Archive for 16 Mei 2013


poknik

Saya tidak tahu di mana mahu bermula. Sayu hati mengenangkan pemergian sahabat kami ini walaupun peribadi saya sendiri belum begitu lama mengenalinya. Allahyarham Cikgu Nik Mohamed Suhaimi Nik Mohamed atau kami panggil Poknik, kembali kerahmatullah pagi tadi sekitar jam 11.00 pagi di wad kecemasan Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Khabar yang kami terima, beliau mula sesak nafas sekitar jam 2 pagi di rumah beliau di Cyber City Kepayan. Saya membaca maklumat sahabat-sahabat melalui whatsapp pagi tadi, dan kami bergilir-gilir berziarah ke wad berkenaan sejak awal pagi. Saya menyelesaikan kuliah pagi dan tiba di wad jam 9.30 pagi. Keluarga Allahyarham dan sahabat-sahabat sudah ada di sana, antaranya Ustaz CB, Ustaz Arif, Aidi, Hamid Ismail, Ustaz Zafani dan ramai lagi.

Saya tidak dapat menanti lama kerana ada kelas di maahad. Ketika itu kami dimaklumkan beliau akan dipindahkan ke wad CCU di Hospital Queen Elizbeth 2, memberi petunjuk situasi beliau yang kami jangka mungkin semakin stabil. Saya masuk ke wad berkenaan hampir jam 10 pagi menziarahi beliau, kedua-dua mata ditutup dan mulut dipasang alat bantuan pernafasan. Saya melihat dahi beliau berpeluh, sangat kelihatan peluhnya.

Saya balik ke maahad dan mengajar seperti biasa. Kelas talaqqi di semester persijilan. Kepala saya sudah berfikir untuk meminta anak-anak maahad untuk mengadakan solat hajat selepas zuhur nantinya. Hampir 11.30 pagi saya membuka whatsapp kembali, Poknik sudah tiada! Hati saya sudah tidak menumpukan perhatian di kelas lagi walau masa masih ada. Saya teringat akan dahi beliau yang berkeringat tadi dan teringat akan hadith Rasulullah SAW :

“Seorang mukmin mati dengan berpeluh dahinya”. (HR Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan al-Hakim dari Buraidah RA. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan. Menurut al-Hakim; hadis ini adalah sahih.

Jam 1 tengahari, janazah dibawa ke Masjid Negeri Sabah untuk dimandi dan dikafankan terlebih dahulu. Ketika ini para sahabat, keluarga dan kenalan Allahyarham sudah mula berkumpul dan semakin ramai. Apabila selesai dikafankan, seorang demi seorang kalangan keluarga dan sahabat rapat mengucup beliau, kami tidak dapat menahan sebak dan air mata kami dari mengalir deras.

Kami bersepakat menanti solat asar di Masjid Negeri dan barulah solat janazah didirikan dengan diimamkan oleh oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim dengan disertai sekitar 500 makmum. Kami bergerak ke Taman Perkuburan Islam Taman Sempelang/Sembulan untuk pengebumian janazah dan sekali lagi Ustaz Muchlish memimpin talqin.

***

Suatu ketika, di pejabat saya di Bahagian Penyelidikan & Informasi JHEAINS antara tahun 2009 atau 2010, Cikgu Nik Suhaimi berkunjung membawa hajat tentang kaedah mengadakan surau di kawasan perumahannya di Country Height Penampang. Itulah pertama kali kami bertemu wajah walaupun kami bersahabat lewat facebook. Pada pertemuan pertama itu lagi, walaupun kami tidak begitu mesra di facebook pun, beliau sudah menceritakan tentang penyakit usus dan jantung yang beliau deritai.

Saat ini saya terkenang tentang usaha perjuangan beliau tentang cita-cita mewujudkan surau di Country Height yang masih belum tertunai sehingga kini. Saya berharap rakan-rakan beliau di sana yang mempunyai cita-cita yang sama terus mengusahakan sesuatu bagi memudahkan solat berjamaah seterusnya pengajian agama diadakan di taman berkenaan.

Begitulah persahabatan kami bermula. Ia berterusan dan semakin akrab, sehingga kami sering bertemu berdua, bertiga atau lebih dengan sahabat-sahabat lain. Beliau antara sahabat yang mengasaskan program ziarah gelandangan yang suatu masa kami lakukan beberapa bulan sehingga gelandangan itu sendiri sudah jarang kami temui lagi.

