ini diterima amal solehnya khususnya ilmu yang dicurahkan kepada masyarakat setempat di Sabah. Dari bumi Melaka beliau datang, berakhir hayat di ICU Hospital Queen Elizabeth 2 Kota Kinabalu, disolatkan jam 2 pagi di Masjid Bandaraya, dibawa dan diterbangkan pulang ke Semenanjung dan dikebumikan petang ini di Melaka pula.

Takziah untuk isteri beliau, kedua orang tua serta keluarganya sekalian. Kita semua milik Allah kepadaNya kita kembali.

IMG_0567 IMG_2413 IMG_9267 IMG_9291

Tarikh : 8 Jun 2013 (Sabtu)

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Tentang dunia, Nabi SAW diperlihatkan dua tamsilan. Pertama seorang perempuan cantik yang penuh dengan perhiasan menggoda manusia. Kedua, seorang nenek tua bongkok di pinggir jalan yang memanggil Rasulullah SAW. Ia memberi maksud dunia yang menggoda walaupun sudah terlalu tua usianya.

Dalam al-Quran banyak sekali ayat yang menceritakan tentang godaan dunia. Dalam masa yang sama, dunia bukanlah ditinggalkan serta merta, tetapi dunia sekadar tempat beramal dan mengumpul saham untuk dibawa ke akhirat dan mendapat balasannya. Sekiranya beramal yang soleh mendapat ganjaran pahala dan syurga, sebaliknya beramal jahat mendapat akibat dosa dan neraka.

Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (1) Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (2) Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (3) Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (4) Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (5) Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (6) Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (7) Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (8) Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (9) Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (10)

 

 

 

%d bloggers like this: