Archive for 5 Mei 2013


505 (1)

Saya bergerak balik ke WP Labuan pada petang sabtu, sekitar jam 3 petang memandu sendirian menuju ke Daerah Kecil Menumbok melalui jalan Kg Brunei-Kg Pimping-Binsulok Membakut. Singgah solat asar dan berehat seketika di Masjid Kg Palu-Palu Kuala Penyu. Perjalanan asalnya ikut jalan Papar baru (jalan pantai) saya terpaksa patah balik apabila di Kinarut sesak teruk dan ikut jalan Papar Lama.

Jalan-jalan meriah dengan bendera, bilboard, poster dan bunting calon dan parti yang bertanding. Perjalanan ini saya sempat melalui lima kawasan parlimen – Putatan, Papar, Kimanis, Beaufort dan akhirnya Labuan. Lokasi paling meriah ialah di kawasan-kawasan bulatan seperti di Papar, Benoni dan Bongawan. Kalau saya jalan terus mungkin meriah juga di ‘bulatan limau’ Pekan Beaufort.

Teringat satu kejadian, selepas bulatan Kuala Penyu menuju ke Menumbok ada satu lokasi yang saya kurang pasti nama kampung tersebut, kelihatan orang ramai berkumpul di sebuah rumah yang berlambangkan bendera dacing yang banyak. Ada yang baru pulang, ada yang baru datang dan ada juga yang menanti dan melihat dari kenderaan masing-masing. Saya memperlahankan kenderaan dan bertanya seseorang, ‘ada apa ramai-ramai?’ ‘tuntut claim’, kata kawan tu. Saya tersenyum dan meneruskan perjalanan.

Menjelang maghrib, saya tiba di Pekan Menumbok.┬áTambang bot sebenarnya hanya RM7.50 setelah bajet 2013 memberikan diskaun separuh harga. Namun selepas jam 5 petang, apatah lagi penumpang mulai susut, tambang tidak lagi tertakluk kepada harga asal. Satu perjalanan bot yang boleh memuatkan 12 penumpang akan berkongsi RM250-RM300. Jika penumpang sanggup membayar tanpa menunggu 12 orang, maka para penumpang akan berkongsi. Semalam, kebetulan ada 10 penumpang berkongsi RM30 sekepala – dengan jumlah RM300 sehala perjalanan.

Ada seseorang makcik yang bercakap dengan seseorang di hujung talian dengan bahasa melayu yang tidak lurus sangat berkata : ‘aku tidak dapat mengundi ni, sekarang kena kurung’, sedangkan kami masa itu sedang menanti bot untuk ke pulau bebas cukai ini. Saya dan beberapa penumpang lain kehairanan dengan bentuk lenggok bahasa yang berlainan dan mengatakan dirinya kena kurung. Siapa dia? Jeng jeng jeng..

Abang kedua saya menanti di Terminal Feri Antarabangsa setelah pelayaran bot sekitar 30 minit. Lautan tadinya tenang sesekali hempasan ombak sederhana, dan banyak bintang di langit menemani pelayaran kami. Saya yakin sebahagian besar teman sebot kami ini balik untuk mengundi.

Sekitar jam 8.30 saya tiba di rumah. Tidak bertahan di rumah, kebetulan ada kawan-kawan lama jemput makan-makan di restoran baru di Kg Layang-Layangan. Saya terus bergerak ke lokasi, bercerita tentang harapan hari esok (kononnya) dan balik ke rumah hampir 2 jam kemudian. Tiada kempen-kempen dalam rumah. Senyap sunyi kerana masing-masing sudah menetapkan pendirian dan mengeraskan jari untuk memangkah.

HARI MENGUNDI

Rumah kami hanya bersebelahan dengan sekolah yang menjadi pusat mengundi. Jadi memang nampak orang atau kenderaan lalu lalang datang dan pergi mengundi. Dalam konteks kampung kami di sini, suasananya memang meriah. Saya keluar jam 9 pagi dan selesai semuanya 50 minit kemudian.

Memang ramai mengundi sebelah pagi dan kami berbaris panjang. Sempat bertemu dan bertegur sapa dengan beberapa kawan sekampung. Ketika masuk ke bilik mengundi, saya sempat menegur petugas tukang calit dakwat, bahawa sejak awal pagi tadi sudah banyak kes – berdasarkan cerita di fb terutama kes Tuan Guru Dr Haron Din – yang dakwat berkenaan tidaklah kekal sebagaimana dijanjikan.

Petugas berkenaan, mendengar cerita saya terus menjalit jari telunjuk kiri saya berkali-kali. Empat lima kali dengan bersungguh-sungguh. Selesai mengundi, saya terus balik ke rumah dan cuba cuci sambil lewa, tidak bersungguh-sungguh. Hilang juga kecuali sedikit di celah-celah yang masih ada.

Parlimen Labuan menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara BN-PKR-PAS. Calon PAS Hadnan Mohammad kemudian diputuskan menarik diri oleh PAS Pusat walaupun nama dan parti PAS masih tercatat dalam kertas undi. Ketiga-tiga calon yang bertanding adalah orang baru yang pertama kali bertanding dalam PRU 13. Penyandang Ahli Parlimen yang lalu Datuk Yusuf Mahal tidak dicalonkan semula.

Jam 10, saya tinggalkan rumah dan kampung kembali ke Terminal Feri Antarabangsa, beli tiket bot laju RM7.50, menanti giliran bot selama lebih sejam setengah. Tiba di Pekan Menumbok hampir jam 1 tengahari, memandu santai menuju Kota Kinabalu dan tiba sebelum asar tadi.

505 (2) 505 (3) 505 (4) 505 (5) 505 (6) 505 (7) 505 (8) 505 (9) 505 (10) 505 (11) 505 (12) 505 (13)

%d bloggers like this: