Islam Itu Indah

Ada satu rancangan agama dari Indonesia yang menjadi minat kami sekeluarga. Baik saya dan isteri mahupun anak-anak sehingga sekecil si Ubayy yang belum pun berumur 2 tahun itu. Jika saya duduk melihat ingin mengambil idea-idea menarik lewat kupasan bersahaja Ustaz Maulana bersama audien yang bertukar ganti.

Rancangan bicara ‘Islam Itu Indah’ melalui tv saluran Pelangi menarik perhatian kerana pendekatan yang mudah tetapi menyentuh perasaan dan menggeletek hati apabila beliau membuat lelucoan bersahaja tetapi sinis. Beliau membawa contoh-contoh mudah yang berlaku dalam masyarakat, sesekali menyindir halus sosial yang terjebak dengan isu negatif yang dibicarakan.

Topik yang dibawa sangat dekat di hati audien. Tajuk seperti ‘kalau hidup tinggal sehari’, ‘keistimewaan umat Nabi Muhammad SAW’, ‘malas itu saudar syaitan’, ‘hutang piutang’, ‘motivasi bersedekah’, ‘aqiqah’, ‘anak antara kurnia dan bencana’ dan banyak lagi dikupas secara mudah, tetapi menarik.

Selepas itu, sesi akan tiba-tiba berubah dengan Ustaz Maulana mengubah emosi agar audien semua bermuhasabah, tidak terjebak dengan unsur maksiat yang berkaitan topik yang dibincangkan.

Yang menjadikan bicara ini bertambah menarik apabila ia mempunyai taglinenya sendiri dengan tagline Islamik. Tagline inilah yang memikat audien cilik seperti anak saya si Ubayy tadi walaupun isi perbahasan sedikit pun tidak difahami. Walaupun tidak semua kadang-kadang hujah tidak dipersetujui dan boleh dibincangkan, pendekatan yang kreatif boleh menarik audien yang pelbagai warna dan rencam.