Tarikh : 7 Mei 2013 (Selasa)
Tempat : Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah
Hari ini satu lagi peristiwa penting berlaku di maahad kami, apabila kumpulan baru siswa siswi mendaftar sebagai warga baru maahad. Sehingga petang tadi, ada beberapa calon yang diterima dan lulus temuduga telah menarik diri atau memohon penangguhan dan pihak pentadbiran bercadang untuk memanggil calon-calon simpanan.
Satu catatan yang menarik ialah, ini ialah jumlah pengambilan yang paling ramai dalam sejarah maahad. Jika semua calon mendaftar termasuk calon simpanan nanti, maahad akan mempunyai 58 orang siswa siswi baru, satu lonjakan hampir sekali ganda berbanding siswa siswi yang berbaki.
Sebagai penemuduga yang terlibat sejak awal dan saya satu-satunya penemuduga yang terlibat di tiga lokasi temuduga – Kota Kinabalu, Kunak dan Keningau, saya merasai kebangkitan dengan ramainya calon berbanding tahun-tahun sebelum ini. Lebih daripada sekadar itu, jumlah calon yang lulus temuduga juga ramai, melebihi jumlah kouta yang kami kehendaki.
Hari ini, mereka yang lulus dan dipilih, datang ke maahad. Selamat datang, selamat menjadi warga maahad, selamat menghafaz al-Quran yang akan dijaga sehingga kita semua kembali ke pangkuan Allah SWT. Insya Allah kalian dipilih sebagai penghafaz kalamNya, dengan syarat kalian tabah menghadapi ujian dan dugaan awal selama di sini dan kemudian tetap memeliharanya walaupun selepas tamat pengajian di sini.
Insya Allah, dakwah akan semakin hebat di Sabah, jumlah penghafaz al-Quran akan semakin melebar di setiap daerah di negeri ini. Allahu akbar!