Tafsir MNS

Kelas Tafsir yang dianjurkan oleh Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah terus berjalan setiap malam isnin selepas solat isyak (sekitar jam 8.15) dan berakhir kebiasaannya pada jam 9.30 malam, walaupun kehadiran ada pasang surutnya. Lonjakannya boleh mencapai 30 orang, jika surut boleh merosot sehingga kurang 10 orang.

Mungkin saja promosi agak kurang atau ilmu ini tidak menarik perhatian massa untuk hadir dan mendalaminya. Dalam konteks pengajian kuliah tafsir ini di bilik kuliah 2 Masjid Negeri Sabah, seramai 6 orang pembimbing bergilir-gilir setiap minggu dengan pusingan juzu atau surah masing-masing.

Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim membimbing tafsir bermula surah al-Fatihah sehingga surah an-Nisa; Ustaz Haji Muhammad Sayuti bermula dari surah al-Maidah (juz 6) hingga surah at-Tawbah; Ustaz Haji Arbaen dari surah Yunus (juz 11) hingga surah al-Kahfi; Ustaz Dr Hj Nor Azamuddin Umar dari surah Maryam (juz 16) hingga surah al-Ankabut; Ustaz Norzam Senin (menggantikan Ustaz Nazri Yakob) menyambung tafsir bermula surah ar-Ruum (juz 21) hingga surah al-Jathiah; sementara saya berkuliah dari awal surah al-Ahqaf (juz 26) hingga ke akhirnya.

Secara keseluruhannya masing-masing memegang 5 juzu’ seorang dan pengkuliah bergilir setiap minggu. Berdasarkan pengalaman dan catatan peribadi, semuanya masih berada pada juz awal surah masing-masing. Saya sendiri baru 6 helai menyelesaikan tafsir bahagian saya, dengan serba kekurangan dan kelemahan baru siap surah al-Ahqaf, Muhammad SAW dan al-Fath.