lutfi_rumah_isa

Catatan Perjalanan Ahmad Lutfi Othman

Pagi Ahad, 19 Mei, pesawat Air Asia mendarat  di lapangan terbang Sandakan, tepat pada masanya. Ia kali ketiga saya meneruskan misi bantuan kepada keluarga tahanan ISA. Memang sebahagian besar mangsa kezaliman tahanan tanpa bicara itu telah dibebaskan, tetapi bahananya belum berakhir, terutama Jamal Azahari yang dipindahkan ke penjara di Manila.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah menyambut kami — saya, isteri Siti Hawa dan seorang rakan. Dari jauh saya perhatikan bekas calon PAS Batu Sapi dalam PRU13 ini agak gelisah.

lutfi_makan

(Gembira melihat anak-anak Jamal Azahari menjamah ayam goreng.)

“Ingatkan anta disekat dari masuk Sabah?” kata Hamzah, sambil pantas mengambil beg pakaian dari tangan saya. Sebenarnya saya bersembang panjang dengan seorang kenalan baru semasa menunggu bagasi. Bersama keluarga, dia mahu meneroka keindahan di sekitar Sandakan, khususnya pulau-pulau cantik.

“BN memang penipu, kita takkan boleh menang jika biarkan saja penipuan ini,” Hamzah terus mengomel panjang. Suasana dingin pagi itu seperti tidak dapat menyejukkan perasaannya. Sambil memandu, bersemangat sekali dia meluahkan rasa tidak puas terhadap pengendalian PRU13.

Hamzah mengajak saya mengikutnya ke majlis jamuan kesyukuran kepada petugas PAS di Batu Sapi tengahari isu. Hasrat hati memang mahu bersama meraikan tetapi kaki saya agak kejang. Apatah memikirkan jadual saya — untuk tiga hari di Sandakan — agak padat untuk menziarahi bekas tahanan ISA.

Lebih penting, saya harus menunaikan janji buat Jamal Azahari, untuk menyekolahkan anak-anaknya yang tidak pernah mendapat pendidikan formal. Segera tergambar rumah usang yang didiami lapan beranak, dengan lantai hampir reput dan pintu yang mudah ditolak begitu sahaja.

Tentunya saya juga ghairah mahu menelusuri situasi politik Sabah pasca PRU13. “Di sini, politik wang lumrah. Duit diagihkan di tengahari buta, diangkut penuh kereta,” cerita seorang aktivis muda PAS ketika kami bersambung sembang di sebuah restoran selepas saya diminta Hamzah berkongsi idea tentang keputusan PRU13.

“Kenapa tak ambik gambar, boleh buat bahan bukti,” tanya saya, lurus. “Kita tak ramai, silap-silap bukan dikerjakan petugas BN tapi orang ramai yang rasa kita halang mereka dari dapat duit. Di rumah atas air, Kg Bahagia, yang anta pergi semalam tu, pengundi tak kisah isu mansuh tol, PTPTN, minyak turun, mereka mahu duit untuk belanja esok harinya,” jelasnya panjang lebar.

lutfi_rumah

(Suasana gelap tidak bercahaya, dulunya ruang tamu rumah Norhatta, sekarang bertukar dapur.)

Bicara politik saya tangguhkan. Saya berkejar untuk mendaftar empat anak Jamal Azahari dan Norhatta Paraji  di Madrasah Nurul Ihsan, sebuah sekolah agama rakyat. Kemudiannya membeli keperluan asrama dan sekolah mereka. Nampak anak-anak yang tidak pernah bersekolah ini agak kekok untuk melalui dunia baru. Seterusnya berbincang dengan peneman setia kami sepanjang di Sandakan, Suaidah, adik Aiman Athirah, tentang ubahsuai rumah buruk Norhatta.

Ada waktu terluang saya sempat menjenguk empat keluarga bekas tahanan ISA. Saya terpaksa meminta dua darinya turun ke bawah; kaki tak mampu menapak ke tingkat empat PPR. Untuk hari pertama, saya masih ada kudrat untuk menziarahi perkampungan atas air di Jalan Batu Sapi, perlahan-lahan mengatur langkah di atas pelantar kayu yang uzur, tetapi pada hari terakhir, dua jam sebelum bertolak ke airport, saya hanya mampu bertanya khabar mereka di bahu jalan. Dalam keadaan tergesa-gesa, memang tidak selesa untuk bertongkat bertamu di rumah keluarga tahanan, walaupun maklum mereka amat mengharap dapat mengirup secangkir kopi panas.

Kemiskinan dan kemelaratan adalah pemandangan biasa di Sabah, apatah lagi membabitkan kawasan penempatan pendatang asing. Tidaklah saya sampai bermimpi  untuk mengubah senario suram itu, tetapi cukuplah jika kami dapat membantu keluarga teraniaya, seperti Jamal-Norhatta membina kehidupan baru, dengan anak-anak dapat bersekolah dan berteduh di rumah yang agak sempurna, khususnya menjelang Aidil Fitri akan datang.

Terima kasih atas bantuan ikhlas anda, terutama buat pembaca Harakahdaily yang banyak menyumbang, menyambut rayuan awal saya sebelum bertolak ke Sandakan tempohari. Sokongan anda telah saya salurkan kepada mereka yang amat memerlukan. Jika anda bersedia untuk terus membantu, terutama bagi melancarkan proses ubahsuai rumah Norhatta, saya cukup berbesar hati.

Salurkan  terus kepada akaun Maybank HARAKAHDAILY DOT COM, no 5640 7000 0336.