Surau Taman Limauan

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Surau an-Nur Taman Limauan, Kinarut Papar

Firman Allah SWT yang menceritakan antara cabaran yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW, iaitu berlakunya wabak cintakan kebendaan dan kepimpinan berasaskan harta dan wang :

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (Wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan mata air dari bumi (bekalan air) bagi kami. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya.

Atau (sehingga) Engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari hiasan paling mahal (menunjukkan harta kekayaan ); atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah Kitab yang dapat kami membacanya”. Katakanlah (Wahai Muhammad):” Maha suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul ? (Al-Israk)

Para ulama merakamkan kisah Rasulullah S.A.W. ketika baginda menegaskan kepada Adi bin Hatim R.A. seorang pemimpin Arab terkenal sebelum Islamnya, sabda Rasulullah SAW :

“Wahai Adi ! Aku tahu mengapa kamu tidak mahu menerima Islam, kerana  Islam dilihat bersama-sama dengan  orang-orang yang lemah dan tidak ada kekuatan. Akan tetapi akan tiba masanya Islam mencapai kemenangan sehingga harta melimpah ruah, sehingga tidak ada lagi orang mahu menerimanya”.

Demikianlah politik wang atau matlamat kebendaan menjadi wabak yang merosakkan manusia sejak dahulu sehingga sekarang, hilangnya harga diri manusia yang dijadikan Allah berakal dan fikiran supaya dapat menilai benar dan salah serta menggunakan harta menjadi alat, bukan diperalatkan oleh harta  yang tidak berakal.

Apabila harta menjadi matlamat, maka hilanglah nilai kemanusiaan yang mulia serta martabatnya yang tinggi jatuh lantas menjadi hina. Akhirnya menjerumuskan diri sendiri lebih hina dan menghinakan bangsa serta umat. Kerana pada masa itu segala pertimbangan akal dan petunjuk Allah ditolak apabila harta menjadi ukuran benar dan salah.