Tidak lama keberadaan kami – saya dan 3 siswa maahad di Kampung Lumadan Beaufort khusus memenuhi undangan pihak Jawatankuasa Masjid ar-Raudhah dalam ceramah al-Israk wal Mikraj seperti catatan saya sebelum ini. Ini kali pertama masuk dan berceramah di masjid yang dimaksudkan.

Sekitar 2-3 minggu sebelum ini saya sudah menerima undangan ini tetapi tarikh yang berbeza pada asalnya. Dua hari sebelumnya, pihak masjid menghubungi dan mengawalkan sehari dan mujur saya  masih berkelapangan.

Layanan baik pihak masjid khususnya Tuan Haji Bakri pasti kami kenang. Kami tiba di masjid menjelang maghrib dan kemudian dijamu di rumah Tuan Haji Bakri selepas maghrib kerana ceramah bermula selepas isyak. Di rumah, beliau mengambil kesempatan mengambil biodata saya. Beliau rupanya rakan lama bapa saya. Aduhai kecilnya dunia.

Sehabis ceramah kami dijamu lagi di beranda masjid, dan kemudian apabila kami hendak beransur pulang, Tuan Haji Bakri mengundang ke rumah lagi. Saat itu sudah 10.15 malam dan sembang isu semasa menjadi topik utama kami. Sukar benar menamatkan bicara kami sehingga berlanjutan jam 11 malam. Kami beransur pulang, dan tiba di maahad pada jam  12.30 malam.

Hj Bakri (1) Hj Bakri (2)