huffazpro6

18 Mei 2013 – Jakim melalui Darul Quran terus komited melahirkan golongan hafiz al-Quran professional dalam negara ini. Demikian menurut ucapan Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim ketika merasmikan Majlis Khatam Hafazan Al-Quran Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran di Darul Quran.

Tambah beliau golongan hafiz al-Quran ini diharap mampu memberi khidmat kepada masyarakat apabila tamat pembelajaran nanti.

Para pelajar yang diraikan hari ini akan menyambung pengajian mereka dalam bidang kritikal yang amat diperlukan pada masa kini. Apa yang kita harapkan ilmu al-Quran yang dimiliki dapat di integrasikan dengan ilmu-ilmu yang akan dipelajari nanti. Insya Allah, suatu hari nanti akan lahir golongan ulama profesional yang menggabungkan ilmu duniawi dan ukhrawi.”  tambah beliau lagi.

Beliau juga mengambil peluang mengucapkan sekalung tahniah dan syabas kepada ibu bapa dan para pelajar yang berjaya menamatkan hafazan al-Quran sepanjang keberadaan di Darul Quran.

Sebelum itu, Tuan Haji Paimuzi bin Yahya, Pengarah Darul Quran ketika menyampaikan ucapan aluan menekankan bahawa penguasaan ilmu adalah prasyarat kepada pembinaan tamadun yang cemerlang. Menurut beliau lagi Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mahukan Ilmu, maka dia hendaklah mengkaji al-Quran.”

Justeru beliau sangat berharap agar para pelajar dapat mengekalkan hafazan di samping memanfaatkan ilmu yang telah dipelajari untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Seramai 148 orang pelajar telah diraikan pada majlis kali ini. Dari jumlah itu seramai 22 orang pelajar dari Program Tahfiz Kejuruteraan UNITEN telah diraikan buat julung kalinya sejak program ini diperkenalkan pada awal Mac 2012 lalu.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Y.Bhg. Tuan Haji Awang Khalid bin Mat Ali, Pengarah Kanan (Pengurusan), Y.Bhg. En. Mohd Ariff bin Ahmad Tarmizi, Dekan Kolej Pengajian Asas & Umum UNITEN, En. Murshid bin Kassim, Timbalan Dekan, Pusat Asasi UIAM, Y.Bhg. Hajah Zawanah binti Mohamad, Pengarah Bahagian Fatwa Jakim serta Pegawai Kerajaan Daerah Hulu Selangor.

huffazpro1 huffazpro2 huffazpro3 huffazpro4 huffazpro5