Pusat Pendidikan Islam an-Nur bersebelahan Surau Taman Austral mewujudkan segmen Sekolah Tahfiz juga antara buah tangan beliau bersama rakan-rakan lain. Malah beliau pada akhir tahun 2011 adalah timbalan pengerusi di peringkat awal yang mendesak kelas tahfiz diadakan segera pada awal tahun 2012. Bersama saya, kami juga mewujudkan Kelas Tahfiz Hujung Minggu untuk mereka yang berminat menghafaz al-Quran. Bahkan halaman facebook @ page yang masih wujud sejak 6 bulan lalu ini pun beliaulah adminnya.

Ada dua pertemuan terakhir kami berlangsung tidak sampai seminggu sebelum pemergiannya hari ini. Pertama, jumaat minggu lepas 10 Mei. Kami berjanji bertemu sembang santai di sebuah restoran di Kepayan Perdana. Cuma berdua. Sembang kami tertumpu tentang PRU13 yang baru berlalu, terutama tentang Kelantan, Datuk Husam dan Datuk Ahmad Yakob MB baru.

Barangkali sesudah beberapa bulan kelas mengaji kami tertangguh akibat kesibukan pelbagai hal serta penyakit jantungnya, beliau mengatakan kepada saya : “Lepas ni kena sambung mengaji ustaz..” Kisah beliau mengaji bersama saya pernah saya muatkan di dalam blog ini, setiap rabu malam khamis. Beliau sanggup bermula dengan iqra satu, walaupun saya berpandangan beliau tidak perlu mula di situ. Apabila beliau pergi hari ini, saya terkenang harapannya untuk mengaji kembali tidak kesampaian.

Saya juga terkenang, suatu ketika beliau pernah menceritakan hajatnya untuk menunaikan umrah sekali lagi bersama ibunya. Katanya beliau merancang untuk umrah beberapa hari menjelang bulan Ramadhan dan balik pertengahannya. Barang ditentukan Allah SWT, ibunya juga kembali kerahmatullah sekitar 40 hari lalu. Ketika saya berfikir beliau mungkin umrah bersama orang lain, rupanya hajat itu juga tidak kesampaian.

Ketika pulang februari lalu untuk menziarahi ibunya itulah, beliau juga berkesempatan berkunjung ke pejabat MB Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Foto pertemuannya itu beliau tunjukkan kepada kami dan beliau berhasrat untuk mencetak lebih besar dan diframe di rumahnya nanti. “Mahal foto nii..”, katanya. Lucu beliau memberitahu saya, beliau ada mengatakan sesuatu tentang saya kepada Tok Guru. Aduhai..

Pertemuan terakhir kami pada selasa 2 hari lepas, tengah malam pada 14 Mei masuk 15 Mei kami minum-minum di Restoran Maimunah Kepayan Perdana. Tarikh 14hb Mei adalah ulangtahun beliau ke 46 tahun. Malam itu tidak banyak cerita kami, kerana masing-masing nampak keletihan. Saya mengakui sejak seminggu sebelum hari mengundi, tubuh beliau semakin susut. Kami mengetahui beliau banyak terlibat mengurus kepulangan anak-anak Kelantan balik mengundi kerana beliau adalah setiausaha PERAKAN Kota Kinabalu. Berbaloi usaha beliau kerana kerajaan PAS di Kelantan dapat dipertahankan.

Itulah pertemuan terakhir kami dan apabila beliau kembali ke pangkuan Allah SWT hari ini, doa saya semoga usaha-usaha baik beliau diterima serta diganjari Allah SWT. Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya. Selesai sudah perjuangan beliau selama 46 tahun di muka bumi ini, semoga Allah temukan kami dan kita semua di syurga firdaus.

Allahummaghfirlahu warhamhu wa a’fihi wa’fu anhu. Ya Allah, ampuni dia, kasihani dia, selamatkan dia dan maafkan dia. Semoga dua isteri beliau serta semua anak-anak bersabar di atas musibah ini. Insya Allah kami akan membantu setakat yang termampu. Insya Allah ada kesempatan lain saya menulis lagi tentang Allahyarham.

Poknik1

Poknik2

Poknik3 Poknik4 Poknik5

kaler

%d bloggers like this: