Masjid Kg Muhibbah

Khatib : Ustaz Jasimin Mohd Rashid

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Dalam Islam kedudukan seseorang pemimpinitu terlalu mulia dan terlalu tinggi kerana merekalah paksi kepada perpaduan ummah. Percayalah bahawa sesuatu umat tidak akan terselamat daripada angkara perpecahan dan pertelagahan melainkan apabila mereka menyerahkan kepimpinan kepada seorang ketua yang dapat menyatukan mereka berdasarkan kebijaksanaannya.

Seorang ulama, Abu Abdullah menyatakan di dalam kitabnya Tahzib al-Risalah bahawa :”Teraturnya urusan agama dan dunia adalah sesuatu yang dituntut dan ia tidak akan berlaku tanpa kewujudan pemerintah. kalaulah tidak wujudnya pemerintah, nescaya keadaan manusia akan menjadi kacau- bilau dan mereka akan saling bunuh membunuh antara satu sama lain.”

Pemimpin sebagai paksi perpaduan ummah dapat dilihat  dalam  pendekatan yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW semasa pemerintahannya. Baginda telah menunjukkkan kaedah dan cara menunaikan kewajipan terhadap agama, masyarakat dan negara dengan mengukuhkan perpaduan warga negara Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan keturunan.

Baginda mengambil langkah mempersaudarakan umat Islam menerusi ikatan ukhuwwah sesama Islam. Kaum Aus dan Khazraj yang begitu lama bersengketa telah berjaya didamaikan. Rasulullah SAW  memperteguhkan kewajipan memelihara hubungan persaudaraan yang menjana kepada perpaduan dan kesatuan ummah.

Ini terbukti apabila Baginda ditanya oleh seorang sahabat sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Ayub al-Ansari dalam hadithnya yang bermaksud:  …Ya!, Rasulullah SAW bersabda kepadaku, amal yang akan memasukkan aku ke dalam syurga. Maka sabda Rasulullah SAW: ‘Engkau beribadah kepada Allah SWT  dan tidak menasyrikkannya dengan sesuatu, mendirikan solat, membayar zakat dan menghubungkan persaudaraan.”

Baginda  juga berupaya menukar gaya hidup masyarakat jahiliah daripada kufur kepada beriman, permusuhan kepada persaudaraan, kekejaman kepada kasih sayang, pemalas kepada bangsa yang rajin dan sebagainya.