Masjid Kg Contoh

Khatib : Ustaz Yusrino Yusuf

Lokasi : Masjid as-Salam Kg Contoh Petagas

Umat Islam yang berjaya dan beruntung ialah umat Islam dan keluarga yang hidup dalam suasana fitrah kemanusiaan yang selari dengan prinsip ajaran Islam. Manakala manusia yang rugi ialah apabila fitrah kemanusiaannya menjadi rosak dan mengubah tingkahlakunya menjadi keji dan merosakkan akidah mereka.

Persoalan besar timbul di sini ialah, apakah jemaah dan kita semua membuat penilaian sejauh mana kehidupan kita benar-benar selari dengan prinsip ajaran Islam?

Banyak faktor yang membawa kemusnahan dan penyelewengan fitrah manusia. Antaranya penglibatan manusia dengan perkara yang diharamkan Allah SWT. Berdasarkan dalil al-Quran, hadith dan penemuan pakar-pakar perubatan, jelas menyatakan perkara yang diharamkan oleh Islam telah merosakkan adab, tatasusila keluarga, masyarakat dan ketamadunan manusia. Apa yang nyata, perkara yang haram merosakkan kesempurnaan fitrah manusia.

Hari ini berbagai perlakuan yang dahsyat timbul akibat daripada penyalahgunaan dadah. Apa yang mendukacitakan ialah seseorang penagih itu sanggup mati, mencuri, merompak, meragut, mencedera bahkan membunuh orang. Dengan demikian, dadah bukan sekadar merosak akal fikiran dan pertimbangan  manusia, tetapi juga menjatuhkan maruah diri sendiri, keluarga dan agama. Semua ini adalah tanda-tanda manusia kehilangan fitrah taraf kemanusiaan manusia.